NOF6 menjanjikan ketakutan buat pengunjung yang hadir kerana ‘hantu-hantu’ yang berkeliaran di sepanjang kawasan Sunway Lagoon tidak akan membiarkan anda berjalan dengan tenang.

Ada sahaja yang datang mengganggu. Tidak kira datang dalam jelmaan badut menakutkan, pemotong daging manusia yang mengerikan mahupun hantu rahib wanita seperti dalam filem seram The Nun.

Setiap sentimeter pelosok kawasan Sunway Lagoon dipenuhi dengan ketakutan. Ia ditambah lagi dengan dekorasi yang digantung sepanjang kawasan termasuk kepulan asap yang mampu menimbulkan suasana menyeramkan buat pengunjung.

Bagi edisi tahun ini, NOF6 mengetengahkan sebanyak lapan buah rumah hantu untuk dikunjungi.

Dimulakan dengan Phobia: Coulrophobia-The Fear of Clowns, ia menjanjikan ketakutan maksimum buat mereka yang sememangnya mempunyai trauma terhadap badut.

Ini kerana dalam rumah itu, apa yang menanti kedatangan anda adalah badut menakutkan, bukannya yang membuatkan anda ketawa.

Rumah sembelih

Belum reda dengan ketakutan itu, teruskan penjelajahan anda ke Slaughterhouse 13 yang merupakan rumah penyembelihan milik Chan. Di sana, pengunjung akan melalui episod menggerunkan apabila terdapat beberapa mayat manusia yang masih berlumuran darah tergantung di dalam peti sejuk.

Adakah salah satu daripada mayat itu merupakan milik Calvin Chan, anak kepada pemilik rumah penyembelihan tersebut?

Tidak ketinggalan bagi peminat naskhah seram dari Hollywood, NOF6 turut menyajikan pengalaman menarik menerusi Horrorwood Studios Wax Museum of Monsters yang menjanjikan peluang pengunjung untuk bertemu dengan watak filem ikonik menakutkan.

Jika ingin lari sedikit daripada ketakutan dengan elemen seram Hollywood, pengunjung juga berpeluang memasuki satu lagi rumah iaitu Scarytales Theatre.

Di dalam rumah itu, pengunjung dikehendaki duduk di atas kerusi kayu seperti menonton wayang pada zaman silam. Pada ketika itulah pengunjung ditayangkan dengan cerita seram berkenaan kisah hantu.

Antaranya Pontianak, Toyol dan Pocong. Dalam pada leka menonton penceritaan itu, pengunjung dikejutkan dengan bunyi tapak kaki yang berlari laju, namun bayangnya tidak kelihatan.

Jika diamati, itu adalah jelmaan toyol yang akan mengganggu ketenteraman pengunjung sehingga tidak senang duduk.

Malah, kelibat pocong yang melompat dari satu sudut ke satu sudut lain turut mencetuskan panik selain kelibat pontianak yang berambut hitam panjang dari tingkap di tingkat atas mampu membuatkan pengunjung menjerit ketakutan.

Tahun ini merupakan edisi keenam festival itu diadakan sebagai acara tahunan di Sunway Lagoon sementelah kelima-lima edisi sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif The Sudden Impact! Entertaiment Company, Lynton V Harris, NOF6 kali ini banyak diinspirasikan daripada kisah seram Barat, namun turut menyelitkan elemen cerita rakyat dari negara Asia.

“Dalam memastikan pengunjung akan kembali datang ke acara tahunan ini, kami di The Sudden Impact! Entertainment Company menambah baik program dan tidak sabar menantikan reaksi pengunjung yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan.