Kawasan sekeliling pada waktu itu sangat gelap kecuali kerlipan lampu-lampu yang bertaburan di atas landasan kapal terbang.

Perasaan saya ketika itu bercampur baur antara rasa tidak sabar dan gementar. Saya sedar, Pakistan bukanlah destinasi percutian yang ideal.

Tambahan pula, media jarang melaporkan kisah-kisah menarik tentang negara yang mempunyai penduduk ketujuh paling ramai di dunia itu.

Kebanyakan media sering mengulas cerita-cerita mengenai pergolakan seperti rampasan kuasa oleh puak militan dan siri keganasan.

Sebelum berlepas ke negara Asia Selatan itu, ramai yang bimbang dengan keselamatan saya sepanjang percutian musim panas berkenaan.

Ramai yang tidak sedar bahawa Pakistan mempunyai kisah lain yang menarik. Seorang penduduk tempatan memberitahu saya, media Barat sering menggambarkan Pakistan dalam zon perang.

Sesetengah kawasan, terutamanya di Balochistan iaitu kawasan sempadan Afghanistan dan Kashmir, diskriminasi terhadap wanita berkulit putih masih kuat.

Begitupun, negara ini masih mempunyai kawasan yang aman seperti rantau Punjab dan Gilgit-Baltistan.

Kedua-dua wilayah ini boleh diteroka selagi anda mengamalkan langkah-langkah keselamatan asas dan sentiasa peka dengan keadaan semasa.

Penjelajahan saya bermula di Islamabad. Ibu kota ini sangat berbeza daripada gambaran yang pernah dilihat dalam Homeland.

Drama bersiri itu menggambarkan jalan-jalan di situ berdebu dan diiringi oleh jeritan orang ramai. Sebenarnya, ibu kota ini sangat tenang dan hijau.

Di sepanjang jalan utama, beberapa lelaki muda menjual mangga segar dan kedai makanan segera Barat beroperasi dengan banyaknya.

Di satu sisi bandar tersebut, Himalaya Massif giat membina hutan hujan yang indah dengan monyet menjerit dari puncak pokok.

Pada satu sudut lain, terdapat Masjid Faisal yang dihadiahkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Pakistan.

Saya juga berkesempatan mendaki hutan hujan Bukit Mangla. Di sini, saya dapat menikmati pemandangan seluruh bandar raya sambil melihat hutan hijau yang tidak berkesudahan.

Ketika berada di puncak Mangla, saya mendapat perhatian penduduk tempatan. Lelaki, wanita dan kanak-kanak tempatan mahu melihat kulit putih dan rambut perang saya.

Para wanita di sana turut memuji saya kerana mengenakan Kameez iaitu pakaian tradisional masyarakat tempatan.

Semua orang ingin berswafoto dengan saya untuk ditunjukkan kepada keluarga mereka. Menjelang senja, saya yakin separuh daripada penduduk Islamabad telah melihat muka saya pada skrin telefon pintar mereka.

Masa sangat mencemburui saya untuk menjelajah lebih mendalam kota penuh khazanah ini. Saya terpaksa meninggalkan Islamabad bagi menjelajah sudut lain di negara ini.

Mendaki gunung

Saya meneruskan perjalanan dengan menaiki sebuah pesawat enjin kipas yang sangat antik menuju ke Gilgit iaitu sebuah bandar kecil di utara Pakistan.

Sepanjang perjalanan, saya berpeluang merasai pengalaman terbang melalui kawasan gunung, lembah dan desa-desa kecil.

Saya memilih menjelajah kawasan pergunungan Himalaya bersama sekumpulan remaja dari Karachi menggunakan van kecil.

Seorang jurupandu yang merupakan penduduk tempatan menjadi peneman sepanjang penjelajahan itu.

Jurupandu yang kami upah cukup mahir mengenai situasi keselamatan dan tempat-tempat menarik yang sukar ditemui dalam internet.

Ketika perjalanan, kami memilih untuk duduk di bahagian atas van untuk melihat keindahan kawasan pedalaman Himalaya.

Angin kuat yang menerbangkan rambut dan matahari memancar terik ke muka membuatkan saya merasa bebas.

Selepas menempuh lebuh raya Karakorum dan kampung gunung Karimabad yang indah, kami menuju ke Skardu.

Skardu merupakan sebuah bandar terpencil yang terletak di tengah-tengah pergunungan dan sering menjadi tumpuan pendaki Gunung Everest.

Begitupun, laluan dari Skardu ke puncak gunung tertinggi di dunia itu sangat mencabar. Sejak tahun 2016, tiada kumpulan ekspedisi yang mampu sampai ke puncaknya.

Kehidupan masyarakat yang terletak hampir 16 jam penerbangan dari Islamabad ini cukup mudah dan ringkas.

Roti nan, ayam pedas dan daging kambing panggang cukup membuka selera saya. Ia merupakan satu-satunya set hidangan yang boleh didapati di kawasan terpencil ini.

Di sini, andai bumi meletup sekalipun, anda tidak akan tahu. Ini kerana tempat ini tidak mendapat liputan internet dan telefon.

Masyarakat di sini hidup dalam realiti yang berbeza. Kehidupan mereka berkisar kepada penjualan daging kambing dan proses pengeringan aprikot.

Bagi merasai pengalaman mendaki, saya mengupah jurupandu untuk membawa melalui gunung sehingga ke Deosai.

Ia adalah dataran terbesar di dunia yang terletak 4,000 meter dari paras laut. Satu-satu cara untuk sampai ke sini adalah dengan menaiki pacuan empat roda iaitu Jeep selama lima jam melalui laluan curam.

Gementar

Sepanjang perjalanan, hati saya cukup gementar kerana bimbang terbabas, namun selepas berada di atas puncak, ternyata ia berbaloi.

Saya dapat melihat bukit, hamparan karpet hijau selain bunga-bunga kecil berwarna ungu yang mekar di atas puncak.

Pada sebelah petang, kami duduk bersembang sambil menghirup teh dan melihat keindahan Sungai Indus.

Destinasi terakhir saya ialah Lahore iaitu sebuah bandar raya paling sibuk di Pakisan dan tempat terbaik menikmati makanan jalanan.

Selepas melalui beberapa hari hidup dalam suasana tidak selesa, saya memilih menginap di Hotel Pearl Continental yang mewah.

Spa dan kolam renang di situ memberi kesempatan kepada saya untuk berjemur di bawah sinaran cahaya matahari.

Saya menghabiskan masa di Lahore dengan mengembara di jalan-jalan kecil yang dipenuhi gerai makanan dan cenderamata.

Selepas tiga minggu di Pakistan, saya menaiki pesawat untuk pulang ke Copenhagen, Denmark dalam keadaan sedih.

Perasaan sedih itu hadir kerana saya dapati pengembaraan sudah berakhir sedangkan masih banyak keindahan yang belum diteroka.

Semua kenalan saya memberitahu: “Pergi pulang ke Denmark dan beritahu kawan-kawan anda bahawa Pakistan tidak seteruk yang disangka. Mereka harus datang melawat kami.”

Saya tidak tahu sama ada kawan-kawan saya akan datang ke sini atau tidak. Namun, yang pasti saya akan kembali.