Kawasan paya seluas hampir 300 hektar yang terbiar sejak dua dekad lalu itu akan menjadi tumpuan umum apabila ia dibangunkan sebagai lokasi pelancongan melihat burung atau dikenali sebagai avitourism.

Sebelum ini, pemerhati burung dari seluruh dunia akan berkumpul di Bukit Fraser dan Taman Negara Kuala Tahan, Pahang untuk melihat ratusan spesies burung tempatan termasuk yang berhijrah dari luar negara.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya berkata, pihaknya bersama Kumpulan Pemerhati Burung Taman Negara dengan kerjasama penduduk di kawasan sekitar telah meninjau paya itu dan ia amat sesuai untuk dijadikan lokasi memerhati burung.

Hasilnya, mereka sepakat menganjurkan Ekspedisi Memerhati Burung Paya Kangsar pada 23 dan 24 Februari lalu.

Program selama dua hari itu turut mendapat kerjasama Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Rang, Perian, Kedondong, dan Pulau Tawar.

Acara yang julung-julung kali diadakan itu disertai oleh 155 pelajar sekolah rendah dan menengah serta dibantu lebih 50 orang sukarelawan termasuk pemerhati burung profesional dari luar negara.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Piol, SK Perian, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar, SMK Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak dan SMK Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

“Kami memberi penerangan kepada peserta mengenai jenis-jenis, alatan yang digunakan serta cara mengenal pasti spesies burung sepanjang ekspedisi ini dijalankan.

“Peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka bergerak ke lokasi yang sesuai untuk melihat burung bersama sukarelawan yang berpengalaman,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Penganjur turut mengadakan pertandingan mewarna dan mencipta logo ekspedisi yang melibatkan semua peserta.

Menurutnya, sebanyak 85 spesies burung air ditemui dan 32 daripadanya merupakan burung hijrah termasuk dari Siberia serta Korea.

Pemerhati profesional

Para peserta ekspedisi itu sangat bertuah kerana mereka dapat menimba ilmu pengetahuan bersama dua orang pemerhati burung profesional iaitu Dom Davidson dari England dan Vincent Ferriot dari Paris, Perancis.

Davidson dan Ferriot yang pakar dalam mengecam spesies burung banyak membantu peserta ekspedisi dan sukarelawan lain untuk mengenal pasti burung-burung yang terdapat di sekitar paya berkenaan.

Penggunaan teropong, teleskop dan kamera khas turut membantu peserta untuk mengenal pasti burung serta menangkap gambar sebagai bukti.

Antara burung yang ditemui adalah burung seliah, burung layang-layang hijrah, burung cekup padi, burung takur besar dan burung bangau kecil.

Idros memberitahu, penemuan banyak spesies burung itu akan mengundang lebih ramai pelancong terutamanya dari luar negara ke kampung berkenaan bagi melihat dengan lebih dekat burung-burung air.

Jika ia mendapat sambutan ramai, tidak hairanlah kampung itu akan menjadi salah satu lokasi yang dimuatkan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Bukit Rang, Sharudin Idris berkata, kawasan paya tersebut merupakan bekas sawah padi yang diusahakan oleh penduduk satu masa dahulu.

“Sayangnya kawasan ini sudah terbiar hampir 20 tahun dan hanya dijadikan tempat menternak haiwan seperti kerbau. Jadi, usaha untuk menjadikan kawasan ini sebagai avitourism disambut baik oleh penduduk setempat,” ujarnya.

Beliau berkata, penduduk setempat juga telah membina menara tinjau menggunakan kayu dan buluh bagi membolehkan orang ramai yang ingin melihat burung berada di tempat yang strategik.

Bagi seorang peserta ekspedisi, Mohd. Faiq Khairul Nizam, 15, dari SMK Pulau Tawar, program itu amat menyeronokkan kerana dia dapat mengenali banyak spesies burung.

“Saya dapat melihat banyak burung yang cantik dan membezakan burung air serta burung daratan,” katanya.

Muhammad Izzul Amir Rozaimi, 14, pula memberitahu, dia dapat mengetahui burung tempatan dan luar negara setelah menyertai program itu.

“Saya juga dapat menggunakan alatan canggih untuk melihat burung dengan lebih dekat biarpun ia berada pada jarak yang jauh,” ujar pelajar SMK Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak itu.