Sebaik sahaja tiba di jeti D Tours Kuala Selangor Sdn. Bhd. pada pukul 5.30 petang, pelancong Jepun itu bersama pengunjung-pengunjung yang lain dikehendaki memakai jaket keselamatan untuk menaiki bot.

Mereka kemudian dibawa menelusuri Sungai Selangor untuk ke lokasi memberi makan helang di kawasan sungai tersebut.

D Tours Kuala Selangor Sdn. Bhd. merupakan salah satu syarikat yang mengusahakan aktiviti memberi makan helang di Pasir Penambang.

“Kedatangan kami disambut berpuluh ekor helang. Pada masa yang sama ratusan burung camar iaitu spesies burung yang berpindah-randah turut dapat disaksikan.

“Paling menyeronokkan apabila dapat melihat helang membuka sayapnya dengan penuh gaya menuju ke permukaan air sungai untuk menyambar kulit ayam yang kami berikan,” katanya yang mengikuti lawatan anjuran sebuah syarikat kembara, Gaya Travel baru-baru ini.

Luah Kinjo, ia merupakan pengalaman yang sangat indah buat dirinya apabila berpeluang melihat burung helang terbang menyambar makanan dari jarak hanya 50 meter.

Nelayan

Kinjo berkata, lebih menarik apabila panorama helang-helang itu yang berterbangan sewaktu matahari hampir tenggelam sangat mendamaikan jiwa.

Ujarnya, ditambah dengan pemandangan paya bakau dan jeti-jeti di sekeliling sungai itu, ia membolehkannya merakamkan pelbagai sudut gambar menarik untuk dikongsi dengan keluarganya di Jepun.

Aktiviti memberi makan helang di situ telah menjadi tarikan pelancong sama ada dalam kalangan warga tempatan terutamanya di Selangor, Perak dan Kuala Lumpur atau pelancong asing.

Dengan berlatarbelakangkan cahaya matahari terbenam yang indah, pengunjung begitu teruja menyaksikan camar dan helang sama-sama bersaing untuk memenuhkan perut masing-masing.

Menurut Pengarah D Tours Kuala Selangor Sdn. Bhd., Ng Hock Soon atau lebih dikenali sebagai Johnsan Eagle King, aktiviti memberi makan helang di situ sebenarnya masih asing dalam kalangan pelancong tempatan dan mereka lebih kerap mendapat kunjungan pelancong luar negara.

Katanya, beliau mendapat ilham untuk mengusahakan tarikan pelancongan itu pada sembilan tahun lalu selepas duduk berbincang bersama nelayan-nelayan tempatan mengenai kehadiran burung berkenaan di kawasan berkenaan.

“Ketika itu, ada 10 hingga 20 ekor helang muncul, jadi timbul idea untuk memberi makan kepada burung-burung itu. Lama-kelamaan, jumlahnya makin banyak dan aktiviti ini mendapat sambutan pelancong.

“Bagi pengunjung tempatan, kebanyakannya yang datang dari sekitar Lembah Klang pada awalnya langsung tidak tahu terdapat aktiviti ini di sini. Mereka teruja kerana tidak perlu lagi ke Pulau Langkawi semata-mata untuk melihat burung helang,” katanya.

Jelasnya lagi, adakalanya kehadiran helang di situ boleh mencecah sehingga 100 ekor.

Justeru, Johnsan Eagle King, berkata, tiada sebab untuk pelancong yang ingin melihat helang pergi ke tempat lain memandangkan di situ juga mempunyai tarikan yang sama.

“Malah, kami turut menyediakan pakej untuk para pelancong yang ingin melihat keindahan ‘sungai berlampu’ pada waktu malam kerana dipenuhi kelip-kelip.

“Pelancong akan berpuas hati jika datang ke sini kerana pelbagai aktiviti boleh disertai,” kata bapa kepada dua orang anak itu.

Menurut Johnsan Eagle King, masa terbaik untuk menjalankan aktiviti memberi makan helang bermula pada pukul 3 petang sehingga 6.45 petang kerana pada waktu itu, burung berkenaan dalam perjalanan pulang ke sarang selepas keluar memburu.

Katanya, pengunjung dewasa dikenakan bayaran RM25 manakala RM15 bagi kanak-kanak. Bagi pelancong asing dewasa dan kanak-kanak pula masing-masing dikenakan bayaran RM40 dan RM35.

“Harga yang dikenakan sangat berpatutan kerana kami menyediakan bot yang beratap dan kelengkapan jaket keselamatan.

“Semasa di dalam bot, penumpang dilarang berdiri dan membuang sampah sesuka hati. Mereka juga tidak boleh memberi makanan selain yang dibekalkan kerana dikhuatiri mencemarkan air sungai,” jelasnya.

Penambah seri

Selain itu, Johnsan Eagle King berkata, pihaknya juga menjual T-shirt untuk kenang-kenangan pelancong yang datang ke sini dengan harga bermula daripada RM15.

Dalam pada itu, terangnya, kehadiran burung camar di lokasi berkenaan tidak menentu dan biasanya pada penghujung tahun.

Turut diakui oleh pemandu bot tersebut, Amirul Wafi Ramdzhan, burung camar yang berwarna putih itu merupakan penambah seri tempat tersebut.

Katanya, pertambahan burung itu membuatkan permintaan pelanggan kian meningkat.

“Kini saya membawa kira-kira tujuh hingga lapan rombongan setiap hari dari pelbagai negara termasuk warga tempatan,” ujarnya yang telah bekerja selama setahun sebagai pemandu bot untuk syarikat D Tours Kuala Selangor Sdn. Bhd.

Ujarnya, anggaran makanan yang diberikan adalah lima hingga enam kilogram kulit ayam setiap hari kepada burung-burung tersebut.

Pada masa sama, Amirul Wafi memaklumkan, biasanya pengunjung yang datang ke situ akan mengikuti pakej yang turut menawarkan aktiviti menyaksikan kelip-kelip pada waktu malam.

Kuku kakinya yang tajam dan sayap yang lebar menyerlahkan kehebatan haiwan pemangsa itu saat menyambar makanan pada permukaan air Sungai Selangor.