Sabang merupakan sebuah kepulauan terletak di Pulau Weh iaitu kira-kira 40 kilometer dari Banda Acheh, Indonesia.

Ketika sedang beratur untuk masuk ke dalam perut feri, Mohamad Faizal dan rakan-rakannya begitu teruja tatkala melihat air laut yang jernih sehingga menampakkan ikan-ikan kecil berenang meskipun hanya berada di tepi pelabuhan.

Situasi berkenaan membuatkan penulis di salah sebuah portal pelancongan itu semakin tidak sabar dan teruja untuk merasai sendiri pengalaman bermain dengan aneka spesies ikan berwarna-warni di taman bawah laut Sabang.

Selepas 15 minit menunggu, akhirnya feri laju yang mampu memuatkan sehingga 300 penumpang meliputi kelas satu dan ekonomi telah bersedia untuk membelah Laut Andaman bagi menuju ke Sabang.

Perjalanan sejauh 40 kilometer dari Pelabuhan Ulee Lheue ke Pelabuhan Balohan, Sabang hanya mengambil masa selama 45 minit dengan kadar kelajuan feri sekitar 17 knot.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu turut tidak melepaskan peluang berada di dek atas feri yang membolehkan penumpang mengambil gambar atau sekadar berehat sambil merasai deruan angin laut sepanjang perjalanan.

"Alangkah terkejutnya saya, ketika asyik leka berswafoto bersama rakan-rakan di atas dek, tiba-tiba kami ternampak sekumpulan ikan lumba-lumba berenang melintasi feri yang sedang bergerak.

"Memang teruja saat itu kerana ia merupakan kali pertama saya melihat ikan lumba-lumba secara dekat. Peristiwa indah itu menyebabkan keterujaan untuk meneroka taman bawah laut Pulau Sabang semakin membuak," katanya ketika ditemui Kosmo! di Banda Acheh baru-baru ini.

Mohamad Faizal dan rakan-rakannya merupakan sebahagian daripada 18 peserta lawatan media ke Banda Aceh-Sabang anjuran Kementerian Pelancongan Indonesia dengan kerjasama Kedutaan Besar Indonesia ke Malaysia.

Lawatan selama enam hari itu membolehkan peserta program melawat beberapa tempat menarik di sekitar Banda Aceh dan Sabang seperti Masjid Raya Baiturrahman, Muzium Tsunami Aceh, Gua Sarang dan Tugu Kilometer Nol.

Berbeza



PULAU Sabang masih asli dan kaya dengan sumber alam semula jadi.

Cerita Mohamad Faizal lagi, setibanya di Pelabuhan Balohan yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Sabang, tubuhnya seakan-akan kaku tatkala melihat air laut yang begitu jernih sehingga menampakkan batu-batuan di dasarnya.

"Sebelum ini, keindahan Sabang dan pulau sekitarnya saya lihat menerusi carian internet sahaja. Ternyata, apa yang dilihat sama cantik seperti dalam gambar, tiada kurangnya. Benar kata penduduk tempatan, Sabang berbeza sama sekali dengan kakaknya iaitu Bali dan Lombok," jelasnya.

Sementara itu, pemandu pelancong program berkenaan, Ferry Saba, 45, berkata, Sabang merupakan sebuah pulau gunung berapi aktif bersaiz kecil dan mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 156 kilometer persegi.

Menurut anak jati Banda Aceh itu, berdasarkan sejarah, Sabang atau turut dikenali sebagai Pulau Weh oleh penduduk setempat dahulunya bercantum dengan kepulauan Sumatera.

"Namun, disebabkan letusan gunung berapi yang terjadi ketika zaman Pleistosen kira-kira 2.5 juta tahun dahulu menyebabkan Sabang terpisah dengan Banda Aceh sejauh 40 kilometer.

"Secara geografi, Sabang hanyalah sebuah pulau kecil yang dihiasi dengan beberapa banjaran pergunungan, manakala gunung berapi tidak aktif Fumarolik setinggi 617 meter merupakan puncak tertinggi," jelasnya. Ferry merupakan antara mangsa tsunami yang terselamat pada tahun 2004.

Bersnorkel



PEMANDANGAN indah taman bawah laut Pulau Rubiah.

Ceritanya lagi, Pulau Weh turut dikelilingi oleh empat buah gugusan pulau kecil iaitu Klah, Rubiah, Seulako dan Rondo. Pulau Rubiah merupakan pulau paling popular ekoran keindahan alam semula jadi dan faktor sejarah.

"Pulau Rubiah bukan sahaja menjadi lokasi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk aktiviti bersnorkel dan bermain dengan ikan-ikan laut yang cantik malahan turut menyimpan pelbagai sejarah istimewa.

"Pada tahun 1220-an, Pulau Rubiah merupakan tempat kuarantin jemaah haji Indonesia sebelum kapal mereka belayar ke Tanah Suci dan juga selepas mereka pulang dari Mekah untuk ke Jakarta," ujarnya.

Selain itu, seorang pengusaha perkhidmatan menyelam, Mudim Madi, 38, menjelaskan, Pulau Rubiah bukan sahaja terkenal dengan sejarahnya, malahan pulau seluas 35 hektar tersebut turut popular dengan keindahan dasar lautnya.

Jelas lelaki berkulit hitam manis itu, kecantikan Pulau Rubiah yang mempunyai kedalaman air laut sehingga mencapai paras 20 meter juga dapat dilihat secara terus dari beberapa pantai berdekatan seperti Teupin Layee dan Iboih.

"Di Taman Laut Pulau Rubiah yang mempunyai keluasan kira-kira 2.6 hektar serta kedalaman antara dua hingga 10 meter, pengunjung akan dihidangkan dengan aneka jenis ikan hiasan dan terumbu karang.

"Pastinya, pelbagai jenis ikan hiasan yang berwarna-warni seperti ikan badut, dottyback, kakaktua dan moorish idol dapat dilihat berenang keriangan di sini," ujarnya.

Kata anak jati Pulau Weh itu lagi, meskipun hanya terdapat sekitar 15 peratus terumbu karang di Pulau Rubiah selepas sebahagiannya musnah di badai tsunami, namun keindahan hidupan laut itu masih mampu memukau pandangan.

Antara spesies terumbu karang yang terdapat di pulau berkenaan ialah batu karang batik, runcing, laut lembut, terumbu ikan dan beberapa lagi yang turut dikelaskan sebagai batu karang jarang ditemui.

Ayah kepada tiga cahaya mata itu menjelaskan, pengunjung juga boleh menyewa bot kaca pada harga RM100 yang mampu membawa seramai 12 orang untuk mengelilingi Pulau Rubiah dan melihat lebih jelas lagi taman bawah laut menerusi bahagian kaca bot berkenaan.

"Masa yang diambil untuk mengelilingi Pulau Rubiah menggunakan bot kaca ialah sekitar 30 hingga 40 minit, manakala jika menggunakan bot laju dengan harga RM66 masa yang diambil lebih singkat.

Masih dara


PANTAI Anoi Itam terkenal dengan pasir bewarna hitam dan laut yang jernih.

"Pelancong juga boleh menyewa alat snorkel seperti jaket keselamatan, cermin mata dan kaki itik dengan harga RM13 dan dibenarkan untuk menjalankan aktiviti bersnorkel di sekitar taman laut itu sepanjang hari," tambahnya.

Dalam pada itu, seorang lagi ejen pelancongan yang menyertai lawatan ke Sabang, Yasida Mohammad Yatim, 45, berkata, keindahan pantai yang terdapat di Pulau Rubiah disifatkan sebagai masih dara dan asli.

Kata beliau, semasa menjalankan aktiviti bersnorkel, mereka tidak perlu ke tengah laut seperti di kebanyakan tempat lain kerana kawasan pesisir pantai Pulau Rubiah sudah menawarkan keindahan taman laut yang cantik.

"Saya begitu terpesona dengan kejernihan air laut di sini. Bayangkan, hanya menundukkan kepala di gigi pantai, kami mampu melihat aneka ikan hiasan dan terumbu karang yang sangat cantik.

"Keindahan taman bawah laut turut menjadikan pulau ini antara destinasi pelancongan yang harus dilawati," jelasnya yang berasal dari Kuala Lumpur.