Tertarik dengan nama program larian yang jarang didengarinya itu, dia mencari maklumat lanjut berhubung larian itu di laman enjin carian Google.

Daripada situ, dia mengetahui bahawa larian itu sudah bermula sejak tahun 2018 dan memasuki musim kedua pada tahun ini.

Sambil membaca, dia juga melihat gambar yang turut dikongsi oleh beberapa peserta yang menyertai program tersebut pada tahun lalu.

“Saya lihat suasana program itu sangat meriah, bukan sahaja penyertaan yang ramai malah suasananya nampak penuh warna-warni selepas disembur dengan cat oleh kakitangan bertugas.

“Tanpa berfikir lanjut, saya kemudiannya memutuskan untuk turut serta dan mengajak beberapa lagi rakan yang lain,” ujarnya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Kata anak kelahiran Banting, Selangor itu, Larian Illumi boleh dikatakan satu acara yang unik kerana konsepnya jauh berbeza dengan program larian yang lain.

“Program ini bukan sahaja menggalakkan peserta mengamalkan amalan gaya hidup sihat tetapi juga mengajak kita berseronok sambil beriadah bagi mengelakkan kebosanan,” katanya yang merupakan seorang kakitangan swasta.

Dianggarkan kira-kira seramai 6,500 orang membanjiri padang Kelab Turf Selangor, Seri Kembangan bagi menyertai acara larian sejauh 4 kilometer baru-baru ini.

Keseronokan

Acara yang memasuki edisi kedua itu diadakan lagi pada tahun ini bersempena sambutan baik yang diterima pada tahun lalu dan berjaya menarik kehadiran lebih 4,000 orang.

Selain itu, acara yang dianjurkan oleh Infinitus Productions Pte. Ltd. (Infinitus Productions) dengan kerjasama MPI Generali Insurans Bhd (MPI Generali) itu turut menarik penyertaan peserta luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Generali, K. G. Krishnamoorthy Rao berkata, penganjuran acara larian itu adalah untuk membawa keseronokan kepada orang ramai sambil melakukan aktiviti riadah.

“Sambil berlari, para peserta akan disembur dengan cat air yang bersinar pada waktu malam.

“Program larian ini bukan sahaja sesuai dinikmati oleh individu malah buat seisi keluarga,” katanya.

Jelasnya lagi, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menganjurkan acara seperti itu sebaliknya sudah banyak dianjurkan oleh beberapa buah negara lain seperti Australia, China dan Singapura.

“Objektif ini bukan sekadar menggalakkan orang ramai mengamalkan aktiviti yang bermanfaat semata-mata sebaliknya mereka juga diajak untuk bergembira.

“Orang ramai tidak akan berasa letih sambil berlari kerana ada hiburan disediakan buat mereka,” ujarnya lagi.

Sepanjang larian itu, pengunjung akan melalui empat zon bercahaya yang berlainan tema iaitu Glow Mania yang mempamerkan lukisan dengan cat bersinar di dalam terowong.

Peserta kemudiannya akan melalui zon Bubble Pop dan Neon Life iaitu zon yang menampilkan lampu cahaya berwarna-warni sambil diiringi rentak muzik yang mengasyikkan.

Semburan cat

Zon terakhir yang akan dilalui ialah Crazy Laser iaitu peserta akan ditembak dengan sinaran cahaya yang akan membuatkan mereka terpana dengan cahaya yang cerah.

Tambah menarik kerana di setiap zon terdapat kakitangan yang sedia menunggu untuk menyimbah peserta dengan semburan cat pelbagai warna.

Bayangkan anda memulakan larian dengan memakai baju putih tetapi pada akhirnya pakaian itu diwarnai dengan tompokan pelbagai warna seakan-akan pelangi.

Selain itu, persembahan secara langsung oleh beberapa orang pengacara lagu Jennif-F, Tiger Ming dan Edwin menjadi kemuncak acara tersebut.

Dalam pada itu, beberapa aktiviti juga turut disediakan buat pengunjung yang tiba lebih awal sebelum pelepasan seperti bermain gelongsor angin, melompat petak serta menikmati bertih jagung dan gula-gula kapas.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Amni Amrina Abu Amin, 21, berkata, dia menyertai program tersebut selepas diajak oleh seorang rakannya yang turut serta dalam larian tersebut.

Tambahnya, pada mulanya dia menyangka program tersebut sama seperti acara larian lain yang pernah disertainya sebelum ini tetapi ternyata sangkaannya meleset.

“Program ini sangat menarik dan meriah. Kami bukan sahaja berlari, malah turut diberikan peluang bergambar di setiap perhentian yang disediakan.

“Bagaimanapun, lebih mengujakan apabila ada peserta mula menjerit selepas melepasi setiap perhentian dan situasi itu berlaku kerana rupa-rupanya terdapat kakitangan yang menunggu untuk menyembur cat,” katanya.