Dia tidak mahu ketinggalan menonton siri kartun animasi Dash! Yonkuro yang disiarkan tepat pukul 4 petang pada setiap hari Isnin itu.

Siri kartun yang pernah ditayangkan pada tahun 1990 itu ternyata memberi kesan yang besar kepada Mohd. Sharul.

Pada ketika itu, dia baru berusia 12 tahun dan sangat meminati siri kartun terbitan sebuah syarikat produksi dari Jepun tersebut.

“Pada masa itu, saya memang cepat terpengaruh dengan apa sahaja rancangan yang dipaparkan di kaca televisyen. Maklumlah, minda saya masih kebudak-budakan dan tiada alatan elektronik atau gajet seperti golongan muda sekarang.

“Bagi saya, itu sahaja cara kanak-kanak pada era 1990-an berimaginasi iaitu dengan permainan yang mereka minati,” kata lelaki yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan itu.

Siri kartun itu memaparkan kisah lima sahabat yang diketuai oleh seorang kanak-kanak, Yonkuro Hinomaru dalam pasukan lumba kereta mini, Dash Warrior.

Selain animasi, kereta mini yang digunakan oleh setiap watak dalam siri kartun itu juga merupakan alat permainan popular untuk kanak-kanak pada waktu itu.

Model kereta yang digunakan oleh Yonkuro iaitu Emperor menjadi kegilaan kanak-kanak.

“Pada awal tahun 1990-an, kereta Tamiya ini sukar diperoleh di Seremban. Saya terpaksa ke Kuala Lumpur untuk mendapatkannya.

“Selalunya, jika saya berkunjung ke Kuala Lumpur bersama keluarga, saya tidak akan melepaskan peluang untuk membeli walaupun sudah memiliki lebih daripada dua buah kereta pada masa itu,” jelas bapa kepada dua orang cahaya mata tersebut.

Kekangan

Bekas pemain bola sepak pasukan DRB Hicom itu berkata, ketika itu Hankyu Jaya, Sogo dan Kerry’s adalah antara pusat beli-belah yang menjual kereta mini Tamiya.

Mereka juga sering mengadakan perlumbaan untuk kanak-kanak dan golongan dewasa di ibu negara.

Selepas melewati usia kanak-kanak, Mohd. Sharul tidak lagi meneruskan hobi tersebut kerana kekangan kos yang tinggi.

Namun, kewujudan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram memupuk kembali minat Mohd. Sharul terhadap hobi tersebut ketika usianya menjengah 32 tahun.

“Saya kembali mengumpul kereta mini Tamiya dan menyertai perlumbaan kecil-kecilan sejak setahun lalu. Aksesori dan alat ganti kereta Tamiya mudah didapati menerusi rakan-rakan di laman sosial.

“Permainan kereta mini Tamiya ini merupakan satu cara untuk saya mengimbau zaman kanak-kanak.

“Zaman sudah berubah, permainan ini kembali popular dalam kalangan orang dewasa dan kebanyakannya seusia dengan saya,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada Cabaran Semi Teknikal Tamiya (CSTT) di Pusat Konvensyen Bangi, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, pengasas syarikat TProject yang merupakan penganjur pertandingan itu, Mohd. Shahmi Lubis berkata, perlumbaan tersebut dianjurkan bagi menggalakkan interaksi antara peserta.

Ini kerana masyarakat pada masa ini lebih banyak menghabiskan masa dengan permainan video di laman sosial.

Jelasnya, Tamiya merupakan jenama alat permainan, kit model dan kereta kawalan radio yang sangat popular pada tahun 1990.

Daisheng (M) Sdn. Bhd., merupakan satu-satunya pembekal permainan jenama Tamiya di Malaysia.

“Antara komponen asas sebuah kereta mini Tamiya ialah casis, roda, motor, bering dan bateri bersaiz AA. Kesemua komponen itu amat penting untuk menggerakkan kereta mini ketika berada di litar.

“Walaupun kelihatan mudah, para pelumba kereta mini perlu memahami aspek teknikal dalam penalaan kereta.

“Selain itu, perbezaan struktur rekaan litar memerlukan modifikasi penalaan kereta mini yang berbeza,” jelasnya yang hampir 10 tahun menceburi dunia kereta Tamiya tersebut.

Selain itu, dia yang juga pelumba kereta Tamiya berkata, ciri-ciri teknikal seperti memasang dan memadankan bahagian casis kereta mini bersama aksesori perlumbaan harus dititikberatkan oleh para pelumba.

“Kereta mini ini tidak mempunyai alat kawalan jauh. Ia bergantung kepada penalaan iaitu dengan memadankan aksesori dan alat ganti mengikut keadaan litar.

“Ia bergantung kepada penalaan iaitu dengan memadankan aksesori dan alat ganti mengikut keadaan litar,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Mohd. Shahmi menjelaskan, litar yang berliku, bergelung, pusingan tebing curam dan jambatan seharusnya mempunyai modifikasi penalaan yang berbeza.

Katanya, kestabilan kereta mini boleh dilihat daripada aspek cengkaman tayar dan pergerakan di litar.

“Komponen penting iaitu pemberat membantu menstabilkan kereta mini. Selain itu, gegelung pada fiber resin polikarbonat (Frp) bahagian casis juga dapat mengurangkan geseran di litar.

“Frp merupakan komponen yang harus ada pada bahagian casis kereta terutamanya dalam perlumbaan. Saiz dan bentuk Frp juga mempunyai peranan yang berbeza,” tuturnya.

Bercerita lebih lanjut, pemuda berkaca mata itu berkata, produk Tamiya juga telah memperkenalkan 13 jenis casis dan dua jenis motor dalam permainan kereta mini tersebut.

Antara casis yang popular ialah casis FM, Super FM, Super X, Middle Motor Speed dan TZX.

“Super 2 merupakan kategori casis yang mendapat sambutan dalam kalangan pelumba kereta mini di negara ini. Harganya lebih murah berbanding casis-casis lain dan sesuai untuk pelumba baharu.

“Motor pula merupakan komponen untuk menentukan kelajuan kereta dan mempunyai dua jenis yang popular iaitu Dash Series serta Tune Series,” jelasnya.

Hadiah

Dalam pada itu, Mohd Shami memberitahu, pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM800 berserta piala itu berjaya menarik 46 penyertaan daripada pelbagai peringkat umur.

“Para peserta bukan sahaja dapat beriadah tetapi bergaul dengan masyarakat.

“Apa yang menariknya, majoriti peserta perlumbaan ini adalah golongan dewasa berumur antara 25 hingga 35 tahun,” katanya.

Sementara itu, pembekal dan peniaga barangan kereta mini Tamiya, Zairee Amini Zazuli, 34, berkata, permainan ini semakin mendapat perhatian terutamanya daripada golongan berusia 20-an hingga awal 30-an.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan membeli produk Tamiya yang diimport dari Jepun dan China di premisnya di tingkat bawah tanah di Kompleks Perbadanan Negeri Selangor.

“Malah, kami turut menyediakan litar lumba selain perkhidmatan membaiki serta ubah suai kereta supaya ia lebih menepati cita rasa pelanggan.

“Sebenarnya, penyediaan litar ini memberi impak positif kepada kami kerana pelanggan selalu datang ke sini untuk bermain. Kami tidak kenakan sebarang bayaran,” ujarnya yang mempunyai empat orang pekerja.

Jelas Zairee Amini, permintaan terhadap kereta mini Tamiya masih lagi tinggi kerana setiap bulan hampir 300 unit akan dijual.

Pemilik kedai Dash Yankuro Speed Hobby itu juga akan menambah stok kereta mini pada setiap bulan kerana mendapat permintaan yang tinggi terutamanya di laman Facebook.

Dia memberitahu, kereta mini Tamiya dijual pada harga RM45 hingga RM70 bergantung kepada model dan harga pasaran semasa di negara ini.

Pada masa sama, Zairee memberitahu, pihaknya juga kerap mengadakan pertandingan untuk mencungkil bakat-bakat baharu selain menarik minat golongan muda.

“Contohnya, pada 5 Ogos ini, kami akan mengadakan satu pertandingan semi teknikal Tamiya di sini (kedainya) bagi persediaan untuk mengharungi pertandingan berskala antarabangsa pada bulan Oktober nanti,” ujarnya.