Acara dianjurkan oleh Infinitus Productions Pte. Ltd. ( Infinitus Productions) dengan kerjasama MPI Generali Insurans Bhd (MPI Generali) itu turut menarik penyertaan peserta luar negara.

Program larian yang menitikberatkan kepentingan menyumbang kembali kepada masyarakat itu telah memberikan sumbangan kewangan kepada s.o.s Kids iaitu sebuah kumpulan sokongan komuniti di Sarawak dengan tujuan meningkatkan kualiti penjagaan kanak-kanak yang kritikal dan kurang bernasib baik.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Generali, Oliver Tan berkata, dana tersebut dikumpulkan melalui kutipan daripada sebahagian yuran pendaftaran serta sumbangan tambahan para peserta dalam acara larian berkenaan.

“Melalui Illumi Run ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kanak-kanak tajaan S.O.S serta lebih banyak dana dapat disumbang ke arah usaha mereka menyediakan rawatan perubatan lebih baik untuk golongan ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Tambah Oliver, pihaknya turut teruja menjadi sebahagian daripada pengalaman baharu acara larian itu.

“Kami berbesar hati acara ini dapat menyediakan platform untuk kami melibatkan diri dengan komuniti, pekerja dan rakan kongsi perniagaan kami.

Seronok

“Kami juga berbangga menyaksikan acara Illumi Run yang pertama diadakan di Malaysia yang menggabungkan keseronokan, semangat kemasyarakatan dan pada masa sama menggalakkan sukan berlari,” ujarnya.

Menariknya pada acara itu, para peserta menikmati suasana malam sambil berlari melalui pemandangan cantik cahaya berwarna-warni dengan air sinaran Illumi.

Menurut Pengarah Infinitus Productions, Jeffrey Foo, diadakan buat kali pertamanya di Malaysia, Illumi Run menyediakan laluan bertemakan Syurga Neon lengkap dengan zon bercahaya.

Katanya, terdapat lima zon bercahaya yang berlainan tema di sepanjang laluan itu iaitu Hutan Hujan Laser mempamerkan paparan cahaya tiga dimensi (3D) dan paparan cat neon diiringi muzik rancak bermula pada pukul 8 malam.

“Peserta kemudiannya akan melalui Gula-gula Pop iaitu laluan impian bagi peminat manisan mempamerkan gula-gula berukuran saiz manusia bersama percikan warna-warna pelangi dan Illuminator menembak peserta dengan air bersinar,” katanya.

Jelas Jeffrey lagi, peserta juga melalui Taman Kosmos yang membawa mereka ke dunia galaksi planet dan bintang, sementara di zon Kehidupan Pantai pula suasananya mendamaikan dengan memaparkan papan luncur air, pelampung dan bebola bercahaya.

“Melalui laluan Impian Flora iaitu zon bersinar peserta dihiburkan dengan taman berbunga neon, manakala di Papan Gelongsor Bersinar Illumi peserta dihujani dengan pancuran air bersinar,” ujarnya.

Selain itu, persembahan secara langsung oleh penghibur seperti Jenni-F dan Dangerdisko menjadi kemuncak acara tersebut.