Baru-baru ini, sekitar pukul 8 pagi, Abdullah sudah terpacak di pintu pagar Pusat Hang Tuah (PHT) , Melaka untuk menyertai konvoi basikal tua mengelilingi Kampung Duyong, Melaka.

Menurut Abdullah, aktiviti tersebut mengimbau kembali nostalgianya berbasikal merentas pekan semasa kecil.

“Dahulu ayah selalu membawa saya berjalan-jalan menggunakan basikal tua ini sehingga lewat petang.

“Ketika itu, basikal merupakan pengangkutan penting dan sering digunakan oleh orang ramai,” jelas ayah kepada empat orang anak itu.

Abdullah menjelaskan, basikal tua pernah mengalami zaman kegemilangannya dan merupakan pengangkutan paling popular di seluruh dunia suatu ketika dahulu.

Katanya, program konvoi basikal tua itu bukan sahaja dapat mempromosikan warisan negara itu tetapi membantu peserta-peserta beriadah sambil bersantai kayuh basikal.

Program konvoi basikal tua itu merupakan anjuran Jabatan Muzium Negara, Perbadanan Muzium Melaka, dan Persatuan Muzium Malaysia bersempena Hari Muzium Kebangsaan 2018 (HMK2018) yang berlangsung pada 18 Mei lalu.

Konvoi yang merupakan salah satu acara dalam program Muzium Bersama Komuniti itu melibatkan penyertaan seramai 60 orang iaitu kakitangan muzium seluruh negeri dan masyarakat kampung.

Antara basikal tua yang terbabit adalah jenis Raleigh, New Hudson, Hercules, BSA dan Robin Hood yang wujud sejak era 1940-an lagi.

Ketua Pengarah, Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, program itu diadakan untuk menghargai para peminat basikal tua yang memperjuangkan nostalgia dan warisan klasik tersebut

“Konvoi basikal tua semakin digilai dan ramai peminat lama dan baharu menjadikannya sebagai hobi.

“Malah, ia merupakan salah satu pendekatan baharu yang digunakan oleh pihak muzium untuk mendekatkan diri dengan masyarakat,” ujarnya kepada Kosmo! di PHT, Melaka baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai program tersebut, Kamarul Baharin memberitahu, semua peserta berkumpul di pintu masuk PHT dan acara kayuhan bermula 8.30 pagi melalui jalan-jalan kecil di Kampung Duyong sejauh tujuh kilometer.

“Jalan pertama adalah peserta melalui sekitar sungai asal Melaka dan singgah di beberapa rumah penduduk kampung yang telah dipilih bagi menghulurkan bantuan.

 

Kelainan

“Kemudian mereka melalui jalan besar di luar kampung tersebut sebelum kembali semula ke PHT untuk aktiviti lain,” ujarnya.

Katanya, seramai lima buah keluarga kurang kemampuan menerima sumbangan barang-barang keperluan dan wang tunai sebanyak RM250 bagi meringankan beban sara hidup mereka.

Tambahnya, bagi menyuntik kelainan dan menimbulkan suasana klasik, peserta kayuhan diberi tuala untuk diikat di kepala ala tahun 1950-an.

Kamarul Baharin menjelaskan, konvoi tersebut turut menekankan aspek keselamatan walaupun hanya diadakan di dalam kampung.

“Zaman sekarang bukan macam dahulu, kalau nak berbasikal boleh ke mana-mana saja kerana kurang bahaya sebab kenderaan tak banyak di kampung.

“Jadi, sebelum peserta konvoi dilepaskan, mereka telah diberi taklimat dalam satu kumpulan selain pemantauan daripada pihak keselamatan yang dilantik.

“Alhamdulillah sambutan daripada peserta amat menggalakkan dan kita akan dipertimbangkan untuk menjadikan ia salah satu aktiviti wajib setiap kali HMK berlangsung setiap tahun,” ujarnya.

 

Kesedaran

Selain itu, Kamarul Baharin berkata, tidak hanya mempromosikan basikal, program tersebut juga memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai asal usul mereka.

“Ia turut memberi peluang kepada orang ramai terutamanya golongan muda untuk mengetengahkan kembali warisan zaman dahulu ini,” tuturnya.

Dalam program sama, Kamarul Baharin menjelaskan, selepas konvoi berbasikal tamat, para peserta turut menyertai beberapa permainan tradisional yang telah disediakan di PHT.

“Antaranya, boling kelapa, tarik tali dan panjat tiang berminyak.

“Paling menarik adalah selepas peserta penat berkayuh dan bermain permainan tradisional itu, mereka dihidangkan dengan makanan-makanan yang dimasak secara rewang oleh pelajar Kolej Universiti Islam Melaka bersama orang kampung,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peserta, Muhd. Syazrul Sanwan, 19, berkata, konvoi basikal tua merupakan satu aktiviti yang unik dan menarik.

Malah, orang ramai juga berpeluang mengenali dan melihat dengan lebih dekat koleksi basikal klasik pelbagai jenama yang pernah wujud di negara ini pada era sebelum dan selepas merdeka.

“Kita semua tahu, basikal tua ini lebih sinonim dengan masyarakat Melayu kerana hanya segelintir kaum lain menggunakannya.

“Lebih menyerlah, apabila basikal tua ini turut digunakan dalam filem seorang legenda seni kita, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,” jelasnya

 

Puas hati

Dalam pada itu, Muhd. Syazrul mengakui program tersebut memberi kelainan kepadanya apabila berkayuh sambil singgah ke rumah penduduk kampung untuk menghulurkan bantuan.

Tambah Muhd. Syazrul, walaupun agak penat dan berpeluh ia sangat puas hati dapat berkayuh bersama-sama kakitangan muzium dan warga emas.

Menurutnya, mengayuh basikal tua kini menjadi hobi baharunya di samping dapat melakukan aktiviti riadah pada masa lapang.

Dia yang meminati hobi tersebut sejak setahun lepas gembira dengan adanya usaha sesetengah pihak untuk menghidupkan kembali nostalgia basikal tua terutamanya di Melaka.

“Saya berharap lebih ramai orang menyertai aktiviti ini pada masa akan datang,” katanya merupakan pelajar di KUIM.

Program Muzium Bersama Komuniti anjuran Jabatan Muzium Negara sempena Hari Muzium Kebangsaan 2018 mengembalikan nostalgia basikal tua di negeri Hang Tuah baru-baru ini.