Terletak kurang dua kilometer (km) dari Bandar Baru Bangi dan kira-kira 5km dari Universiti Kebangsaan Malaysia, bangunan baharu yang tersergam indah tersebut merupakan Hotel Tenera yang baru sahaja memulakan operasinya hujung tahun lalu.

Di sebalik kewujudannya yang terletak berhampiran Kawasan Perindustrian Bangi, tiada siapa menyangka bahawa Hotel Tenera yang dimiliki sepenuhnya oleh Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) merupakan sebuah hotel bertaraf empat bintang dengan pelbagai kemudahan disediakan untuk keselesaan pengunjung.

Mengulas mengenai hotel tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif KPF, Sakinah Salleh berkata, Hotel Tenera yang telah memulakan operasi secara rasminya pada 1 Disember 2017 diletakkan di bawah pengurusan KPF Hotel Management Sdn. Bhd.

Hotel Tenera yang terdiri daripada dua buah blok bangunan mempunyai 502 bilik pelbagai kategori dengan 302 daripadanya terletak di blok hotel, manakala 200 bilik lagi adalah kategori studio dan pangsapuri yang lebih sesuai untuk pelanggan berkeluarga besar dan terletak di blok bersebelahan.

Mengulas mengenai kemudahan pula, Sakinah memberitahu, Hotel Tenera yang diambil sempena nama varieti pokok kelapa sawit terbaik yang digunakan oleh Felda itu mempunyai sebuah dewan besar yang mampu memuatkan kira-kira 1,200 orang selain 10 bilik seminar untuk 60 hingga 200 orang dan sebuah bilik mesyuarat untuk 20 orang.

Istimewa

Selain kemudahan gimnasium, pusat komersial, kafe, sebuah restoran makanan laut dan ruang parkir yang luas dan selesa, hotel berkenaan turut mempunyai tiga buah kolam renang dengan satu daripadanya berkonsepkan tertutup.

“Sebagai sebuah hotel yang dimiliki oleh koperasi bumiputera, kami mengamalkan prinsip mesra Muslim dalam segala perkara, termasuklah penawaran kemudahan dan pengoperasian.

“Selain tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis atau parti yang bertentangan dengan Islam, kami juga tidak membenarkan minuman keras dibawa masuk oleh mana-mana pelanggan untuk apa-apa tujuan sekali pun,” katanya.

Mengulas mengenai hak istimewa kepada golongan wanita Muslimah, Sakinah memberitahu, hotel tersebut menyediakan tingkat khas untuk wanita bagi memastikan mereka berasa lebih selesa dan selamat ketika menginap.

Malah, sebuah kolam renang tertutup juga turut disediakan bagi golongan tersebut bagi membolehkan mereka bergembira tanpa perlu bimbang soal aurat dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Hotel Tenera juga menawarkan pakej penginapan dan penganjuran majlis yang istimewa kepada mana-mana koperasi di negara ini.

Ia katanya, bersesuaian dengan prinsip KPF yang sentiasa berusaha untuk menjalinkan kerjasama baik dan membantu sesama koperasi.

“Sebagai sebuah koperasi, sudah tentulah KPF akan memberi layanan yang istimewa kepada mana-mana koperasi dan ahli mereka, termasuklah ahli KPF sendiri yang terdiri daripada 30,000 kakitangan dan lebih 200,000 peneroka Felda.

“Tawaran tersebut termasuklah caj penginapan dan pelbagai kemudahan lain pada kadar yang lebih rendah,” katanya.