Bandar raya Melaka bagaikan bandar dalam taman, kerana di celah-celah sistem jalan raya yang teratur dan bangunan tinggi serta moden, mata akan dipukau keindahan landskap taman dan bunga-bungaan yang ditata rapi dan bersih.

Tidak hairanlah, jika The Riviera Melaka yang terletak di Pulau Melaka, Banda Hilir kini menjadi lokasi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain lokasinya yang strategik di kawasan pembangunan bersepadu Gateway Melaka, The Riviera Melaka hakikatnya diinspirasi daripada keindahan The French Riviera yang terletak menghadap perairan Mediterranean di tenggara Perancis.

Justeru, hotel yang siap dibina enam bulan lalu ini menerima sentuhan dan inspirasi seni bina menarik Perancis berasaskan zaman Renaissance pada zaman kurun ke-19.

Ketelitian hasil kerja tukang jelas terserlah pada reka bentuk luaran bangunan hotel khususnya balkoni setiap unit bilik eksklusif yang ditawarkan kepada pengunjung.

Bagi memberi kelainan, ruang lobi hotel telah diberi sentuhan vintaj serba indah yang tentunya mengimbau nostalgia kepada pengunjung.

Mata pasti terpesona dengan pelbagai dekorasi barangan lama yang disusun rapi terutama replika kedai gunting rambut, stesen minyak dan kedai runcit ala tahun 1950-an.

Mengulas mengenai penginapan, pemilik hotel itu, Datuk K.K. Lim berkata, The Riviera Melaka mempunyai 176 buah bilik yang menawarkan pengalaman istirehat yang selesa.

“Terdapat lima jenis suite di The Riviera Melaka, iaitu Superior Twin, Deluxe King dan Executive.

“Bagi yang ingin meluangkan masa pada hujung minggu bersama keluarga, pakej percutian di Family Suite dan Premier King Suite merupakan pilihan yang paling ideal,” katanya.

Menurut Lim, perhiasan bilik juga moden dan sangat praktikal. Kesemua bilik lengkap dengan sambungan Wi-Fi percuma, televisyen LCD 42 inci dan seni reka dalaman yang unik.

Selain itu, The Riviera Melaka turut menawarkan sebuah kolam renang dalaman untuk kegunaan tetamu yang menginap.

Soal makan pula, The Riviera Melaka menawarkan restoran La Vie En Rose Cafe yang menyajikan aneka makanan menyelerakan.

“Apa yang menarik, pengunjung boleh bersantai di pekarangan luar hotel sambil menyaksikan pemandangan indah sambil menikmati hembusan bayu Selat Melaka,” ujarnya.

Bagi yang mahu bersenam pula, sebuah gimnasium disediakan demi memenuhi kehendak para pengguna.

“The Riviera Melaka juga mempunyai kemudahan dewan utama untuk penganjuran majlis-majlis tertentu serta ruang mesyuarat yang lengkap dengan kemudahan teknologi canggih,” tuturnya.

Secara keseluruhan, hotel ini sangat sesuai buat pengunjung yang sukakan keunikan dan kelainan. Jika anda berkunjung ke Melaka, anda boleh menginap di The Riviera Melaka.