Penulis akhirnya berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Skandinavia. Salah satu negara yang penulis singgah ialah Norway.

Terletak di kawasan Eropah utara dan merupakan jiran terdekat Denmark, Sweden serta Finland, Norway menduduki tempat pertama dalam senarai Laporan Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report.

Ini menunjukkan bahawa penduduknya secara umum, berpuas hati dengan kehidupan mereka. Penulis tiba di Oslo, ibu negara Norway pada hujung musim luruh dan awal musim sejuk. Sama seperti negara-negara Skandinavia lain, Norway termasuk negara maju dan hal ini dapat dilihat menerusi pembangunan lapangan terbang antarabangsa Oslo sendiri yang moden dan sistematik.

Jarak ke kawasan pusat bandar raya dari lapangan terbang Oslo sekitar lebih 50 kilometer tetapi cara paling cepat ke pusat kota itu adalah dengan menaiki kereta api laju Flytoget.

Ia menghubungkan lapangan terbang dengan stesen pusat kota iaitu Oslo Central Station, malah ia mengingatkan penulis mirip seperti KL Sentral di Malaysia.

Sistematik

Perjalanan menaiki kereta api Flytoget dari lapangan terbang ke pusat bandar memakan masa sekitar 20 minit dan ia sangat selesa serta lancar. Dari stesen pusat Oslo tersebut, bandar raya mereka dihubungkan dengan pelbagai jenis pengangkutan awam, seperti bas, tram dan kereta api bawah tanah atau metro.

Pusat kota Oslo memang cantik dan perancangan bandarnya juga sangat sistematik dan teratur. Bangunan-bangunannya masih mengekalkan seni bina Eropah klasik di samping bangunan baharu yang serba moden. Cara paling mudah dan pantas untuk melihat kota Oslo sepintas lalu sudah tentulah dengan menaiki bas hop-on hop-off yang menyusuri pelusuk tempat-tempat menarik di Oslo.

Salah sebuah bangunan yang menjadi tumpuan penduduk tempatan dan para pelancong ialah bangunan Opera Oslo yang berdiri gah dengan seni bina agak futuristik.

Oslo juga mempunyai banyak bangunan cantik lain seperti Dewan Bandaraya dan bangunan Pusat Keamanan Nobel yang lahir daripada Anugerah Keamanan Nobel sendiri. Penulis sempat ke Taman Ekeberg yang terkenal dengan patung-patung dan arca di atas sebuah bukit kecil di pesisiran ibu kota Oslo.

Di situ juga penulis sempat mencuba makanan di restoran Ekeberg yang sangat lazat sambil menikmati pemandangan Oslo pada waktu malam yang penuh dihias kilauan cahaya lampu kota.

Di Majorstuen anda berpeluang melihat kawasan perumahan golongan elit dan taman Frogner yang indah dengan kehijauan saujana.

Pada musim luruh, kesemuanya kelihatan lebih indah berkat warna-warna daun pepohon yang gugur dalam aneka rona.

Di kawasan Schultz Gate di daerah Majorstuen pula, terletaknya sebuah restoran kejiranan yang menghidangkan makanan Itali lazat dengan sedikit sentuhan Norway. Sama seperti kebanyakan restoran di negara-negara Skandinavia, mereka sentiasa ada pilihan makanan berasaskan sayuran serta ikan dan makanan laut.

Sementara itu, di La Sada, pemiliknya, Kristin Dahle begitu ramah dan sangat mengalu-alukan kedatangan penulis sebagai tetamunya. Dari kota Oslo penulis terbang nun jauh ke utara Norway ke bandar Tromso demi mengejar impian penulis. Di Tromso disambut rimbunan salji yang menyenangkan, selain cuaca yang semakin sejuk.

Penulis dibawa oleh pihak syarikat Arctic Drive untuk pengalaman memburu salah satu fenomena alam semula jadi yang paling menakjubkan iaitu aurora borealis.

Ia merupakan pertunjukan cahaya semula jadi di langit bumi hasil pertembungan zarah-zarah bercas elektrik dari matahari yang memasuki atmosfera bumi. Fenomena itu hanya dapat disaksikan di atas kutub magnetik hemisfera utara dan selatan bumi.

Malah, penulis bernasib baik kerana semua pelancong diberitahu bahawa fenomena ini tidak dapat dilihat setiap malam dan bergantung kepada rezeki masing-masing. Penulis dapat melihat fenomena ini pada malam pertama dibawa ke tempat lokasi. Penulis dapat menyaksikannya dari kota Kilpis di negara Finland yang terletak di sempadan Norway sekitar dua setengah jam dari Tromso.

Kamera

Perasaan ketika melihat fenomena tersebut tidak dapat di gambarkan. Pihak syarikat Arctic Drive yang menguruskan perjalanan penulis ke sana diiringi pemandunya, Kjetil Hanssen yang juga seorang jurugambar profesional yang pernah memenangi banyak anugerah dalam merakam gambar fenomena cahaya ajaib ini.

Telefon bimbit biasa tidak dapat merakam kejadian ini kerana memerlukan aturan kamera khas. Jadi setiap syarikat pelancongan akan menyediakan jurugambar atau para pelancong disaran untuk membawa kamera berlensa sendiri. Penulis dan rakan juga diberi pakaian khas untuk memastikan badan kami sentiasa panas kerana cuaca di luar pada waktu malam memang sejuk dan akan jatuh di bawah 0 darjah Celcius.

Selain itu, penulis juga berpeluang mengikuti pelayaran berserta makan malam di atas kapal Katamaran mewah bersama syarikat Arctic Cruise milik Kurt Larsen yang pakar dalam perkhidmatan pelancongan mewah.

Kami menikmati malam laut lepas Tromso sambil dihidangkan sup ikan yang lazat dan hangat biarpun cuaca di luar sangat sejuk. Keesokan harinya, penulis berpeluang menaiki bot laju terbuka Green Gold of Norway dan bersiar-siar sekitar kawasan teluk Tromso dalam sut khas kalis sejuk untuk melihat keindahan semula jadi Tromso.

Kesimpulannya, penulis benar-benar menikmati percutian penulis ketika berada di Norway dan mengerti kenapa ia dianggap negara paling gembira di dunia. Penduduknya semua sangat ramah dan baik hati.

Senyuman warga Norway sentiasa ada sambil menawarkan pertolongan sekiranya penulis kelihatan seperti mencari sesuatu atau bingung. Daripada pemilik restoran, pemandu pelancong sehinggalah kapten kapal layar semuanya memberikan layanan mesra.

Jadi kalau anda berpeluang bercuti ke Skandinavia, pastikan Norway tersenarai dalam dalam jadual perancangan. Penulis yakin anda tidak akan menyesal!