Impian yang ditanam sejak belajar di universiti itu akhirnya dapat diterjemahkan apabila penulis berpeluang berkunjung ke Incheon pada tahun lalu.

Incheon merupakan bandar metropolitan dan sebuah pelabuhan utama di pantai barat Korea Selatan dan terletak berdekatan dengan Seoul.

Perkara pertama penulis lakukan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah membeli kad sim untuk mendapatkan internet.

Penulis menjadi hairan apabila sekadar diberikan kata laluan.

Selain itu, penulis tertarik dengan pengangkutan utama mereka iaitu kereta api.

Semasa di sana, perkara penting yang perlu buat adalah membeli kad seperti touch ‘n go untuk membolehkan anda menaiki kereta api bagi memudahkan perjalanan ke destinasi lain.

Daripada pemerhatian penulis, penggunaan kereta api sebagai pengangkutan utama di bandar raya Seoul yang pesat membangun ini membuatkan jalan-jalan rayanya tidak berlaku kesesakan lalu lintas.

Laluan 1 Kereta Api Kawasan Ibu Negara itu adalah rangkaian laluan kereta api yang berkhidmat di seluruh kawasan ibu negara Seoul.

Sebanyak 98 stesen yang dilalui oleh kereta api tersebut antaranya Laluan 1, Laluan Gyeongwon, Gyeongbu, Gyeongin, Pangkalan Byeongjeom, Incheon dan Janghang.

Penulis mengambil tiket untuk pergi Apgujeong iaitu merupakan sebuah kawasan perbandaran yang terletak di daerah Gangnam, Wilayah Seoul.

Di situ, penulis menyewa sebuah rumah tumpangan, FN Square dan pemiliknya adalah seorang pelajar Malaysia.

Bercerita tentang lokasi menarik, semasa di sana tempat pertama penulis lawati ialah Menara Seoul atau dikenali sebagai Menara Namsan yang terletak di sebuah bukit Namsan.

Menara ini dibangunkan pada tahun 1969 dan dibuka kepada orang ramai pada tahun 1980 dengan ketinggian 479.7 meter di atas permukaan laut.

Biasanya untuk ke menara itu, kebanyakan pelancong akan pergi ke stesen kereta kabel iaitu jaraknya 200 meter berjalan kaki dari bandar Myeongdong. Pelancong boleh menjimatkan masa kerana ia mengambil masa 10 minit untuk sampai berbanding teksi atau kenderaan lain.

Taman tema

Membuatkan penulis tertarik untuk datang ke situ adalah kunci mangga berwarna- warni. Biasanya orang ramai akan membeli kunci itu dan meletakkan nama mereka ke dalamnya, kemudian tinggalkan di situ untuk kenang-kenangan.

Di sekitar menara itu juga terdapat beberapa tarikan seperti restoran berputar, permainan rekreasi dan gerai-gerai aiskrim.

Lokasi seterusnya menjadi pilihan penulis adalah Everland yang terletak di bandar Yongin.

Everland adalah taman tema terbesar di Korea Selatan. Dulunya penulis sekadar melihat kecantikan dan permainan yang ada di dalam Google, tetapi kini penulis merasai sendiri.

Taman tema itu menerima sebanyak 7.3 juta setiap tahun dan penulis berasa bertuah kerana tergolong dalam jumlah itu.

Antara yang menjadi impian penulis adalah zoonya yang berkonsep safari dan taman tema mereka.

Apa yang membuat penulis teruja adalah kali pertama melihat beruang dan panda di zoo Everland. Bagusnya binatang-binatang di sana tidak dikurangkan malah bebas untuk bergerak.

Pendapat penulis, konsep yang digunakan di sini amat baik untuk memberi keselesaan kepada haiwan-haiwan.

Berkongsi tentang makanan, di sini tidak begitu susah kerana banyak restoran dan gerai menyediakan makanan halal. Malah ada juga pekerja restoran yang boleh bercakap bahasa Melayu tetapi kurang fasih.

Cara yang paling senang adalah perlu bertanya kepada warga tempatan dan jangan risau kerana mereka sangat mesra dengan pelancong.

Gula tarik

Makanan yang penulis rasa menarik dan unik adalah gula tarik yang terdapat di bandar Myeondong.

Myeongdong ini sangat popular dengan pelancong kerana kedai-kedai makanan halal, aksesori pakaian dan pusat beli-belah terdapat di sana.

Berbalik pada cerita gula tarik, gula tarik adalah segumpal madu ataupun gula yang sangat keras.

Cara pembuatannya ialah gula yang keras itu ditebuk lubang di tengah-tengah dan disaluti dengan tepung sagu.

Kemudiannya ditarik sehingga panjang dan disimpul-simpul seperti bihun serta diletakkan inti. Maka hasilnya menjadi gula-gula yang panjang dan nipis.

Pada sebelah malam hari terakhir pula, penulis sempat ke pasar tradisional di Incheon iaitu pasar Sinpo.

Pasar itu merupakan tempat di mana terdapat barang-barang basah seperti ikan-ikan dan sayuran serta buahan-buahan yang murah.

Mengikut penjual di sana, pasar tersebut merupakan syurga barangan kerana pengunjung boleh membeli pelbagai barang.

Penulis sempat membeli buah-buahan dan penyangkut kunci di sana sebagai kenang-kenangan kerana harganya sangat murah.