Keterujaan jelas terpancar pada raut wajahnya apabila dapat melihat motosikal jenis Harley-Davidson Heritage Softtail Classic yang menjadi dambaannya.

Motosikal berkuasa 1,690cc berharga RM173,800 itu segera didekatinya dengan keinginan dapat memegangnya.

Dia seakan-akan tidak percaya dapat melihat motosikal impiannya itu pada jarak dekat. Tanpa melepaskan peluang Amir terus berswafoto berlatarbelakangkan motosikal itu dengan telefon Huawei P10 miliknya.

“Harley-Davidson motosikal istimewa di hati saya. Bunyinya yang cukup mengusik jiwa memberi saya kepuasan sebagai peminat dunia pemotoran dan saya memang suka sejak kecil lagi.

“Reka bentuknya yang nampak eksklusif dan warnanya terang terpancar walaupun pada jarak jauh membuatkan saya berazam untuk memilikinya suatu hari nanti,” katanya ketika duduk di atas motosikal impiannya itu.

Dia ditemui pada hari pertama Minggu Permotoran Malaysia atau Malaysia Bike Week (MBW 2018) bersama seorang rakannya, Safwan Mokhtra juga berkongsi hobi yang sama.

Matlamat

MBW 2018 merupakan anjuran Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GP Moto) itu ternyata berjaya mencapai matlamatnya apabila menarik peminat jentera dua roda dari seluruh negara.

MBW 2018 melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam mempromosikan jenama-jenama dan aksesori motosikal.

Antara jenama-jenama tersebut ialah Yamaha, Suzuki, Honda, Ducati dan Royal Enfield.

Pada masa yang sama, ia juga bertujuan menggabung dan merapatkan semua persatuan permotoran di Malaysia bagi memupuk kerjasama tinggi dalam kalangan penunggang di segenap peringkat umur.

Selain itu, ia memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk mempromosikan produk permotoran tempatan serta membantu individu menjual dan membeli motosikal terpakai.

Mengulas lebih lanjut, Setiausaha Agung GP Moto, Datuk Sulaiman Samihan berkata, lebih 350,000 peminat dunia permotoran dari pelosok negara berkumpul pada MBW 2018, sekali gus menjadikan perhimpunan terbesar di negara ini.

“Menariknya, kesemua kelab motosikal sama ada berkuasa kecil dan besar berkonvoi dari negeri masing-masing sebelum berkumpul di sini

“Pelbagai aktiviti diadakan seperti pertunjukan motosikal lasak, pameran motosikal berkuasa besar dan pengunjung juga berpeluang membuat pemeriksaan dan servis motosikal mereka,” katanya yang berpuas hati melihat sambutan baik orang ramai terhadap program berkenaan.

Katanya, untuk hiburan kepada semua pengunjung, malam kedua MBW 2018 mempersembahkan Konsert Rock Mentor di pentas utama membabitkan artis popular tanah air seperti Ella, Datuk Awie, Black, Azlan Typewriter dan Akim & The Majistret.

“Konsert ini menjadi medan ‘otai-otai’ motosikal mengimbau zaman muda mereka yang aktif dalam dunia permotoran,” katanya.

Penyatuan

Menurut Sulaiman, MBW 2018 itu juga mengumpul biker wanita yang menunggang motosikal daripada kuasa 100cc hingga 500cc.

Penyertaan menggalakkan itu membuat penganjur turut mengadakan pertandingan Miss Motorbike 2018 terbuka kepada semua peserta Lady Bikers, pertandingan motosikal tercantik setiap kategori dan Bikers Fashion Show yang dinilai dari segi pemakaian sempurna, cantik dan menarik.

MBW 2018 yang diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sememangnya idea yang sangat baik apabila berjaya menyatukan pencinta-pencinta dunia motosikal dari seluruh negara.

Cadangan beliau untuk mengumpul individu yang mempunyai hobi dalam dunia permotoran di seluruh Malaysia disambut baik oleh semua penunggang motosikal daripada pelbagai kategori dan jenama iaitu Superbike, Easy Rider, ‘kapcai’, klasik, Vespa dan Lady Bikes.

Selain pameran, antara aktiviti yang berlangsung sepanjang MBW 2018 termasuklah aksi permotoran oleh kelab-kelab motosikal dari seluruh negara, pertandingan ratu bikers dan pertunjukan motosikal berkuasa tinggi.

Koleksi peribadi

Paling menarik ialah koleksi kenderaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang diadakan di dalam Dewan A seperti motosikal Harley-Davidson, bas Coach, kenderaan tiga roda dan pacuan empat roda serta trak Mack.

Perkara tersebut diakui oleh, Fariha Jamaluddin, 32, ahli Kelab Motosikal R25 Ladies yang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri koleksi kenderaan peribadi Sultan Johor.

Dia menyifatkan Sultan Johor sangat dekat di hatinya kerana mereka berkongsi hobi yang sama.

“Sebelum ini saya hanya melihat koleksi kenderaan baginda di media sosial dan di sini ia berada di depan mata saya. Perasaan puas itu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

“Kami bergambar sehingga puas dengan semua koleksi kenderaan baginda,” ujarnya.

Selain itu, dia tidak melepaskan peluang menambah kenalan dan bertemu sahabat-sahabat lama sekali gus berkongsi ilmu penjagaan motosikal.

“Saya sangat gembira kerana dapat berkongsi aktiviti kelab bersama ahli-ahli kelab yang lain,” jelasnya.