Antara aktiviti atau hobi yang digemari ramai rakyat Malaysia terutamanya kaum lelaki adalah memancing.

Bagi kaki pancing, kegiatan itu mampu memberi kepuasan yang tersendiri terutamanya apabila joran disambar ikan-ikan.

Kaki-kaki pancing lazimnya menganggap lokasi terbaik untuk memancing adalah di laut dalam namun ia kadangkala memakan masa beberapa hari dan memerlukan kos yang agak besar.

Justeru, mereka mencari pilihan-pilihan lokasi lain. Ada dalam kalangan pemancing yang memilih untuk memancing di kelong-kelong untuk melepaskan gian melayangkan joran kerana kosnya juga lebih murah.

Bagi kaki pancing yang tinggal di sekitar Lembah Klang dan masih tercari-cari lokasi menarik untuk memancing, Kelong Greenway yang terletak berhampiran Pulau Ketam, Klang, Selangor boleh dipertimbangkan untuk dijadikan tempat untuk melakukan aktiviti itu.

Kelong tersebut sering menjadi tumpuan ramai. Kebiasaannya ia akan dipenuhi kaki-kaki pancing pada hujung minggu.

Untuk ke kelong tersebut, kaki pancing boleh menaiki bot di jeti Pulau Ketam dengan bayaran sebanyak RM15 bagi perjalanan satu hala.

Di situ, pengunjung boleh memilih sama ada pakej harian atau bermalam.

Harga yang ditawarkan bagi pakej harian atau memancing sehari ialah RM30 manakala harga pakej bermalam ialah RM60 seorang.

Bagi yang memilih untuk bermalam, kemudahan penginapan turut disediakan.Kelong itu boleh dikatakan selesa dan lengkap dengan kemudahan-kemudahan asas.

Selain bilik penginapan, kelong tersebut dilengkapi tempat memasak, ruang menonton televisyen, ruang solat dan tandas.

Kelong itu pada asalnya adalah sangkar ikan sebelum ia diubah suai menjadi lokasi untuk memancing.

Pelbagai jenis ikan boleh dipancing di kelong tersebut antaranya siakap, pari, jenahak dan ikan merah.