Selain terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai kepulauan yang amat besar, Australia juga menjadi lokasi pengunjung dari seluruh dunia untuk bercuti.

Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan ramai ialah Melbourne iaitu ibu negeri dan bandar raya terbesar di wilayah Victoria serta yang kedua terbesar di Australia.

Tambahan pula, bandar raya itu pernah diisytiharkan sebagai kawasan yang paling sesuai didiami di dunia oleh The Economist sebanyak dua kali iaitu pada 2002 dan 2004.

Walaupun tidak dapat berkunjung untuk tempoh yang lama, pengalaman itu sudah cukup menggembirakan penulis.

Kebiasaannya, jika berkunjung ke Melbourne, orang ramai semestinya menuju ke destinasi popular seperti Victoria Market, Great Ocean Road, Pantai Brighton dan Pulau Philip.

Namun lain pula bagi penulis yang telah melawat ke kawasan penduduk tempatan yang rata-ratanya jarang menerima kunjungan tetamu dari luar negara.

Antaranya ialah Springvale yang terletak sejauh 23 kilometer dari timur bandar Melbourne.

Walaupun kedudukannya di bawah Australia, pekan itu sangat dikenali dengan kelazatan makanan yang dihidangkan oleh kedai-kedai makan warga Vietnam sehinggakan ada yang menggelarnya sebagai ‘pekan pelarian’.

Hal ini kerana kawasan tersebut banyak didiami oleh pelarian dari Asia seperti Vietnam, Kemboja dan Myanmar.

Bukan setakat itu, terdapat juga pasar besar yang menjual pelbagai jenis bahan mentah, sayur-sayuran dan barang-barang runcit sehingga membuatkan penulis berasa seperti berada di negara sendiri.

Setiap yang terlintas di fikiran, pasti akan ada dijual dan pasti lebih mengejutkan jika penulis memberitahu bahawa di pekan tersebut ada jual budu, cencalok dan keropok lekor.

Tambah menarik, harga yang ditawarkan boleh dikatakan sangat murah dan berpatutan.

Contohnya, daging lembu segar hanya berharga kira-kira AUD$11 (RM45) sekilo manakala daging kambing pula hanya AUD$14 (RM58).

Bagi yang beragama Islam pula, tidak sukar untuk mendapatkan makanan halal di situ kerana kebanyakan peniaga adalah dari Asia yang sudah biasa dengan hal tersebut.

Hari seterusnya, penulis yang berkunjung ke bandar raya berkenaan bersama suami dan anak perempuan telah ke Pantai Mordialloc yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Pantai Brighton.

Di situ terdapat sebuah jeti kecil bagi bot-bot persendirian berlabuh dan sebuah jambatan panjang yang laluannya menghala ke tengah laut.

Keindahan

Sepanjang berjalan kaki di atas jambatan tersebut, pengunjung disajikan dengan kejernihan air laut yang membiru.

Malah, lokasi itu juga menjadi tumpuan kaki-kaki pancing untuk menjalankan aktiviti kegemaran mereka sambil menikmati keindahan alam serta menghirup udara segar.

Bagi yang datang secara berkeluarga, pantai tersebut juga sangat sesuai untuk menjalankan aktiviti perkelahan sambil mandi-manda.

Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan ialah barbeku, bermain bola tampar dan seterusnya menikmati makanan lazat di restoran halal yang terletak berdekatan.

Pada sebelah petang pula, penulis berkesempatan untuk berkunjung ke Flinder Street iaitu jalan sejauh satu kilometer yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan klasik.

Lokasi yang terletak di tengah-tengah Melbourne ini semestinya menjadi tempat yang wajib dikunjungi oleh peminat sejarah.

Keadaan reka bentuknya yang dikekalkan dengan ciri klasik dan unik sudah pasti mampu menarik minat sesiapa sahaja yang melaluinya.

Pada hari terakhir, penulis telah berkunjung ke Cape Schanck yang menempatkan sebuah rumah api di atas bukit.

Dari puncak bukit tersebut, pengunjung dapat melihat lautan membiru yang jernih dan terbentang luas.

Bagi yang ingin melihatnya dengan lebih dekat, pengunjung disarankan untuk berjalan selama kira-kira 10 hingga 15 minit menuruni anak tangga yang disediakan.

Bagi pengunjung yang gemar bergambar, suasana lebih menarik terutamanya ketika matahari terbenam.

Secara konklusinya, Melbourne sememangnya wajar menjadi lokasi percutian pilihan memandangkan kepelbagaian budaya dan tarikan yang dimilikinya sekali gus bakal memberikan pengalaman berharga buat pengunjungnya.