Sinonim dengan panggilan Pulau Mutiara, negeri itu mempunyai pelbagai tempat menarik untuk diterokai.

Salah satu lokasi yang boleh diterokai di pulau itu ialah Jeti Chew.

Jeti Chew yang merupakan antara beberapa jeti tradisional yang menjadi tempat berlabuh kapal-kapal dagang sekitar tahun 1900-an masih didiami waris generasi terawal pada hari ini.

Banyak sejarah awal Pulau Pinang dari aspek budaya dan komuniti penghuninya boleh diperhatikan di lokasi itu.

Terletak berhampiran dengan terminal feri George Town, terdapat rangkaian rumah-rumah kayu yang dibina di kawasan jeti tersebut.

Lokasi itu diberi nama Jeti Chew sempena nama Chew iaitu keluarga pertama yang membina kediaman di kawasan tersebut.

Jeti tersebut menjadi tempat pendaratan imigran Cina dari Tanah Besar China yang datang mencari kerja di Pulau Pinang pada ketika itu.

Kelompok rumah-rumah kayu dibina oleh pendatang Cina yang bekerja berhampiran pelabuhan pada abad ke-19.

Kebanyakan pendatang pada waktu itu, berhijrah dari kawasan pantai di tenggara China yang dikenali sebagai wilayah Fujian dan turut membawa bersama ahli keluarga mereka.

Rumah-rumah di lokasi itu dibina berdekatan antara satu sama lain dan ia dipisahkan dengan sebuah lorong kecil sahaja.

Kini, Jeti Chew menjadi antara salah satu lokasi tarikan yang sering dikunjungi pengunjung.

Ciri-ciri tradisional

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Fatin Najihah berkata, pemandangan di Jeti Chew sungguh menakjubkan.

“Di penghujung jeti, pengunjung berpeluang untuk melihat pemandangan laut yang begitu mempesonakan.

“Selain itu, seni bina rumah-rumah kayu yang dibina juga unik dan masih mengekalkan ciri-ciri tradisional,” jelasnya.

Tambah Fatin Najihah, apa yang menarik ialah terdapat banyak cenderamata yang boleh dijadikan kenang-kenangan dijual di lokasi itu.

Bagi pengunjung yang ingin berkunjung ke Jeti Chew, terdapat pelbagai kemudahan pengangkutan awam yang boleh digunakan.

Selain itu, pengunjung juga boleh berbasikal untuk ke lokasi tersebut kerana ia terletak berdekatan dengan tempat-tempat menarik lain yang terletak di George Town yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).