Kami menuju ke sebuah kawasan terpencil di India iaitu Lembah Pangi dan perlu melalui jalan Kishtwar serta melintasi dua daerah terpencil Jammu serta Kashmir.

Dua daerah terpencil itu menghubungkan perjalanan ke Lembah Pangi tersembunyi antara kawasan pergunungan Pir Panjal dan Zanskar di Himalaya Barat.

Pada bulan November, cuaca biasanya tidak menentu dan salji boleh memenuhi jalan ke Lembah Pangi.

Pada waktu itu, masyarakat yang tinggal di kawasan tersebut akan hidup terasing bagi satu tempoh masa.

Kami bertekad untuk membuat perjalanan ke kawasan terpencil itu walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Kami memulakan perjalanan dari Chandigarh iaitu sebuah bandar raya komersial di sebelah utara India.

Perjalanan pada mulanya melalui satu lebuh raya utama di India yang mempunyai enam lorong.

Selepas itu, kami memulakan pendakian selama dua hari dengan melalui jalan yang begitu sempit dan lereng bukit yang cukup berbahaya.

Dalam pada itu, berdasarkan cerita penduduk tempatan, mereka yang menetap di Lembah Pangi adalah masyarakat Chamba yang melarikan diri daripada penjajahan kerajaan Mughal.

Hukuman

Keluarga bangsawan pula akan menghantar kaum wanita dan anak-anak mereka ke Lembah Pangi untuk hidup yang lebih aman damai.

Pada abad ke-16, lembah tersebut di bawah kekuasaan kerajaan Chamba dan banyak rumah dibina di kawasan itu.

Menurut satu lagi cerita, penduduk asal di kawasan Lembah Pangi adalah penjahat yang dibuang oleh Raja Chamba untuk menjalani hukuman seumur hidup.

Mereka yang hendak ke Lembah Pangi perlu melalui jalan Kishtwar dengan menempuh lereng-lereng gunung yang hanya boleh dilalui satu kereta pada satu-satu masa.

Terdapat juga bas yang menggunakan laluan tersebut.

Sekiranya kedua-dua kenderaan itu bertembung, salah seorang pemandu harus mengundurkan kenderaan mereka ke kawasan yang lebih lebar bagi membolehkan sebuah lagi kenderaan melalui jalan tersebut.

Di sepanjang laluan tersebut terdapat tebing-tebing yang tegak berdiri sehingga puncak gunung dan bersebelahan jalan itu menanti gaung yang curam sehingga ratusan meter ke bawah.

Keadaan jalan raya itu berbatu dan sangat curam. Bagi perjalanan sejauh 30 kilometer (km), kami mengambil masa sehingga empat jam.

Awet makanan

Di sepanjang laluan itu juga kami bertemu dengan masyarakat tempatan yang membawa hasil-hasil pertanian.

Kawasan tinggi itu menjadi tempat tinggal bagi orang-orang Bhot yang bercakap menggunakan bahasa Tibet.

Mereka hidup di kawasan itu dengan menternak binatang dan bercucuk tanam.

Untuk bertahan dalam cuaca yang sejuk, mereka akan mengawetkan daging serta menyimpankan gandum sebagai bekalan makanan selain membuat sejenis minuman yang dikenali sebagai patru atau rakh.

Pada musim sejuk, seluruh kawasan lembah akan diselubungi salji dan ia menjadi saat yang paling sukar buat penduduk tempatan.

Pada waktu itu, untuk sampai ke kawasan Lembah Pangi yang menjadi tempat tinggal orang Chamba mengambil masa selama dua hari.

Dalam perjalanan pulang menuruni Lembah Pangi itu, kami berhadapan keadaan yang sukar.

Awam-awan tebal menyelimuti laluan dan hujan gerimis menjadikan jalan lembap serta licin.

Pada suatu ketika, keadaan bersalji dan menyebabkan jalan bertambah licin serta berbahaya.

Kami mengambil masa lebih lapan jam untuk menempuh laluan sepanjang 52km ke kawasan yang lebih selamat iaitu Gulabragh.