Suasana persekitaran yang gamat dengan sorakan penonton membuatkan kanak-kanak berusia tiga tahun itu tidak senang duduk.

Bagi mengurangkan debaran, dia membelek-belek basikal imbang Strider berwarna merah jambu yang bakal digunakannya dalam kategori Tiga Tahun.

Sesekali dia meminta bantuan bapanya, Mohammad Saifol Saat, 32, untuk membetulkan beberapa komponen pada basikal yang bernilai RM1,000 itu.

Sejam kemudian, nama Dhiya Amani dipanggil oleh pihak penganjur untuk berlumba dalam pusingan kelayakan. Dia berjaya melepasi pusingan tersebut dan layak ke peringkat separuh akhir.

Itulah sebahagian debaran yang dilalui oleh Dhiya Amani sewaktu acara Piala Strider. Piala Strider merupakan acara lumba basikal imbang berjenama Strider.

Basikal imbang Strider dibina tanpa pedal pengayuh, maka pengguna perlu menggerakkannya menggunakan kedua-dua belah kaki.

“Harapan saya pada kali ini kepada Dhiya Amani adalah untuk memberi saingan sengit kepada pencabar-pencabar lain,” jelas Mohammad Saifol ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Dhiya Amani mula menggunakan basikal imbang Striders pada tahun lalu. Sejak itu, dia mula aktif berlatih dan mengambil bahagian dalam acara basikal imbang di seluruh negara.

“Penganjuran acara seperti ini sangat baik untuk mengisi masa lapang kanak-kanak yang menggemari basikal imbang pada hujung minggu.

“Ia juga dapat menggalakkan kanak-kanak untuk aktif bersukan dan tidak hanya mengadap televisyen di rumah,” ujar kakitangan kastam itu.

Presiden Kelab Strider Malaysia, Mohammad Rizal Mohammad Yusoff berkata, pihaknya berasa amat teruja apabila acara Piala Strider berjaya mencapai sasarannya.

Bakat terpendam

Jelasnya, acara tersebut bermatlamat mencungkil bakat terpendam dalam kalangan kanak-kanak yang menggunakan basikal imbang Strider.

Dia menambah, ia juga merupakan platform terbaik bagi menyatupadukan komuniti yang menggunakan basikal imbang berjenama Strider di seluruh dunia.

Strider merupakan jenama basikal imbang yang berasal dari Amerika Syarikat (AS). Jenama berkenaan mula digunakan di negara ini sejak tahun 2014.

“Ini kali kedua kami menganjurkan acara Piala Strider di sini selepas kali pertama pada Oktober tahun lalu.

“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan oleh pengguna basikal imbang Strider sangat menggalakkan dengan jumlah penyertaan mencecah 300 orang peserta,” jelasnya.

Pada kali ini, Piala Strider turut menerima penyertaan dari luar negara seperti Singapura, Thailand, Jepun dan Korea Selatan.

Para peserta dibahagikan kepada enam kategori utama iaitu Dua Tahun, Tiga Tahun, Empat Tahun, Lima Tahun, 12 inci dan 14 X Terbuka.

Menurut Mohammad Rizal, para peserta Piala Strider perlu menempuh trek simen sejauh 50 meter yang dibina di hadapan pusat beli-belah MyTown.

Katanya, trek berkenaan dibina dengan selekoh mencabar serta beberapa halangan seperti bonggol dan laluan berhalangan batang span.

“Trek ini bukan sahaja mampu menguji kepantasan kaki para peserta, malah ia menguji kecekapan mereka mengendalikan hendal. Peserta yang tiba dahulu di garisan penamat dianggap pemenang.

Berlatih

“Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga akan membawa pulang hadiah berupa trofi, medal dan sijil penyertaan daripada Kelab Strider Malaysia,” katanya.

Mohamad Rizal berharap, menerusi penganjuran Piala Strider, ia dapat mempopularkan lagi sukan berkenaan kepada masyarakat di negara ini.

Piala Strider juga telah berjaya melahirkan juara dunia Strider dalam kategori 14 x terbuka yang berlangsung di AS pada tahun lalu menerusi Mohamad Imran Ismail.

“Selepas kejayaan Mohamad Imran, saya dapati sukan ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan ibu bapa.

“Saya yakin tidak lama lagi sukan ini akan dipertandingkan pada temasya-temasya utama sama ada di peringkat Asia mahupun antarabangsa,” tuturnya.

Salah seorang bapa kepada peserta Piala Striders, Mohammad Zaki Buang, 47, memberitahu, acara Piala Striders dapat mendorong anaknya untuk berlatih dengan lebih gigih.

Ujar lelaki berasal dari Semenyih, Selangor itu, anaknya, Nurzara Sofea, 3, berlatih hampir setiap petang bagi memastikan dirinya betul-betul bersedia untuk acara tersebut.

“Ini kali kedua anak saya menyertai Piala Strider. Ia pertandingan yang amat bagus kerana dapat menggalakkan kanak-kanak aktif menunggang basikal imbang,” katanya.

Jelas pekerja swasta itu, acara tersebut juga membolehkannya berkenalan dengan ibu bapa yang mempunyai anak bermain basikal imbang Strider.

Mohamad Zaki berkata, ia memberi peluang kepadanya untuk bertukar-tukar pendapat berkaitan aspek teknik tunggangan dan teknikal basikal.

“Kalau main seorang diri memang tidak seronok. Tetapi apabila ada pertandingan seperti ini baru terasa keseronokannya,” ujar bapa kepada empat cahaya mata itu.