Kehadiran 10 spesies burung enggang adalah satu kelebihan bagi hutan itu. Jadi, tidak hairanlah jika kawasan itu dikenali sebagai Hornbill Capital of the World oleh Persatuan Ekopelancongan dan Konservasi Malaysia (Ecomy).

BTFC yang terdiri daripada tiga hutan simpan iaitu Hutan Simpan Gerik, Hutan Simpan Banding dan Hutan Simpan Temenggor serta sebuah taman negeri iaitu Taman Negeri Royal Belum adalah ibarat ‘syurga’ bagi golongan pemerhati burung.

Menyedari potensi kawasan itu, Ecomy dengan kerjasama Belum Rainforest Resort, Belum Forest Friends (BFF) dan Perbadanan Taman Negeri Perak menganjurkan aktiviti memerhati burung seperti Royal Belum International Hornbill Expedition 2018 yang berlangsung dari 3 hingga 5 September lalu. Ia antara usaha memupuk kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Pakar berkaitan burung, Andrew Sebastian yang juga Presiden Ecomy berkata, secara tidak langsung, aktiviti seumpama itu boleh meletakkan BTFC serta daerah Gerik sebagai destinasi penting untuk melihat burung, selari dengan keistimewaan daerah itu dari segi pemeliharaan kepelbagaian biodiversitinya.

Beliau berkata, jika cuaca baik dan kena pada waktunya, besar kemungkinan kesemua 10 spesies enggang yang terdapat di lokasi itu boleh dilihat, termasuk enggang tebang mentua (helmeted hornbills) yang dikategorikan sebagai sangat terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

“Kami bertuah kerana kawasan hutan ini mempunyai tarikan tersendiri iaitu 10 spesies enggang atau kenyalang yang sukar didapati di kawasan lain.

“Antara bulan Julai hingga September, ratusan enggang boleh dilihat dan lebih kerap di sekitar tasik buatan di lokasi ini,” katanya baru-baru ini.


Hampir pupus

Malah, hutan itu juga sering didatangi satu lagi spesies iaitu enggang hutan (plain-pouched hornbill) atau nama saintifiknya, Aceros subruficollis.

Spesies itu adalah satu-satunya enggang migrasi dari Thailand yang turut menjadikan Hutan Ulu Muda di Padang Terap, Kedah sebagai ‘rumah’ keduanya.

Sembilan lagi spesies enggang sememangnya menjadikan hutan berusia 130 juta tahun itu sebagai habitat.

Tambah beliau, sangat merugikan jika keunikan kawasan itu tidak dipromosi dengan lebih meluas sebagai destinasi ekopelancongan negara khususnya buat peminat burung dari serata dunia yang sanggup datang ke negara ini semata-mata mahu melihat gelagat burung itu.

Andrew berkata, menerusi ekspedisi itu, pihaknya berusaha membantu Belum Rainforest Resort dan Perbadanan Taman Negeri Perak mengenal pasti spesies burung yang terdapat di hutan tersebut, sekali gus boleh dieksploitasi sebagai produk pelancongan baharu berasaskan pakej melihat burung selain elemen semula jadi lain yang diketengahkan sebelum ini.

“Ekspedisi diadakan pada bulan ini kerana ini merupakan bulan bagi enggang hutan migrasi dari tempat pembiakannya di negara jiran. Pada tahun lalu, kira-kira 100 hingga 3,261 ekor enggang itu dilihat lokasi ini,” katanya.

Berhubung enggang tebang mentua yang diancam kepupusan pula, Andrew berkata, pihaknya kini dalam usaha memantau dan memberi kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan spesies unggas berkenaan biarpun ia hanya boleh dilihat di hutan itu.

Enggang tebang mentua adalah spesies yang sangat menarik dan mempunyai bonjolan besar berwarna merah seperti gading di atas paruhnya serta ekornya adalah lebih panjang berbanding spesies enggang lain.

“Taburan unggas itu boleh didapati di Asia Tenggara tetapi semua negara merekodkan bahawa spesies tersebut kini hampir pupus kerana dibunuh oleh pemburu haram bagi menjual gading red ivory di pasaran gelap.

“Sesetengah orang percaya gading enggang itu mempunyai tuah dan berkhasiat untuk mengubati penyakit,” katanya.

Pencinta burung

Berpeluang ‘menghendap’ unggas yang pelbagai itu terbang bebas pada habitatnya di Hutan Royal Belum adalah satu pengalaman yang menakjubkan.

Aktiviti yang dianjurkan sempena Royal Belum International Hornbill Expedition 2018 itu disertai sekumpulan pencinta burung dari dalam dan luar negara.

Berdasarkan beberapa siri tinjauan bersama pakar burung, antara enggang yang menanti untuk diburu menggunakan teropong atau lensa kamera di lokasi itu ialah enggang tebang mentua (helmeted hornbill), enggang kelingking (oriental pied hornbill), enggang kekek (black hornbill), enggang buluh (bushy-crested hornbill), enggang berkedut (wrinkled hornbill), enggang badak (rhinoceros hornbill), enggang papan (great hornbill), enggang bulu (white-crowned hornbill), enggang gunung (wreathed hirnbill) serta enggang hutan (plain-pouched hornbill).

Menurut laporan kaji selidik Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), kedatangan 3,150 peminat burung dari luar negara ke Malaysia pada tahun 2015 telah menjana perbelanjaan kira-kira RM20.3 juta.

Malah, Malaysia berada di tempat kelima di benua Asia sebagai destinasi pilihan pemerhati burung liar selepas India, China, Thailand dan Indonesia.

BTFC yang seluas 300,000 hektar itu diwartakan pada 3 Mei 2007 dan merupakan perlindungan untuk pelbagai hidupan liar dan burung serta mempunyai lebih 12,000 spesies flora dan fauna. – Bernama