Sambil memakai topi besar atau kain penutup muka bagi menghalang panas terik matahari, mereka yang kebanyakannya suri rumah asyik memancing tanpa mengira waktu pagi, tengah hari atau petang.

Ia seakan-akan satu pemandangan biasa setiap hari di sana, malah pada cuti hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad, jumlah pemancing wanita akan bertambah ramai. Ini berikutan seluruh ahli keluarga akan turut serta memancing sehinggakan menjadi seperti aktiviti perkelahan.

Sokongan

Baru-baru ini pula, kebetulan Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan (SKSS) juga mengadakan Pertandingan Jom Memancing dalam masyarakat di situ sekali gus merancakkan lagi suasana aktiviti memancing daripada hari kebiasaan.

Perkara sama turut dilakukan oleh seorang lelaki, Abdul Halim Ahmad Poad, 56, yang meluangkan masa lapang khususnya pada cuti hujung minggu dengan memancing bersama isterinya.

Katanya, sewaktu muda dahulu dia biasanya memancing di sekitar sungai Tanjong Karang sehinggalah ke sungai Labu pada waktu pagi atau petang untuk memancing udang galah. Namun, kini dia hanya memancing di kawasan sekitar sahaja ekoran faktor usia.

Menurutnya, memancing adalah minatnya dan dia bersyukur kerana minat itu mendapat sokongan isteri, Noraini Abd. Rashid, 53, yang juga merupakan suri rumah.

“Oleh kerana sama-sama minat, saya dan isteri akan ke bendang atau berdekatan tali air di tepi-tepi sawah untuk memancing ikan bersama,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.

Menurut Abdul Halim, berbanding memancing di laut, dia lebih berminat memancing di tali air kerana tidak mengambil masa terlalu lama dan tidak berbahaya selain dapat membawa sama ahli keluarganya jika berkelapangan.

Tambahnya, dia menggunakan umpan cacing dan cengkerik yang dibeli di kedai-kedai menjual ikan perhiasan dan akan membantu memasang umpan pada joran isteri atau anak-anaknya.

“Isteri saya orang yang paling gembira di dunia jika umpannya dimakan ikan kerana dia akan bawa balik ikan-ikan ini untuk dimasak. Biasanya, kami goreng sahaja untuk dijadikan hidangan bersama keluarga. Ada juga yang dijadikan pekasam seperti ikan puyu atau lampam.

“Pada musim menuai padi atau banjir, hasil tangkapan ikan akan lebih banyak dan pernah suatu ketika saya memperoleh hampir tiga kilogram ikan lampam dengan hanya menggunakan pukat,” katanya yang juga telah menetap selama tiga dekad di Sekinchan.

Sementara itu, salah seorang peserta wanita, Aida Zulaikha Akmar Harfidzi, 21, dia berkata, menyertai pertandingan memancing kerana sememangnya meminati aktiviti berkenaan sejak kecil.

Gembira

Katanya, seawal usia lima tahun lagi, bapanya sudah membawa dia pergi ke tepi sawah untuk memancing bersama adik-beradiknya yang lain.

“Perkara yang saya paling suka tentang memancing ini ialah suatu perasaan gembira dan puas apabila berjaya memancing seekor ikan serta menariknya ke daratan.

“Hal ini kerana setelah lama menunggu dan saat umpan dimakan ikan, ia mempunyai cabarannya tersendiri sama ada anda berjaya mendapatkan ikan itu atau pun terlepas semula ke dalam air,” kata pelajar dari Universiti Malaysia Perlis itu.

Menurut gadis bertubuh genit itu lagi, antara jenis ikan yang terdapat di kawasan itu ialah lampam, keli, haruan, puyu, tilapia dan belida.

“Selalunya ikan yang popular berjaya dipancing oleh penduduk di sini ialah ikan puyu dan lampam. Ikan-ikan lain jarang didapati kerana ia mempunyai kaedah dan teknik tertentu untuk menangkap ikan tersebut,” ujar anak jati Selangor itu.

Dalam pada itu, menurut penyelaras bagi Pertandingan Jom Memancing SKSS, Azlizam Mohamad, program itu merupakan yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SKSS untuk mengeratkan silaturahim antara pihak sekolah bersama penduduk setempat serta komuniti di sekitarnya.

“Kami ingin menjadikan aktiviti memancing ini sebagai satu aktiviti yang berfaedah dan menarik minat masyarakat tentang aktiviti memancing.

“Selain itu, kami mahu menggalakkan seseorang individu itu mempunyai satu hobi sihat dan mendidik diri menjadi seorang yang lebih sabar serta sayang kepada alam sekitar,” katanya.

Jelas Azlizam, penyertaan peserta dalam pertandingan itu amat menggalakkan meskipun ia pertama kali dianjurkan oleh pihaknya. Lebih 100 peserta mendaftarkan diri untuk menyertai pertandingan tersebut.

Katanya, pemenang pertandingan ditentukan berdasarkan berat ikan yang diperoleh tanpa mengira spesies daripada ikan air tawar. Sekiranya terdapat berat ikan yang sama pemenang ditentukan berdasarkan masa mendapat ikan mengikut catatan pihak urusetia.

“Mengenai syarat-syarat pertandingan pula, tangkapan ikan daripada peserta mestilah boll iaitu mata kail dalam mulut ikan dan ia disahkan oleh pihak marshal pertandingan memancing.

Cuba nasib

“Selain itu, setiap joran yang didaftarkan untuk pertandingan perlu menggunakan satu mata kail sahaja yang dibenarkan dan teknik casting pula tidak dibenarkan sama sekali,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Mezan Idris, 54, memberitahu, dia datang ke pertandingan itu hanya ingin mencuba nasib selepas diberitahu oleh rakannya.

“Ini merupakan pengalaman pertama kali saya memancing di Sekinchan, sebelum ini saya hanya sampai di Tanjong Karang sahaja, malah pada waktu lapang saya lebih suka memancing bersama-sama di Sungai Gombak dan kolam ikan berbayar,” katanya yang datang dari Setapak, Kuala Lumpur.

Ikan lampam, keli, haruan, puyu, tilapia dan belida antara spesies ikan sawah yang menjadi dambaan si kaki pancing pada Pertandingan Jom Memancing Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.