KSK dianggotai oleh wartawan dan kakitangan akhbar Kosmo!

Pengerusi KSK, Wan Hasnan Wan Hasan berkata, meskipun program Jom Mendaki Gunung Angsi anjuran kelab tersebut julung-julung kali diadakan, ia berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini.

“Aktiviti ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli KSK. Di samping itu, kita mahu menggalakkan mereka beriadah sekali gus dapat mengekalkan tubuh yang sihat.

“Paling menarik perhatian saya adalah semangat saling bekerjasama yang ditunjukkan antara peserta sangat baik. Ia memberi keyakinan kepada ahli yang tidak pernah mendaki gunung untuk sama-sama tiba di puncak,” ujar beliau.

Aktiviti mendaki gunung yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari pusat bandar Seremban itu turut disertai Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti tersebut, Wan Hasnan berkata, kumpulan itu memulakan pendakian dari laluan Bukit Putus di Hutan Rekreasi Ulu Bendul pada pukul 8.30 pagi dan tiba di puncak Angsi dua jam kemudian.

Beliau memberitahu, setiap peserta terpaksa mengharungi halangan semula jadi yang terdapat di kawasan pergunungan tersebut selain cuaca yang semakin panas ketika menghampiri puncak.

“Selain itu, untuk perjalanan mendaki puncak Gunung Angsi dan turun semula ke kaki gunung, setiap peserta perlu berjalan sejauh 13.5 kilometer,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan sambutan yang diterima begitu menggalakkan, KSK bercadang menganjurkan aktiviti seumpama itu tiga bulan sekali.

Keindahan alam

Bagaimanapun, jelas beliau, perkara itu bergantung kepada sumber kewangan kelab.

“Secara keseluruhan saya melihat aktiviti mendaki Gunung Angsi berjaya mencapai matlamat,” ujarnya.

Selain mendaki gunung, satu aktiviti cabutan bertuah beg galas jenama Deuter turut diadakan di atas puncak sumbangan Universal Fitness & Leisure Sdn. Bhd.

Sementara itu, seorang peserta yang juga Wartawan Kosmo! Biro Kelantan, Firdaus Hassan berkata, dia seronok mendaki gunung berkenaan yang mempunyai cabaran tersendiri terutama bahagian permulaan pendakian yang mencabar.

“Kami berada di atas puncak selama lebih satu jam. Di atas sana, kami berpeluang melihat keindahan alam semula jadi menghijau dan pada masa sama merakam gambar bersama rakan-rakan sebagai kenang-kenangan,” ujarnya.