hadir bagi memeriahkan pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor bulan lalu, kanak-kanak kelihatan begitu riang menyaksikan aksi-aksi spontan maskot-maskot adiwira PJ Masks itu yang membuat kemunculan di Blue Concourse LG2 pusat beli-belah itu.

PJ Masks ialah judul sebuah rancangan televisyen animasi kanak-kanak yang mengisahkan tiga adiwira PJ Masks iaitu Catboy (biru), Owlette (merah) dan Gekko (hijau) yang menentang penjenayah pada waktu malam untuk mengelakkan kekacauan pada siang hari.

Kegembiraan kanak-kanak jelas kelihatan apabila ramai yang sanggup beratur bersama ibu bapa masing-masing bagi merakam gambar sebagai kenang-kenangan dengan figura-figura adiwira tersebut.

Kunjungan mereka telah berlangsung selama kira-kira tiga minggu dari 6 Jun hingga 23 Jun lalu.

Seorang kanak-kanak, Mohd. Irfan Syahmi, 7, berkata, dia sering melihat watak adiwira-adiwira tersebut di kaca televisyen yang disiarkan di saluran Astro 613 Disney Junior pada pukul 5.30 petang setiap hari.

“Saya berasa gembira kerana dapat datang ke sini bersama ibu dan datuk bagi menemui adiwira PJ Masks.

“Kehebatan aksi-aksi yang ditunjukkan juga amat menarik minat saya untuk menjadi seorang adiwira seperti mereka pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di pusat beli-belah itu baru-baru ini.

Kanak-kanak yang berusia tujuh tahun itu juga menjelaskan, dia amat menyukai watak adiwira Catboy (biru) yang juga merupakan salah seorang ketua kepada trio tersebut.

“Catboy memiliki kuasa yang hebat iaitu kepantasan dan kelincahannya serta kebolehannya mendengar bunyi yang sangat perlahan dari jarak begitu jauh.

“Owlette pula sangat pintar dan hebat merancang, membuatkannya tangkas bertindak. Owlette berkemampuan untuk terbang, mempunyai penglihatan yang hebat dan apabila dia mengibarkan sayapnya, orang jahat akan terpelanting jauh,” ujarnya begitu bersemangat.

Permainan

Menurutnya lagi, Gekko ialah ahli pasukan ini yang paling muda tetapi sangat kuat dan mempunyai kuasa untuk melekat atau samaran yang hebat.

Ketiga-tiga adiwira ini mampu menangani sebarang situasi dan melalui pengembaraan penuh aksi mereka menyelesaikan misteri dan kekacauan di seluruh bandar.

Ibu kanak-kanak itu, Izzuana Raja Hamid, 33, memberitahu bahawa program kunjungan adiwira seumpama itu dapat menarik minat orang ramai seisi keluarga untuk berkunjung ke situ.

“Anak-anak saya memang minat melihat aksi-aksi yang dipamerkan PJ Masks yang ditonton mereka dalam televisyen.

“Jadi, saya membawa mereka ke sini bagi merakam gambar serta bermain dengan pelbagai aktiviti dan permainan yang menarik seperti Spot The Ninjalinos, Mix Match The PJ Masks, Game On PJ Masks, Superhero Selfies dan banyak lagi,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengunjung yang datang dari Bangi, Selangor, Fong Kwai Wing, 61, berkata, dia bersama suaminya bersantai dengan membawa cucu mereka untuk melihat PJ Masks di Sunway Pyramid.

“Ini merupakan kali kedua saya datang ke sini bersama cucu bagi merakam gambar bersama maskot adiwira tersebut.

“Selain itu, saya juga dapat berjalan-jalan melihat pelbagai kedai yang menarik di sini,” jelasnya.

Mengulas mengenai PJ Masks sebagai tarikan di Sunway Pyramid, Ketua Pegawai Operasi Pusat Beli-Belah Sunway, Kevin Tan berkata, pihaknya ingin menjadikan ia suatu destinasi di mana mimpi boleh menjadi realiti.

“Ia boleh menjadikan setiap kunjungan sebagai suatu pengembaraan yang penuh keajaiban untuk kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

“Pengunjung juga dapat menemui adiwira-adiwira PJ Masks kegemaran secara langsung sambil menyaksikan mereka mempamerkan kuasa hebat,” ujarnya.