Selesai sahaja bersarapan di lobi hotel, lima gadis itu terus menuju ke Jeti Marina Labuan bagi menaiki bot yang akan membawa mereka berjalan-jalan ke sebuah pulau utama di Labuan iaitu Pulau Rusukan Besar.

Walaupun masa boleh dikatakan masih awal pagi, kesemua mereka tampak bersemangat dan ceria sambil bergelak ketawa.

Luah gadis yang berasal dari Johor itu, dia dan rakan-rakannya sememangnya gemar bercuti jika mempunyai kelapangan memandangkan ia adalah aktiviti yang paling menyeronokkan.

“Kebiasaannya kami merancang cuti bersama-sama terlebih dahulu agar mudah untuk merancang destinasi yang ingin dituju.

“Pada kali ini, kami memutuskan untuk bercuti di Labuan kerana ia merupakan lokasi yang belum ramai kunjungi dan semestinya jauh daripada kesibukan ibu kota,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Walaupun perjalanan mereka dari jeti ke pulau dianggarkan memakan masa antara 45 minit hingga satu jam bergantung kepada keadaan laut, namun ia langsung tidak membosankannya apabila disajikan keindahan laut yang terbentang luas.

Sebaik sahaja bot tiba di jeti pulau, jelas kelihatan wajahnya yang teruja sambil menunjukkan ke arah kawanan ikan yang sedang berenang di dalam laut yang jernih itu.

Luahnya, dia sudah lama mengimpikan percutian di pulau kerana keseronokannya jauh berbeza jika dibandingkan bercuti di bandar-bandar besar.

Pengalaman

“Tidak perlu ke luar negara, pulau-pulau yang ada di negara ini sudah cukup terbaik dan masih banyak belum saya kunjungi.

“Bekerja di ibu kota sudah cukup membosankan, jadi sekali-sekala adalah lebih baik menghabiskan masa di tempat yang jauh daripada semua itu,” ujarnya.

Tambah Noor Athirah, ia merupakan pengalaman indah buatnya apabila berpeluang mencuba pelbagai aktiviti di pulau tersebut.

Pulau Rusukan Besar merupakan salah satu daripada pulau yang telah digazetkan sebagai Taman Laut Labuan sejak tahun 1994.

Terdapat tiga buah pulau yang telah digazetkan oleh kerajaan Labuan iaitu Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman.

Menurut Pengarah Jabatan Taman Laut Wilayah Persekutuan Labuan, Anuar Deraman, ketiga-tiga pulau tersebut terletak berdekatan antara satu sama lain.

“Memandangkan pulau ini dikategorikan sebagai taman laut, segala aktiviti yang mengancam dan mengganggu gugat kesejahteraan hidupan marin seperti memancing, memukat dan menangkap ikan adalah tidak dibenarkan,” tegasnya.

Bagi sesiapa yang berminat untuk berkunjung ke Taman Laut Labuan, mereka yang terdiri daripada warganegara akan dikenakan caj sebanyak RM5 untuk dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

Bagi bukan warganegara, caj yang dikenakan pula ialah RM30 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak.

Tambah Anuar, pulau-pulau yang terdapat di situ adalah sangat terpelihara dan menjadi keunikan kepada Labuan.

Menurutnya, persekitaran yang cantik dengan suasana yang menyegarkan serta air laut membiru serta jernih menjadi antara daya penarik kepada orang ramai untuk datang ke pulau itu.

“Pulau Rusukan Besar juga dikenali sebagai lokasi pemuliharaan penyu sejak 2011, manakala pemulihan batu karang di sini pula bermula sejak 2015.

“Dalam tempoh itu sehingga sekarang, kira-kira 3,000 ekor anak penyu berjaya dilepaskan ke laut,” katanya.

Aktiviti

Antara aktiviti yang menjadi perhatian pengunjung ialah berenang, snokerling serta menikmati keindahan panorama yang ada.

Jika di Pulau Kuraman Besar pula, pengunjung juga boleh berjalan mengelilingi pulau yang mengambil masa kira-kira satu jam sahaja.

Selain daripada pelbagai aktiviti, terdapat juga banyak kemudahan yang disediakan buat pengunjung seperti tandas awam, calet, tapak barbeku dan balai informasi pulau.

Seorang pelancong dari Jepun, Kyoko Namoto, 52, berkata, Malaysia sememangnya dikenali oleh orang luar sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian pulau yang cantik dan unik.

Baginya, percutian ke negara ini boleh dikatakan tidak akan lengkap jika tidak berkunjung ke mana-mana pulau yang ada.

“Saya berasakan bahawa persekitarannya yang masih terjaga dan dipulihara menjadi penyebab kepada keindahan pulau-pulau di negara ini.

“Dengan keindahan persekitaran yang memukau seperti air laut yang jernih dan udara segar, ia sememangnya lokasi yang sesuai untuk dikunjungi,” katanya.

Dia yang bekerja di syarikat swasta turut berkongsi kegembiraannya selepas berpeluang menikmati keindahan dan berseronok di pulau tersebut.

“Bukan sahaja bermandi-manda, saya juga dapat berjalan-jalan mengelilingi pulau ini sambil menikmati pemandangan yang mengasyikkan.

“Apa yang pasti ialah ini bukanlah kali pertama dan terakhir saya berkunjung ke sini,” katanya gembira.