Begitupun, pemuda yang berusia 21 tahun itu memberitahu, aksi berkenaan sebenarnya sudah biasa dilakukannya kerana sebelum ini dia pernah mengambil lesen terjunan udara ketika belajar di luar negara di Langar, Nottingham, Britain pada 2016 selama tiga bulan.

Namun, setelah pulang ke tanah air, aktiviti tersebut tidak dapat dilakukannya secara kerap ekoran ketiadaan tempat yang sesuai untuk berlatih memahirkan diri dalam sukan ekstrem itu. Tetapi mujurlah 1 Utama E ada menyediakan sebuah kemudahan simulasi sukan terjunan udara berkenaan yang dinamakan sebagai AirRider.

Kepuasan

“Saya memilih sukan ini kerana ia memberi kepuasan tersendiri ketika terjun dari ketinggian antara 5,000 hingga 10,000 meter. Ia satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Dengan adanya AirRider ini, saya dapat berlatih sekurang-kurangnya dua kali dalam sebulan untuk mahir dalam sukan ini, lagipun ia juga berdekatan dengan rumah saya di Damansara,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun, tidak ramai individu memilih untuk terlibat dalam sukan ini kerana faktor risiko kemalangan yang tinggi dan perasaan gayat. Bagi Faris Husaini, kini perkara itu tidak lagi menjadi penghalang kerana orang ramai berpeluang untuk mencuba sendiri di AirRider.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Indoor Skydive Australia, Wayne Jones, pihaknya mencipta terowong angin dengan teknologi moden bagi simulasi terjunan udara sejak 2013. Ia mula dibuka buat julung-julung kalinya di Australia.

Pada awal tahun 2017, satu memorandum persefahaman untuk pembangunan itu ditandatangani dengan penggabungan entiti tempatan Leisureworld Escapades, sekali gus menggunakan jenama AirRider.

“Dilengkapi dengan teknologi angin terkini, AirRider ini dibina dengan piawaian tertinggi dan mempunyai terowong angin menegak lengkap peralatan khusus serta teknologi canggih yang diimport dari Republik Czech dan Australia.

“Sekarang semua orang boleh terbang dalam persekitaran yang selamat dan terkawal kerana ia dikendalikan oleh tenaga pengajar dan jurulatih terbaik dunia. Kesemuanya telah dilatih secara profesional dan berkelayakan melalui Persatuan Terjunan Udara Antarabangsa,” katanya.

Terowong angin itu juga diperbuat daripada kaca khas dengan ukuran 3 meter lebar dan ketinggian 10 meter supaya penerjun bebas bergerak ketika melakukan gerakan aerobatik.

“Selain itu, di ruangan dasar terowong terdapatnya lantai trampolin keluli tahan karat berkualiti tinggi seperti sebuah pesawat, malah kelajuan angin di dalam angin ini mampu mencapai sehingga 250 km/j.

“Di AirRider, seseorang boleh mahir untuk melakukan terjunan dalam masa yang singkat. Ia merupakan tempat yang baik untuk aktiviti sosial, kelas kurikulum sekolah, sambutan hari lahir dan penerjun udara profesional untuk menggunakan sebagai kemudahan latihan.

Terjunan

“Pakej terjunan udara yang ditawarkan untuk aktiviti ini bermula pada RM45. Pengunjung dapat merasai pengalaman berlegar-legar di dalam terowong angin kira-kira satu jam 45 minit,” ujarnya.

Selain AirRider terdapat satu lagi aktiviti sukan ekstrem dilancarkan baru-baru ini iaitu sukan luncur air, FlowRider di aras bawah bangunan 1 Utama E.

Pengurus FlowRider, Alfian Affandi Juan’at memberitahu, pengunjung dapat menikmati sukan luncur air dengan suasana air pancut air seperti ombak sebenar yang membolehkan mereka melakukan pelbagai aksi meluncur menggunakan papan lungsur.

"Flowboarding boleh dikategorikan sebagai salah satu sukan luncur di dunia. Ia menggabungkan beberapa aktiviti antaranya papan selaju, bodyboarding, wakeboarding dan snowboarding.

“Ia direka di Selatan California, Amerika Syarikat dan merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia serta dibina dalam pusat beli-belah," katanya.

Tambah Alfian Affandi, aktiviti itu boleh dilakukan oleh kanak-kanak dan golongan dewasa yang memenuhi syarat kelayakan tertentu.

"Ombak yang terbentuk dengan kelajuan air 32 km/j di sini juga selamat untuk para pengunjung. Begitupun, dari segi aspek keselamatan perlu dititikberatkan oleh mereka seperti memakai pakaian renang ketika melakukan aktiviti ini," ujarnya.

Jelas Alfian Affandi, harga yang ditawarkan untuk mencuba aktiviti FlowRider itu pula selama satu jam setiap sesi bermula RM45 pada hari bekerja dan RM55 pada hujung minggu atau cuti umum.

Dalam pada itu, bagi seorang pengunjung, Mohd. Fattah Zakaria, 26, berkata, dia menyambut baik usaha yang dibawa oleh pihak 1 Utama E dalam membina simulasi sukan luncur air di pusat beli-belah itu.

Keselamatan

Katanya, para pengunjung kini mempunyai pelbagai pilihan dalam melakukan aktiviti sukan ekstrem yang mereka minati pada bila-bila masa.

“Sejak dibuka awal tahun ini, hampir setiap minggu dua hingga tiga kali, saya ke sini untuk beriadah bersama rakan-rakan.

“Kebetulan kami juga mempunyai komuniti tersendiri dalam sukan luncur air ini iaitu Flowmobster yang ditubuhkan sejak tahun 2016,” katanya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

Tambah Mohd. Fattah, para pengunjung tidak perlu risau tentang keselamatan ketika melakukan aktiviti berkenaan kerana ia turut dipantau oleh kakitangan yang berpengalaman dan professional.

“Kepada yang belum mencuba aktiviti ini, saya sarankan mereka datang ke sini dan merasai sendiri keasyikan serta pengalaman yang menyeronokkan di FlowRider,” katanya.

Peminat sukan ekstrem seperti luncur air dan terjunan udara kini menjadikan pusat beli-belah 1 Utama di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor sebagai lokasi baharu untuk beriadah.