Awan tebal dilihat menghiasi langit yang membiru. Beberapa ekor burung helang pula dilihat terbang bebas.

Suasana itu menambahkan lagi keterujaan Baharum Baharuddin, 62, untuk mencuba sukan paramotor.

Dia menyarung jaket keselamatan, memakai topi keledar dan membawa bersama alat komunikasi sebelum bersedia untuk melakukan penerbangan.

Setelah beberapa minit, paramotor atau pesawat ringan yang dipandunya terbang membelah awan.

“Keseronokan melakukan aktiviti paramotor ialah peluang untuk berada di udara membolehkan kita melihat sesuatu kawasan daripada sudut berbeza.

“Jika berada pada kedudukan tinggi, seseorang berpeluang melihat pemandangan bumi dari sisi yang lebih luas. Saya merasa seperti seekor burung yang terbang bebas,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tersebut merupakan salah seorang ahli Kelab Paramotor JomFly Malaysia dan mula berjinak melakukan sukan tersebut sejak sebulan lalu.

Menurut warga emas yang berasal dari Kuala Selangor tersebut, dia mula menyertai aktiviti sukan udara tersebut sejak sebulan lalu.

“Minat untuk melakukan sukan udara ini sudah lama namun akibat kekangan masa dan wang, ia ditangguhkan.

“Bagaimanapun, selepas bersara daripada TUDM, anak-anak sudah dewasa dan mempunyai banyak masa terluang, saya berfikir untuk mencuba sukan ini,” ujarnya yang kini menetap di Batu 9, Cheras, Selangor.

Tuturnya, dia menyertai kelas teori dan praktikal penerbangan bersama JomFly selepas anaknya melihat iklan berkaitan kelab terbabit di kaca televisyen.

Tambah beliau, seorang juruterbang paramotor mesti mempunyai stamina dan kesihatan yang baik.

Justeru, bagi memastikan dia kekal cergas, Baharum akan bersenam dan berjoging tiga ke empat kali seminggu.

Lesen penerbangan

Sementara itu, Presiden Kelab Sukan Paramotor JomFly, Muhammad Alias Ikhsan, 49, berkata, kelab tersebut mempunyai 45 orang ahli berdaftar dan kesemua mereka memiliki lesen penerbangan yang dikeluarkan oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atau dahulunya dikenali sebagai Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Individu yang mahu melakukan penerbangan menggunakan paramotor hendaklah berusia 16 tahun ke atas dan mempunyai tahap kesihatan yang baik.

“Bagaimanapun, tiada spesifikasi untuk berat kerana ia boleh disesuaikan dengan berat sayap yang akan digunakan untuk mengangkat beban juruterbang,” ujarnya yang sudah berkecimpung dalam sukan paramotor sejak 2004.

Menurutnya, berat juruterbang dan peralatan mestilah tidak melebihi berat yang mampu ditanggung sayap paramotor.

Hal ini kerana, jenis sayap dibezakan mengikut kemampuan menampung berat sehingga 150 kilogram (kg), 250kg, 300kg dan 350kg.

Ujar Muhammad Alias yang mula menjadi jurulatih paramotor sejak 2009, sesebuah paramotor boleh terbang sehingga 1,600 meter (m) tinggi dan perlu meminta kebenaran Notis kepada Juruterbang (Notam) sekiranya mahu terbang lebih tinggi.

“Penerbangan kebiasaannya dilakukan di kawasan lapang seperti padang dan pantai bagi memudahkan pendaratan sekiranya berlaku kecemasan,” tambahnya berasal dari Kampung Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor dan kini menetap di Hulu Langat.

Yuran keahlian

Pesawat ringan tersebut mampu terbang selama dua jam 30 minit dengan kapasiti petrol 16 liter pada kelajuan 60 kilometer sejam dan untuk tempoh dua jam, ia memerlukan 14 liter petrol.

Bekas guru yang kini menjalankan perniagaan sendiri itu berkata, Kelab Sukan Paramotor JomFly ditubuhkan agar penggemar aktiviti paramotor dapat menjalani latihan secara teratur dan selamat.

“Seseorang yang berminat mahu mempelajari teori dan praktikal penerbangan paramotor boleh menyertai kelab ini dengan yuran keahlian sebanyak RM3,000 seumur hidup.

“Peralatan akan disediakan oleh kelab namun penggiat aktiviti tersebut boleh membeli peralatan sendiri mengikut kemampuan. Harga keseluruhan peralatan itu di pasaran adalah RM25,000 ke atas.

Katanya, beliau menggunakan ilmu padagogi semasa mengajar pelatih yang buat masa ini sudah mencecah 45 orang.

Padagogi merupakan kajian tentang kaedah dan prinsip pengajaran.

Beliau yang menjadikan hobi sebagai kerjaya tersebut menambah, ada risiko berlaku kemalangan bagi sukan tersebut namun ia adalah disebabkan kesilapan manusia.

“Juruterbang paramotor yang cuba melakukan aksi bahaya boleh mengundang padah namun persediaan mengikut prosedur keselamatan akan memastikan sukan tersebut selamat dan menyeronokkan.

“Sekiranya berlaku kecemasan, juruterbang hendaklah menghubungi rakan-rakan menerusi alat komunikasi,” jelas beliau.

Ujarnya lagi, seseorang yang gayat atau takut pada ketinggian juga boleh mencuba aktiviti tersebut.

“Mereka yang gayat juga boleh mencabar diri untuk terbang dan elakkan memandang ke bawah.

“Alihkan pandangan ke hadapan dan pemandangan yang cantik akan membantu mereka menghilangkan perasaan tersebut,”jelas Muhammad Alias.

Mengulas lanjut, Alias berkata, selain untuk aktiviti rekreasi, paramotor juga boleh menyumbang kepada sumber pendapatan.

Katanya, juruterbang paramotor boleh merakam gambar dan melakukan pemetaan dari udara,

Dalam pada itu, sukan berkenaan juga diminati oleh golongan remaja.

Antaranya, Muhammad Afi’ Adly, 19, yang mempelajari asas penerbangan daripada bapanya, Muhammad Alias sejak berusia 16 tahun dan melakukan penerbangan atau latihan ketika hujung minggu dan cuti hujung tahun.

“Sukan paramotor dapat meningkatkan keyakinan diri, memupuk nilai kerjasama dan meningkatkan keberanian diri ketika berada di udara.

“Elemen tersebut penting dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian,” ujarnya yang merupakan konsultan takaful Great Eastern Takaful.

Sementara itu, kembarnya, Muhammad ‘Afif Azry berkata, sukan paramotor dapat memenuhi impian mereka yang bergelar seorang juruterbang atau memiliki kapal terbang sendiri.

“Sukan paramotor membolehkan juruterbang melakukan penerbangan di mana sahaja dan pada bila-bila masa,” tuturnya.