Kompleks Kraf Johor atau lebih dikenali dengan panggilan KKJ merupakan destinasi persinggahan para pelancongan yang berkonsepkan ikonik seni dan budaya tempatan di selatan tanah air itu.

KKJ membawa pendekatan ‘Alami dan Rasai’ pengalaman estetika serta autentik melalui konsep penghayatan, pengalaman dan perkongsian.

Pengarah Kompleks Kraf Johor, Nor Azmi Ismail berkata, KKJ dibuka secara rasminya kepada orang ramai setelah dinaik taraf pada 6 Oktober 2016.

“Bangunan ini pada asalnya merupakan pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Johor, yang dinaik taraf menjadi Kompleks Kraf Johor.

“Kini, kompleks ini merupakan pusat sehenti bagi aktiviti kraf dan kesenian serta menjadi hab pemasaran produk tempatan bagi Zon Selatan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Nor Azmi menambah, kompleks seluas 3.41 hektar yang terletak di Larkin, Johor itu menawarkan pelbagai produk pelancongan seni kraf yang berteraskan konsep pembudayaan, pemasaran dan pendidikan.

“Ia meliputi lima kategori produk kraf tangan tempatan melibatkan hasil rimba, tekstil, hasil tanah, logam dan aneka kraf,” ujarnya.

Selain itu, Nor Azmi berkata, bukan sekadar untuk dikunjungi, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti kesenian dan kebudayaan yang dianjurkan.

Antaranya interaktif kraf, bengkel pembuatan kraf, demonstrasi kraf, persembahan muzikal serta aktiviti lawatan berpandu berkumpulan.

Bayaran

Antara aktiviti interaktif kraf yang ditawarkan pula adalah mencanting batik, membuat penanda buku, mewarna seramik, membuat layang-layang, bakul rotan, gendang mini dan bermain alat muzik seperti kompang.

“Setiap aktiviti itu dikenakan bayaran antara RM10 hingga RM35 mengikut masa yang ditetapkan.

“Walaupun dikenakan bayaran, saya yakin pengunjung yang datang sangat berpuas hati kerana pengalaman seperti ini tidak terdapat di luar sana,” jelasnya.

Seterusnya, Nor Azmi memberitahu, pengunjung juga berpeluang melihat persembahan muzikal yang dimainkan oleh penduduk kampung yang memang bekerja di lokasi itu.

“Persembahan itu memang menggunakan alat muzik tradisional tetapi menariknya lagu-lagu yang dimainkan adalah mengikut trend masa kini,” jelasnya.

Dari segi kemudahan pula, Nor Azmi memberitahu, KKJ mempunyai ruang sewaan seperti bilik seminar atau kursus yang dapat menampung 30 hingga 50 orang peserta. Juga lengkap dengan pendingin hawa, sistem siar raya (PA sistem), projektor dan layar.

Bumbung KKJ yang bercirikan seni bina rumah limas Johor itu turut menghimpunkan koleksi seni kraf warisan yang mencerminkan identiti negeri itu di Galeri Kraf.