Kini, ramai antara pelancong dari seluruh dunia yang mengambil kesempatan untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan ketika melancong ke sesebuah negara.

Bagi merasai pengalaman itu, Nur Hidayah Ahmad Husaini Zakwan, 28, tidak melepaskan peluang untuk melakukan kerja sukarelawan ketika melancong ke Pulau Lombok, Indonesia baru-baru ini.

Ketika di Pulau Lombok, dia menghabiskan masa selama tujuh hari di Yayasan Peduli Anak (YPA).

Nur Hidayah menjelaskan, YPA merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menempatkan anak-anak jalanan.

Kebanyakan daripada mereka tidak dipedulikan oleh ahli keluarga dan banyak menghabiskan masa mengemis di jalanan.

“YPA bukan sahaja menempatkan anak-anak jalanan di sekitar Pulau Lombok. Ada juga yang diambil daripada daerah lain seperti Jakarta untuk ditempatkan di lokasi ini.

“Di sini, mereka mendapat pendidikan dengan sempurna di samping berkongsi kasih sayang antara satu sama lain,” jelasnya.

Sepanjang berada di YPA, Nur Hidayah dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama anak-anak itu.

“Sebagai sukarelawan, saya juga diberi tugas untuk membantu guru mengajar mereka.

“Pada sebelah petang, saya diberi sesi khas untuk mengajar mereka ini berkaitan dengan pengetahuan yang saya ada. Kebanyakan sukarelawan yang datang ke sini akan mengajar mereka untuk menguasai bahasa asing seperti Inggeris, China dan Perancis,” jelasnya.

Tambahnya, dia juga terkejut apabila mengetahui ada pelajar yang boleh menguasai bahasa lain kerana pernah diajar oleh sukarelawan sebelum ini.

Mudah mesra

Tidak dapat dinafikan, kebanyakan anak-anak di YPA kurang mendapat kasih sayang.

Mereka mudah mesra dengan sukarelawan yang hadir untuk berkongsi kasih sayang.

“Anak-anak ini sangat mesra dan mudah untuk bergaul dengan sukarelawan. Banyak aktiviti yang dapat kami lakukan bersama dan senyuman jelas terpancar pada wajah mereka.

“Sepanjang tujuh hari bersama anak-anak itu, ia memberi satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan kepada saya,” kata Nur Hidayah.

Dalam pada itu, Nur Hidayah juga dapat berkongsi pelbagai cerita bersama anak-anak itu.

Ada yang langsung tidak dipedulikan oleh ibu bapa dan mereka hidup merempat di jalanan sebelum dibawa untuk tinggal di YPA.

Bagi Nur Hidayah, mendengar cerita anak-anak itu membuat dia menitiskan air mata dan berasa bersyukur dengan hidupnya.

“Saya rasa beruntung dan bersyukur kerana masih ada keluarga untuk menagih kasih sayang. Namun, anak-anak seawal usia ini ada yang sudah ditinggalkan ibu bapa dan hidup mengharapkan ihsan orang,” jelasnya.

Sementara itu, Nur Hidayah menjelaskan, pada awalnya dia tidak merancang untuk melakukan kerja sukarelawan ketika melancong.

Pelan asalnya adalah untuk melancong secara solo di Bali dan Pulau Lombok.

“Selepas beberapa hari di Pulau Lombok, saya cuba untuk mencari sesuatu yang lain dalam percutian saya. Kebetulan rakan saya pernah menjadi sukarelawan di YPA ini.

“Tiba-tiba terdetik di hati saya untuk melakukan perkara sedemikian. Saya kemudiannya menghubungi pengurus di YPA yang dikenali sebagai Ibu Dian dan menyatakan hasrat saya,” jelasnya.

Tambah Nur Hidayah, pihak pengurusan menyambut baik hasrat itu dan dia kemudiannya terus ke YPA untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan.