Ia juga pernah menjadi ibu kota kepada tiga buah empayar iaitu Rom, Rom Timur dan Uthmaniyyah.

Tempat pertama yang penulis sampai bersama rakan di Istanbul ialah Lapangan Terbang Ataturk atau dikenali sebagai Atatruk Hiyalimani.

Di lapangan terbang tersebut pelancong yang ingin menggunakan khidmat troli haruslah menggunakan wang syiling daripada mata wang Turki. Jadi sebelum sampai ke Turki perlu diingatkan mesti tukar terlebih dahulu.

Demi memudahkan urusan, kami menggunakan agensi yang telah dilantik untuk membawa kami menerokai Istanbul.

Jika anda kali pertama datang ke Istanbul harus diingatkan agar memakai pakaian tebal kerana cuaca di sana sangat sejuk.

Penulis merasakan, cuaca sejuk ketika itu boleh menyamai puncak Gunung Tursina, Mesir yang dikatakan gunung tempat Nabi Musa mendapat wahyu.

Kubu Rumeli Hisari adalah tempat pertama kami dilawati. Ia merupakan sebuah kubu kota yang terletak di daerah Sanyer, Istanbul. Kubu tersebut dibina oleh Sultan Uthmaniyyah, Mehmed II antara tahun 1451 hingga 1452, sebelum pasukan tentera beliau berjaya menakluk Kota Konstantinopel.

Kubu yang terletak di tebing bahagian Eropah Turki itu dipisahkan oleh Selat Bosphorus dan ia merupakan kubu tentera hebat Sultan Mahmud Al-Fatih.

Perkara paling menakjubkan adalah penulis berjaya menakluki kubu tersebut hingga ke puncak. Pemandangan Selat Bosphorus tersergam indah yang memisahkan bahagian Turki Eropah dan bahagian Turki Asia.

Dari atas menara kubu ini juga anda dapat melihat kapal-kapal dengan kibaran megah bendera merah Turki merentasi Selat Bosphoros.

Kemudiannya, kami singgah sebentar di Ortakoy. Pemandu pelancong memperkenalkan makanan wafel Turki dan kumpir iaitu kentang bakar yang bersaiz besar.

Isi di dalamnya adalah keju, sosej, bertih jagung dan hirisan buah zaitun tetapi anda boleh memilih sama ada mahu letak semua atau salah satu daripadanya.

Lagi enak adalah di atas kentang itu diletak mayonis dan cili. Untuk merasai kesedapan kentang itu anda harus makan semasa panas kerana aroma bau dan rasanya sangat enak.

Dalam pada itu, anda juga dinasihatkan belajar bahasa Turki yang asas bagi memudahkan berkomunikasi lebih-lebih lagi melibatkan makanan, tempat tinggal dan pengangkutan.

Untuk pengetahuan, rakyat Turki memang kurang menggunakan bahasa Inggeris ketika berhubung dengan pelancong sama ada mereka tidak tahu atau bangga menggunakan bahasa sendiri.

Perkara tersebut cukup terbukti apabila Presidennya, Recep Tayyip Erdogan dalam kebanyakan majlis antarabangsa, beliau tetap memilih untuk menyampaikan ucapan dalam bahasanya sendiri berbanding bahasa Inggeris.

Pada hari kedua, kami dibawa terus ke Hagia Sophia atau lebih dikenali sebagai Ayasofya oleh rakyat Turki.

Mengikut sejarah, dahulunya ia pernah menjadi gereja kerajaan Byzantium dan kemudiannya menjadi masjid setelah Kota Konstantinopel ditakluk oleh Sultan Mahmud Al-Fatih.

Bagaimanapun, kini Ayasofya telah menjadi sebuah muzium dengan dibanjiri pelancong seluruh dunia yang ingin menghayati jatuh dan bangun sebuah empayar Islam.

Kubah

Pada ketika itu, kami diterangkan oleh seorang warga Tukri yang beragama Islam mengenai latar belakang Ayasofya tersebut daripada gereja menjadi masjid.

Seterusnya kami dibawa ke Masjid Biru dan Masjid Sultanahmet. Sebaik sahaja sampai di pekarangan masjid, satu lagi keindahan seni bina yang membuat kami jatuh cinta di Turki.

Sememangnya, masjid-masjid di Turki sangat terkenal dengan masjid yang mempunyai banyak kubah.

Lebih menarik, bila kita dapat melihat dinding-dinding masjid dihiasi marmar yang bercorak bunga tulip dan ros.

Malah, pada dinding masjid juga dapat dilihat ayat-ayat al-Quran seperti surah Nur ayat 35 yang menjadi hiasan untuk dibaca pengunjung masjid.

Alangkah beruntungnya apabila penulis dapat menunaikan solat berjemaah bersama-sama rakyat Turki di masjid tersebut.

Bercerita mengenai Masjid Sultanahmet pula, ia juga sentiasa dibanjiri rakyat Turki dan pelancong seluruh dunia baik Muslim dan bukan Muslim.

Ketenangan dapat dirasakan apabila dapat duduk dan solat di dalam masjid itu sambil mengamati setiap adab dan akhlak rakyat Turki serta para pelancong.

Pada keesokan harinya, kami dibawa ke Istana Topkapi iaitu sebuah istana yang merupakan kediaman rasmi Sultan Uthmaniyyah selama lebih daripada 600 tahun yang terdapat Taman Gulhane.

Taman Gulhane pula merupakan sebuah taman yang mengelilingi istana itu, pada zaman dahulu ianya hanya digunakan oleh kerabat-kerabat diraja.

Di Istana Topkapi inilah difahamkan bahawa bacaan al-Quran akan dialunkan oleh para tahfiz 24 jam sehari.

Malah, para pelancong berpeluang melihat pedang-pedang milik Rasulullah dan para sahabat yang dipamerkan di situ.

Terdapat juga janggut Rasulullah SAW dan pakaian-pakaian Baginda dipamerkan. Perasaan penulis bertukar sayu apabila melihat barang milik Rasulullah serta para sahabat.

Seterusnya, kami meneruskan lawatan ke Masjid Eyup Sultan. Pertama kali menjejak masjid itu, kami sangat teruja apabila melihat makam sahabat Rasulullah iaitu Abu Ayyub Al-Ansari.

Penulis terasa kagum apabila melihat di luar jendela masjid itu kerana dihiasi berpuluh-puluh bendera Turki.

Kemudiannya, kami mendekati makam yang berada di situ sambil berdoa kesejahteraan ke atasnya dan meminta kepada Allah agar kami terus kuat untuk meneroka tentang sejarah Islam.

Selepas hampir satu jam berada di masjid itu, kami terus menaiki bas untuk ke Bukit Pieere Lotti yang berdekatan dengan masjid tersebut.

Pemandangan Golden Horn iaitu Kota Istanbul dari Bukit Pierre Lotti cukup indah.

Biarpun, kami tidak bernasib baik untuk menaiki kereta kabel di bukit Pierre Lotti tetapi berpeluang merasai menaiki bas mini dan bersesak-sesak bersama warga Turki.

Lebih menariknya, sepanjang perjalanan di sana kami dapat menikmati pemandangan cantik dan indah yang dihiasi bangunan-bangunan antik dan berkonsepkan Islam yang tersusun rapi.

Kapal layar

Sepanjang perjalanan itu, perasaan seronok melihat gelagat warga Turki di sekitar bandar Istanbul dan apabila melalui kawasan perkuburan dilihat penjagaan kubur yang sangat bersih.

Selain itu, kami tidak lupa juga menziarahi kawasan perkuburan seorang rakyat Malaysia iaitu Allahyarham Ahmad Ammar yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika perjalanan untuk mengajar.

Pasti tidak lengkap pakej pelancongan ke Istanbul apabila tidak merasai menaiki kapal layar Tukey merentasi Selat Bosphorus, Istanbul.

Jangan khuatir, murah sahaja tambangnya iaitu RM10 dan anda pasti berpuas hati kerana dapat menikmati keindahan Kota Konstantinopel yang popular dengan seni bina yang tersusun rapi.

Semasa menaiki kapal layar itu anda akan melalui tiga jambatan utama yang memisahkan antara Turki Eropah dan Turki Asia.

Selain itu, anda berpeluang untuk memberi makan burung-burung yang bebas berterbangan di Selat Bosphorus tetapi pastikan dengan persiapan makanan bagi burung-burung ini.

Pada hari terakhir, kami dibawa ke tempat hiburan iaitu bermain papan luncur di Gunung Ulu, Bursa.

Memang sudah menjadi impian kepada sesiapa sahaja yang datang ke Bursa untuk merasai salji tebal di Gunung Ulu ini. Serba tidak kena bermain papan luncur itu kerana ia merupakan pengalaman pertama kami.

Akhirnya, cara yang paling mudah adalah duduk sahaja di atas papan luncur dan meluncur ke bawah.

Setelah bermain hampir dua jam, kami menunaikan solat di masjid berdekatan.

Dalam pada itu, Bursa juga popular dengan tempat beli-belah kerana dikatakan harganya sangat murah.

Antaranya, tudung, baju dan periuk belanga.

Selain itu, pelancong yang datang ke Bursa tidak lengkap jika tidak merasai kebab Iskandar kerana ia sangat popular.

Grand Bazar merupakan destinasi terakhir kami sebelum pulang ke Malaysia. Sudah pasti pelbagai cenderamata dibeli.

Antaranya, baju-T lambang bendera Turki, monumen-monumen kecil melambangkan Turki seperti Ayasofya, tudung-tudung satin yang cantik dipakai wanita-wanita Turki, manisan-manisan Turki seperti lokum dan pashmaniye.

Malah ada juga yang memborong coklat-coklat dan biskut keluaran Turki untuk dibawa pulang ke Malaysia.