Salah satu destinasi tarikan pelancongan yang terdapat di negeri itu ialah Zoo Melaka dan Safari Malam. Ia terletak di kawasan Ayer Keroh dan jarak zoo dari pusat bandar Melaka hanya kira-kira 13 kilometer.

Zoo Melaka yang dibuka pada tahun 1963 dengan keluasan 22 hektar merupakan zoo kedua terbesar di Malaysia. Ia mengamalkan konsep terbuka dengan mengekalkan persekitaran alam semula jadi yang menghijau.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Jualan Zoo Melaka dan Safari Malam, Ahmad Azizi Ramdan, ia juga berperanan sebagai pusat penyelidikan hidupan liar, pemuliharaan, pembiakan pusat pendidikan zoo.

Katanya, terdapat lebih 1,200 haiwan yang merangkumi kira-kira 430 spesies. Pelbagai tarikan terdapat di Zoo Melaka seperti binatang liar dari dalam dan luar negara termasuk harimau Malaya, badak Sumatera, harimau belang, seladang, kijang dan rusa.

“Waktu terbaik untuk melawat adalah pada waktu pagi kerana haiwan masih aktif dan menunggu waktu makan. Selepas makan, kebanyakan haiwan akan menghabiskan masa berehat ataupun tidur.

“Perjalanan anda untuk meneroka kawasan zoo yang cukup luas ini juga dipermudah dengan adanya pengangkutan tram, selain papan tanda dilengkapi informasi menarik mengenai haiwan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Ahmad Azizi, Zoo Melaka bukan sekadar lokasi untuk melihat pelbagai jenis haiwan tetapi ia turut menawarkan pemuliharaan binatang liar khususnya dalam pembiakan serta perlindungan haiwan terancam.

“Bagi menghasilkan pameran haiwan yang terbaik, Zoo Melaka menyediakan persekitaran semula jadi dengan tumbuh-tumbuhan dan kolam air sebagaimana habitat asal haiwan tersebut.

“Suasana alam semula jadi di Zoo Melaka juga cukup menenangkan kerana ia bagaikan sebuah kawasan rekreasi yang sangat menarik. Berjalan santai dari satu tempat ke tempat lain juga cukup mendamaikan,” ujarnya.

Gelagat haiwan

Pengunjung pasti terhibur melihat pertunjukan haiwan seperti aksi burung-burung, gajah Asia dan harimau Malaya yang dilakukan oleh jurulatih berpengalaman.

Selain itu, Ahmad Azizi memberitahu, tidak lengkap melawat Zoo Melaka jika tidak mengunjungi Safari Malam.

Katanya lagi, pengunjung boleh melihat aktiviti dan gelagat haiwan liar pada waktu malam.

“Pelbagai perkara menarik dan penemuan baharu menanti pengunjung seperti mengesan kedudukan haiwan, melihat cara haiwan tidur dan mengetahui jenis haiwan yang aktif pada waktu malam.

“Safari Malam pasti memberi satu pengalaman baharu yang menyeronokkan. Salah satu aktiviti menarik yang boleh dilakukan ialah Jungle Trail (Rhythm of the Night).

“Ia merupakan aktiviti pada waktu malam dalam kawasan zoo diikuti jejak ke Taman Buaya. Pengunjung turut berpengalaman melihat haiwan, kicauan burung-burung dan suara binatang-binatang liar yang terdapat di zoo,” jelasnya.

Secara amnya, Zoo Melaka merupakan lokasi menarik dan sesuai untuk seisi keluarga. Bagi yang mementingkan pendidikan anak-anak, melawat zoo adalah pendedahan yang sangat baik.

Oleh itu, rancang awal untuk mengikuti program yang ditawarkan di Zoo Melaka. Bukan sekadar melakukan aktiviti yang menyeronokkan, pendedahan kepada haiwan liar akan memberi kesedaran betapa program pemuliharaan haiwan kepada generasi akan datang.