Ibu negaranya, Taipei terkenal sebagai bandar metropolis, pasar malam dan semestinya kepelbagaian makanan jalanan yang enak.

Kota metropolis ini terkenal dengan bangunan pencakar langit dan salah satunya ialah Menara Taipei 101 yang menjadi mercu tanda kota Taipei.

Dengan ketinggian 508 meter, ia pernah diiktiraf sebagai menara tertinggi di dunia sebelum terbinanya Burj Khalifa di Dubai.

Maka, tidak sah lawatan ke Taipei jika tidak mengambil gambar berlatarbelakangkan menara itu.

Cara yang terbaik ialah dengan mendaki Xiangshan yang juga dikenali sebagai Gunung Gajah dan melihat sendiri kemegahan menara itu dari jarak 1.2 kilometer (km).

Waktu melawat yang terbaik sebenarnya adalah pada waktu matahari terbenam tetapi kerana kekangan waktu, saya hanya berkesempatan melihatnya pada waktu malam.

Ia memberi peluang kepada saya untuk melihat bandar raya yang berwarna-warni disimbah cahaya neon dan bermandikan sinar rembulan.

Kebanyakan tempat-tempat pelancongan semula jadi di Taiwan terletak di pinggir bandar Taipei dan mengambil masa lebih kurang dua jam perjalanan dengan menaiki kereta api.

Festival tanglung

Antara tempat yang wajib dikunjungi ialah Shifen Old Street yang terletak di daerah Pingxi. Ia terkenal dengan landasan kereta api lama dan Festival Tanglung Pingxi Sky yang mendapat rekod perayaan tanglung kedua terbesar di dunia oleh Discovery Channel.

Secara peribadi, Pingxi ialah tempat yang paling mengujakan sepanjang empat hari dan tiga malam saya berada di Taiwan.

Tiada sebarang bayaran dikenakan kecuali jika ingin membeli tanglung. Hanya tuliskan nama dan hajat, kemudian tanglung itu akan dilepaskan ke udara.

Di daerah ini juga terletaknya Air Terjun Shifen yang mendapat jolokan Niagara of Taiwan.

Pelancong yang berminat untuk ke air terjun itu boleh berjalan kaki dari stesen kereta api Shifen selama lebih kurang 20 minit sahaja.

Pada waktu malam, saya dan tiga rakan lain berkunjung ke Jiufen Old Street yang terletak di daerah Ruifang, tidak jauh dari daerah Pingxi.

Keindahan cahaya tanglung yang bergantungan di seluruh kawasan itu sangat indah walaupun pada waktu kunjungan saya hujan sangat lebat.

Di lokasi itu turut terdapat banyak kedai yang menjual cenderamata selain makanan dan snek.

Sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancong luar dan tempatan ialah Jiufen Old Street yang agak sesak pada hari minggu.

Kami juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar di salah satu tarikan yang terkenal iaitu A Mei Tea House.

Kesan peninggalan penjajahan Jepun masih boleh dilihat dengan jelas di Taiwan.

Salah satunya ialah Terowong Fulong Old Caoling yang dibina pada tahun 1924 dan dibuka semula pada tahun 2008 menjadi laluan berbasikal mesra pelancong.

Pengalaman berbasikal melalui terowong sepanjang 2km bersama teman-teman sangat menyeronokkan.

Taiwan juga terkenal dengan mata air panasnya iaitu Kolam Air Panas Beitou. Ia terletak sejauh satu jam perjalanan dari Taipei.

Saya berasa sangat tenang apabila berada di kawasan itu kerana udaranya yang segar, alam semula jadi menghijau dan air sungainya yang jernih mengalir di sepanjang jalan.

Makanan halal

Mencari makanan halal di Taipei juga tidak sesukar yang dijangka. Salah satu restoran halal yang menjual hidangan signatur Taiwan iaitu mi sup daging ialah Chang’s Beef Noodles Shop di Ximending.

Saya juga tidak melepaskan peluang mencuba minuman teh susu yang sememangnya sinonim dengan masyarakat setempat.

Kunjungan saya ke Taiwan memberi suatu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Apa yang dapat saya simpulkan daripada percutian singkat itu ialah Taiwan merupakan sebuah negara yang sangat bersih dan alam semula jadinya masih terjaga indah.

Saya pasti akan kembali semula ke Taiwan bagi menyelongkar banyak lagi tempat menarik yang tidak sempat dilawati pada perjalanan kali ini.