Kaunter perkhidmatan penyediaan ATV dihampiri bersama ahli keluarganya untuk menyewa jentera beroda empat itu. Secara tiba-tiba adrenalinnya terus mencanak ketika mahu menunggang kenderaan tersebut.

Bayaran tunai sebanyak RM98 bertukar tangan di kaunter tersebut. Pengarang majalah yang beribu pejabat di Selangor itu menerima topi keledar sambil diberi peluang memilih ATV yang bersesuaian.

“Saya pilih ATV ini,” katanya kepada jurulatih yang sedia menunggu penunggang di stesen tersebut sambil menunjukkan sebuah ATV berwarna biru.

Jurulatih

Beliau memegang stereng, cuba menekan pedal minyak dan brek untuk membiarkan dirinya merasa selesa mengawal kenderaan berkenaan selain mendapatkan mood pemanduannya.

Memandangkan ia merupakan pengalaman kali pertama Siti Hajar menunggang ATV, beliau begitu tekun mendengar penjelasan mengenai selok belok jentera berkenaan.Setelah semua pengunjung bersedia, konvoi ATV itu mula bergerak perlahan-lahan memasuki semula Wild Savannah dengan diketuai oleh seorang jurulatih berpengalaman bagi memastikan semua peserta berada dalam keadaan selamat dan selesa.

ATV ditawarkan kepada pengunjung di Wild Savannah untuk memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat haiwan yang agak jinak. Bagaimanapun, di kawasan berpagar elektrik yang menempatkan beberapa haiwan liar dan ganas seperti singa putih, cheetah dan dubuk pelanggan perlu menaiki tram khas.

Hanya tram bertingkap kaca dan berhawa dingin dengan tahap keselamatan yang tinggi dibenarkan melalui ‘sarang’ haiwan berkenaan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pengunjung.

Di luar kawasan Wild Savannah tanpa pagar elektrik pula, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat gelagat dua ekor badak sumbu yang sentiasa berendam dalam kolamnya.

Keletah haiwan

Sarang buaya terletak berdekatan dengan sungai yang berpagar, burung unta, kambing, kerbau, lembu, kuda belang, emus, kudu, nyala, rusa dan melalui kandang harimau.

Pengembaraan menaiki ATV mengambil masa kira-kira 40 minit. Pengunjung perlu mematuhi beberapa peraturan bagi mengelakkan gangguan terhadap haiwan di sarang masing-masing.

Antaranya ialah mereka tidak dibenarkan turun dari kenderaan masing-masing untuk mendekati binatang.

Selain itu, pengunjung juga tidak dibenarkan menekan pedal enjin begitu kuat sehingga menimbulkan suasana bingit yang bakal memberi kesan kepada persekitaran khususnya haiwan di taman berkenaan.

Bagi Siti Hajar, meskipun agak kekok pada peringkat awal mengendalikan kenderaan beroda empat itu tetapi berlandaskan semangat yang tinggi untuk menjayakan cabaran itu, akhirnya beliau berjaya mengurangkan rasa gementarnya.

Anak perempuannya yang membonceng di belakang begitu terhibur melihat keletah haiwan dengan lebih dekat.

“Trek jalan ATV agak mencabar kerana mendaki laluan berbukit namun tunjuk ajar daripada jurulatih yang sentiasa mengawasi pemanduan telah melancarkan perjalanan konvoi kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bukit Gambang Safari Park baru-baru ini.

Haiwan liar

Beliau berkunjung buat kali pertamanya ke Bukit Gambang Resort City (BGRC) untuk bercuti dan beriadah selain memberi peluang kepada dua orang anaknya untuk mempelajari secara tidak formal mengenai pelbagai haiwan jinak dan liar yang terdapat di situ.

BGRC memiliki dua taman popular iaitu Bukit Gambang Water Park dan Bukit Gambang Safari Park.

Berkonsepkan eye to eye with the the wild, pendekatan syarikat Sentoria Bhd. yang merupakan pemaju projek pembangunan BGRC melabur jutaan ringgit pada taman itu telah memberi peluang kepada pengunjung untuk meningkatkan pengalaman dan menimba ilmu pengetahuan mengenai dunia haiwan.

Perunding Sumber Manusia, Kunor Ku Pengiran, 44, berkata, pengalaman bercuti di BGRC dan berkunjung ke Wild Savannah memberi peluang pada diri dan rakan sekerjanya melakukan beberapa aktiviti lasak yang diminati sejak remaja.

“Saya gemarkan aktiviti sukan lasak dan mahu mencuba menunggang ATV, saya gembira kerana diberi peluang mencuba mengendalikan jentera ini sambil melihat haiwan-haiwan di sini.

“Ini merupakan satu konsep safari terbaik kerana ia merupakan pengalaman terbaik yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana pengusaha taman haiwan dan zoo di Malaysia,” ujarnya.

Pengalaman menjejaki haiwan liar dan hampir pupus di BGRC menyuntik minatnya untuk ke mana-mana safari di luar negara bagi menimba lebih banyak pengalaman mengenai haiwan.

Kepuasan

Menurut beliau, berkesempatan melihat sendiri badak sumbu yang sedang berendam di dalam kolam sungguh mencuit hatinya malah kesempatan berswafoto dengan kuda belang meskipun jaraknya dengan haiwan itu agak jauh.

Sementara itu, seorang remaja, Mohamad Danial Haziq Fauzi, 21, mahu kembali melawat BGRC bersama rakan sekerjanya untuk mencuba beberapa lagi aktiviti lasak yang terdapat di destinasi pelancongan tersebut.

Menurut beliau, menaiki ATV memberi satu kepuasan kepada beliau untuk mencuba trek mencabar di taman tersebut selain perlu menunggangnya lebih berhati-hati agar tidak menganggu wilayah binatang yang terdapat di situ.

“Rupanya banyak ‘pantang larang’ yang perlu diikuti ketika berkonvoi menunggang ATV di dalam hutan ini bagi mengelakkan daripada sebarang kemalangan yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung di taman tersebut.

“Golongan remaja perlu mengambil peluang ini untuk berkunjung ke taman safari bagi meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai haiwan di Malaysia, ambil tahu mengenai haiwan yang hampir pupus dan cara menjaga alam sekitar,” ujarnya.

Di Wild Savannah Taman Safari Bukit Gambang, Pahang pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat haiwan liar dengan menaiki tram khas yang dilengkapi dengan aspek keselamatan tinggi.