Mula mengikuti abangnya yang meminati aktiviti mendaki, dia kini turut menjadikan aktiviti itu sebagai rutin sejak lima tahun lalu setiap kali tibanya hujung minggu.

Mengakui pada mulanya sering berasa sesak nafas ekoran masalah kesihatannya itu, kini ia semakin berkurangan selepas aktiviti itu dilakukan secara berterusan.

“Walaupun ketinggiannya hanya 156 meter, pendakian ini boleh dikatakan agak mencabar kerana jalannya yang agak curam apatah lagi bagi mereka yang baru kali pertama mencuba.

“Pada peringkat awal dahulu, saya sering semput namun tetap meneruskan pendakian. Kini, saya sudah mampu mendakinya sebanyak tiga pusingan dalam satu masa,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Tambah Hakam Adli, Bukit Besar boleh dikatakan lokasi tumpuan masyarakat di daerah Kuala Terengganu dan Marang untuk beriadah memandangkan lokasinya yang tidak jauh dan selesa untuk orang ramai.

“Pada mulanya, saya datang ke sini sekadar mengikut abang secara suka-suka pada hujung minggu namun kini sudah menjadi rutin memandangkan ia menyeronokkan dan bagus untuk kesihatan.

“Di sini saya bukan sahaja dapat mencergaskan tubuh badan malah turut dapat berkenalan dengan rakan-rakan baharu terutamanya mereka yang sering kali ke sini,” katanya yang merupakan penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Bukit Besar merupakan kawasan tanah tinggi yang dikira paling tinggi di daerah Kuala Terengganu dan dikenali ramai kerana adanya papan tanda yang tertulis ‘Allah Peliharakanlah Terengganu’.

Keindahan

Bukit Besar merupakan satu destinasi untuk berekreasi dengan cara berjalan mendaki ke atas bukit yang dibuka pada orang ramai untuk menikmati keindahan Terengganu dari puncaknya.

Dari puncak Bukit Besar, pengunjung boleh dikatakan dapat melihat keseluruhan kawasan bandar Kuala Terengganu termasuk beberapa tarikan lain yang ada seperti Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam dan Sungai Terengganu.

Bukan setakat itu sahaja, berhadapan Bukit Besar itu pula terdapat taman rekreasi yang boleh dikatakan serba lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti trek larian, taman permainan, pondok rehat, pentas utama, kafeteria serta tandas awam.

Selain itu, taman rekreasi tersebut turut dilengkapi dengan peralatan senaman yang seakan-akan peralatan di gimnasium.

Bagi mengelakkan sebarang kecederaan, arahan penggunaan yang betul bagi setiap alat senaman tersebut turut disediakan.

Tanpa mengira hujung minggu atau hari biasa, boleh dikatakan kawasan itu sentiasa dipenuhi oleh orang ramai sama ada yang datang bersama keluarga atau rakan-rakan.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, pihaknya melihat potensi Taman Rekreasi Bukit Besar untuk dibangunkan sebagai destinasi tarikan pengunjung dan pusat riadah utama.

Tambahnya, lokasi kawasan itu yang strategik mampu menyemarakkan lagi aktiviti kebudayaan dan kesenian Terengganu.

“Pihak MBKT mempunyai perancangan untuk menjalankan beberapa aktiviti seperti program kebudayaan dan pertunjukan pentas sebagai langkah memastikan tempat tumpuan tersebut mampu memberi manfaat kepada semua pihak,” menurutnya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Hanan Hayati Mohd., 16, berkata, selain mendaki, dia juga gemar berjoging di taman rekreasi dan mencuba peralatan senaman yang disediakan.

Ujarnya, dia dan ahli keluarganya yang lain sering ke taman rekreasi tersebut pada sebelah petang.

“Ibu saya suka mengikuti kelas tarian senamrobik yang dijalankan secara percuma manakala saya dan ayah pula berjoging mengelilingi taman rekreasi ini.

“Sememangnya lokasi ini sangat sesuai untuk dikunjungi bersama keluarga dan rakan-rakan. Bukan sahaja dapat menjaga kesihatan malah hubungan sedia ada juga akan dapat dieratkan,” ujarnya ceria.