Hidangan itu sangat enak andai dinikmati bersama lauk-pauk salai sama ada ikan keli, ayam, daging atau itik.

Penghasilan lauk-pauk salai tidak semudah dijangka kerana ia perlu melalui proses yang lama dan perhatian oleh pembuatnya.

Begitupun, bagi masyarakat setempat, proses salai bukan satu masalah. Malah, ia membuka peluang kepada mereka untuk berniaga, sekali gus menambah pendapatan.

Dianggarkan, hampir 50 buah gerai berasaskan salai dibuka di sepanjang laluan di sekitar Terachi, Seri Menanti sehingga ke Kuala Pilah.

Kini, gerai-gerai itu menjadi sebahagian daripada tarikan dan lokasi persinggahan pengguna jalan raya yang melalui jalan Seremban ke Kuala Pilah.

Salah seorang pembeli, Shahrul Ambri Samsuddin, 30, berkata, setiap kali melalui laluan itu, dia pasti singgah untuk membeli lauk-pauk salai.

Ujar lelaki yang menetap di Temerloh, Pahang itu, kawasan tersebut merupakan satu-satunya tempat yang menjual lauk-pauk salai di negara ini.

Berkualiti



KIRA-KIRA 50 buah gerai menjual produk salai dibuka di sepanjang Jalan Seremban-Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang kini dikenali sebagai Jalan Salai.

"Saya selalu guna jalan ini untuk ke rumah sepupu di Seremban 2. Kalau lalu jalan ini, saya mesti singgah di sini untuk membeli itik atau ayam salai.

"Lauk-pauk salai yang dijual di sini juga sangat berkualiti dan enak andai dimasak rendang atau masak lemak cili api," ujar kakitangan kerajaan itu.

Kebanyakan gerai menjual itik salai dengan harga RM40 seekor, RM20 (seekor ayam), RM10 (empat ekor ikan keli) dan RM20 (300 gram daging).

Menyedari potensi salai di kawasan itu, pihak Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) terpanggil untuk menjadikan laluan tersebut sebagai salah satu produk pelancongan.

Pengerusi LPNS, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, laluan itu mempunyai tarikan gastronomi terutamanya berasaskan produk salai.

Jelasnya, ia sering menjadi tumpuan pengguna jalan raya yang melalui jalan itu untuk ke Bahau atau Muadzam Shah, Pahang.

"Setiap hari, dianggarkan tidak kurang 300 buah kenderaan singgah di sini dan jumlah itu akan meningkat menjelang hujung minggu," katanya.

Bagi mengkomersialkan kawasan tersebut, LPNS telah menggelarkan jalan sepanjang 15 kilometer itu dengan nama Jalan Salai.

Katanya, gelaran baharu itu diharap dapat mengangkat nama laluan berkenaan selain menarik lebih ramai pengunjung terutamanya dari luar Negeri Sembilan.

"Selain produk berasaskan salai, laluan ini turut dihuni peniaga yang menjual barangan keluaran tempatan lain seperti kraf tangan dan buah-buahan.

"Kami harap, lebih ramai pengunjung akan datang ke sini sambil melawat tempat-tempat menarik lain di sekitarnya seperti Istana Seri Menanti dan Hutan Lipur Ulu Bendul," katanya.