Bersesuaian dengan statusnya sebagai pusat komersial negara yang menguasai ekonomi Eropah, arus kemodenan di kota London begitu deras mengalir di sebalik persekitaran yang sedikit klasik.

Bangunan pencakar langit melitupi permukaan kota yang baharu di samping latar belakang gedung-gedung ala Victoria serta laluan bas-bas dua tingkat berwarna merah atau Double Decker yang memang sinonim dengan London.

Setelah lebih 15 tahun tidak ke London, penulis akhirnya berpeluang menjejakkan kaki di kota itu. Penulis tiba di London pada penghujung musim luruh, saat musim sejuk mula menunjukkan kelibatnya.

Biarpun kedinginan dapat dirasai, ia hanyalah ‘sapaan manja’ musim sejuk. Cuaca yang tidak terlalu sejuk dan panas itu memang menjadi kegemaran penulis.

Kereta api khas

Tidak perlu bersarung tangan dan berbaju berlapis-lapis. Dua lapis baju sudah memadai untuk mengekang angin yang kadangkala bertiup kencang.

Penulis bersama seorang lagi rakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gatwick pada waktu malam dari sebuah kota lain di Eropah. Dari situ, kami menaiki kereta api khas Gatwick Express yang sangat cepat dari Gatwick ke stesen utama Victoria.

Setibanya di stesen Victoria, kami bergegas ke hotel yang lokasinya tidak terlalu jauh kerana waktu semakin larut. Kami bermalam di sebuah hotel yang cantik dan sangat selesa di tengah-tengah pusat kota.

Hotel yang bernama Royal Lancaster itu sudah berusia 50 tahun dan baru sahaja menjalani proses pengubahsuaian serta inovasi. Selain bilik yang selesa dan cantik, hotel ini turut menawarkan hidangan lazat.

Kebetulan kami tiba pada waktu malam dalam keadaan lapar, kami letakkan barang-barang dan terus menjamu selera di restoran Island Grill di hotel itu sambil menikmati menu ikan serta makanan laut yang lazat.

Pada keesokan harinya, kami benar-benar tidak sabar hendak menjelajahi kota London kerana sudah lama tidak ke sana.

Cara paling cepat untuk melihat kota London sepintas lalu adalah dengan menaiki kereta api bawah tanah atau London Underground yang turut dikenali sebagai Tube dalam bahasa tempatan.

Kebetulan hotel kami juga terletak bersebelahan dengan stesen Lancaster Gate, jadi ia memudahkan kami untuk bergerak. Kami ingin melihat bagaimana persekitarannya pada waktu siang.

Selesai sarapan, kami terus mengambil keputusan untuk ke kawasan pusat kota. Kami ke kawasan Marble Arch yang merupakan sebahagian daripada kawasan utama di situ. Bangunan di situ cantik dan banyak kedai jenama terkenal.

Kami menaiki bas Hop-On Hop-Off seperti di Kuala Lumpur dengan memilih bas milik Golden Tours yang melewati tempat-tempat penting tumpuan pelancong.

Ia mengelilingi satu putaran khas daripada beberapa lokasi dan penumpang akan dibawa melalui mercu tanda London yang tersohor seperti Tower Bridge, Istana Buckingham, bangunan Parlimen serta London Shard.

Kami turut berpeluang untuk membeli-belah di Oxford Street yang terkenal dengan aneka kedai pakaian daripada pelbagai jenama tempatan Inggeris serta luar negara yang lain.

Tidak terlalu jauh dari situ juga ialah hotel kedua untuk penginapan kami pada hari seterusnya iaitu Hotel One Aldwych.

Lokasi hotel ini memang strategik kerana ia juga berdekatan dengan kawasan pusat kota dan mudah untuk menaiki pengangkutan awam. Restorannya, Eneko turut menyajikan pelbagai sajian yang lazat dan harus dicuba.

Kami tidak melepaskan peluang ke kawasan taman Hyde Park untuk menikmati suasana segar ketika itu. Ramai orang kelihatan melakukan aktiviti beriadah seperti bersenam, berbasikal, berjoging dan berlari.

Cenderamata

Kami juga sempat ke Covent Garden yang terkenal sebagai sebuah kawasan pasar yang menjual pelbagai barangan daripada makanan sehinggalah cenderamata. Tidak jauh dari situ terletaknya daerah West End yang merupakan kawasan seni persembahan London.

Jika di New York mempunyai daerah seperti Broadway, London juga mempunyai West End dan di situlah pelbagai persembahan teater muzikal terbesar dan tersohor dipersembahkan.

Oleh itu, buat pencinta seni persembahan, pastikan anda mengunjungi kawasan West End.

Satu lagi mercu tanda yang harus dilawati oleh pengunjung yang baharu pertama kali ke kota ialah London Eye. Ia merupakan sebuah Ferris Wheel atau Roda Ferris yang boleh dinaiki sambil melihat pemandangan London yang indah.

Secara amnya, suasana bersiar-siar sambil membeli-belah di London memang mengasyikkan. Warga London begitu bergaya dan bandar raya mereka sangat pesat.

Penulis menikmati setiap detik bersiar-siar sambil menghayati pemandangan gah kota London yang dihiasi lampu dan pelbagai papan iklan digital. Apatah lagi di waktu malam, London sentiasa ada tarikannya yang tersendiri.

Mudah untuk ke mana-mana serta tiada masalah komunikasi, London memang harus dilawati andai berpeluang.

Penulis yakin bagi sesiapa yang tidak pernah ke London, anda pasti terpegun dengan kehebatannya dan akan kembali lagi bila berpeluang.

n Adakah anda seorang pelancong atau penggemar aktiviti lasak dan berminat berkongsi pengalaman? Jika ya, hantarkan artikel untuk disiarkan dalam kolum Percutianku/
X-plorasi.

n Sila sertakan 10 keping gambar pelbagai sudut berbeza dan panjang artikel kira-kira 900 perkataan.

n Sertakan butir-butir peribadi seperti nama, nombor telefon, pekerjaan, umur, tempat tinggal dan negara yang pernah dilawati.

n Hantarkan ke [email protected]
 – PENGARANG

Perancis

England