Rusia yang kini menjadi tuan rumah kepada acara empat tahun sekali itu secara rasmi telah membuka tirai pada 14 Julai lalu.

Kejohanan yang menjadi kegilaan peminat seluruh dunia itu telah memasuki edisi ke-21 dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang ditubuhkan pada tahun 1904 menjadi tulang belakang kepada kejayaan kejohanan tersebut.

Bagi setiap negara yang mempunyai pasukan bola sepak, Piala Dunia adalah kemuncak kepada impian mereka dan menjadi suatu yang sangat diidamkan.

Bercerita tentang Piala Dunia Rusia 2018, Jepun salah sebuah negara di Asia yang layak pada kali ini, selain Arab Saudi, Korea Selatan dan Iran.

Mengimbau kenangan hampir dua dekad lalu, pada Piala Dunia Perancis 1998 merupakan kejayaan pertama negara Jepun menjejak kaki ke pentas berkelas dunia itu selepas mengalahkan Iran di Stadium Larkin, Johor Bahru.

Bertitik tolak daripada itu, Persatuan Persahabatan Johor dan Jepun (JJFA) bekerjasama menubuhkan Galeri Bola Sepak Johor-Jepun untuk menyemat kenangan bermakna itu di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.

Stadium yang juga dikenali sebagai Stadium Larkin itu dibina pada 1964 sebelum diubah suai kembali pada tahun 1991 menjadi kapasiti 30,000 orang penonton.

Pada 2013, Perbadanan Stadium Johor telah menyerahkan stadium itu dengan hak milik penuh kepada Kelab 
Bola Sepak Johor Darul Ta’zim dengan diselenggarakan oleh Johor Corporation.

Pengiktirafan

Pengasas JJFA yang juga pihak yang bertanggungjawab ke atas galeri itu, Koichi Hiroi berkata, sejarah sekali lagi tercipta di Johor yang mendapat pengiktirafan daripada Jepun dengan pembukaan galeri tersebut di Stadium Larkin pada 20 Januari lalu.

“Pada 20 tahun lalu, Stadium Larkin ini menjadi tuan rumah perlawanan antara Jepun dan Iran bagi kelayakan ke Piala Dunia.

“Paling menarik perlawanan itu disaksikan oleh lebih 10,000 penyokong Jepun,” ujarnya.

Tambahnya, galeri seluas 120 meter persegi itu berkonsepkan ‘From Larkin to the world’ dan turut menggunakan konsep Samurai Biru dan warna rasmi skuad Harimau Selatan.

“Penonton boleh melihat gambar-gambar lama iaitu pada perlawanan 20 tahun lalu, malah terdapat tandatangan pemain-pemain legenda Jepun dikumpulkan di sini.

“Selain itu, hiasan dalaman yang berkonsepkan laut adalah simbolik hubungan rapat antara Johor dan Jepun,” ujarnya.

Jelasnya lagi, galeri tersebut beroperasi pada pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang dan ia dibuka kepada orang awam termasuk pelancong luar.

Dalam pada itu, Hiroi menambah, perasmian galeri disempurnakan oleh Presiden Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan turut disaksikan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Miyagawa Makio, Pengarah Antarabangsa Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Maruyama Takato dan bekas pemain Jepun, Jo Shoji.

Sementara itu, menurut Pegawai Eksekutif Galeri Bola Sepak Jepun- Johor, Afifah Asri berkata, galeri tersebut juga mempunyai koleksi-koleksi gambar kejayaan skuad bola sepak JDT sepanjang penubuhannya.

Katanya, pengungjung juga boleh membeli cenderamata skuad bola sepak JDT di galeri berkenaan.