Ia jelas kelihatan pada raut wajah letih dan lesu tujuh peserta yang menyertai ekspedisi menjelajah Gua Hari Malaysia.

Disebabkan rasa teruja, peserta yang terdiri daripada wakil media dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) itu tetap bersemangat.

Selepas selesai menjamah sarapan pagi di pekan Merapoh, peserta diberi taklimat ringkas mengenai aspek keselamatan oleh penunjuk arah.

Tepat pukul 10 pagi, para peserta dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda ke Hutan Merapoh yang terletak tiga kilometer dari pekan Merapoh.

Setibanya di sana, para peserta perlu meredah denai hutan sejauh 1km sebelum tiba di depan pintu gua.

Selepas berehat hampir 15 minit dan para peserta terus memulakan ekspedisi meneroka gua.

Memandangkan Gua Hari Malaysia merupakan laluan air sungai, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuhi oleh peserta sepanjang penjelajahan.

Antara cabaran yang terpaksa ditempuhi termasuklah memanjat bongkah batu kapur, merangkak, berenang, menyelam, tubing dan memanjat tali.

Salah seorang peserta, Mohammad Haikal Mohd. Darek, 25, berpendapat, meneroka Gua Hari Malaysia sangat mencabar fizikal dan mental.

Pemuda berasal dari Shah Alam, Selangor itu memaklumkan, sepanjang penjelajahan dia terpaksa menahan kesejukan berada di dalam air sungai.

“Ini kali pertama saya masuk ke gua ini. Pada pendapatan saya, perjalanan meneroka gua ini sangat mencabar mental dan fizikal.

“Namun, ia bukan satu masalah pada saya, walaupun tidak pernah meneroka gua sebelum ini,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Kerjasama

Kakitangan pentadbiran di Peka itu memaklumkan, kerjasama berpasukan amat diperlukan sepanjang penerokaan gua batu kapur itu.

Jelasnya, sekiranya berseorangan, pasti sukar untuk melepasi kawasan air terjun Merapoh dan air terjun Croatia.

“Kedua-dua air terjun ini mempunyai ketinggian sekitar lima meter. Para peserta perlu melepasinya dengan hanya menggunakan tali.

“Kalau tiada rakan-rakan yang membantu dari bawah dan atas, sukar untuk lepas. Ini sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kami,” katanya yang sudah berumah tangga.

Gua Hari Malaysia terbentuk daripada Bongkah Gua Padang Kawad yang berusia lebih 300 juta tahun. Proses pembentukan gua tersebut pula dipercayai mengambil masa lebih daripada 60 juta tahun.

Pengasas Gua Hari Malaysia, Laili Basir berkata, gua tersebut dinamakan Hari Malaysia kerana ia dijumpai pada 16 September 2012.

Jelasnya, gua tersebut dijumpainya bersama beberapa penduduk kampung ketika berusaha mengenal pasti potensi gua-gua di sekitar Merapoh.

“Selepas menemui gua ini, kami menjemput pakar-pakar dari luar negara untuk mengkaji keunikannya.

“Ternyata, pakar-pakar gua tersebut terpegun dan berpendapat gua ini mempunyai nilai keindahan tersendiri,” katanya.

Tambah Laili, pakar-pakar tersebut juga telah mengelaskan gua sepanjang 974 meter itu sebagai sukar.

“Gua ini dikategorikan sukar kerana para peneroka terpaksa melalui pelbagai rintangan yang berbahaya sepanjang penjelajahan.

“Antara rintangan terdapat di dalam gua ini ialah batu licin, sungai, air terjun dan kawasan berpasir,” katanya.

Walaupun sukar, namun Gua Hari Malaysia tidak pernah lengkang daripada menerima kunjungan pelawat sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Air terjun

Jelas Laili, pada tahun lalu, dianggarkan lebih 2,000 pelawat telah meneroka gua tersebut.

Menariknya, di dalam gua tersebut terdapat lima air terjun iaitu Merapoh Cascade, Croatia Cascade, Liz Cascade, Awan Cascade dan Laili Cascade.

Selain air terjun, gua tersebut turut mempunyai satu susunan batu landai yang dikenali sebagai Slaid Sinisa.

Menurut Laili, sepanjang penerokaan, pelawat akan dihidangkan dengan keindahan stalaktit (batu kapur yang meruncing ke bawah) dan stalagmit (batu kapur yang bercerancang ke atas) di dalam gua.

Tambahnya, disebabkan aliran air sungai, beberapa formasi menarik terbentuk pada dinding gua.

“Antara formasi yang wujud adalah gourpool, soda straw, cavepool, flowstones, moon shape dan helictite.

“Kesemua formasi ini boleh dilihat pada bahagian kiri, kanan dan atas gua. Selalunya, formasi gourpool paling mencuri tumpuan para pengunjung di gua ini kerana struktur batuannya membentuk kolam-kolam kecil,” katanya.

Kepelbagaian formasi tersebut juga membolehkan ia diiktiraf sebagai gua kedua tercantik di negara ini selepas Gua Mulu di Sarawak.

Struktur dan formasi gua yang pelbagai itu turut menambat hati salah seorang peserta, Bazlinda Bahrin.

Wanita berusia 40 tahun itu berpendapat, gua tersebut menawarkan panorama yang cukup indah yang sukar diperoleh di tempat lain.

“Kepenatan meneroka Gua Hari Malaysia sedikit terubat selepas melihat keindahan struktur formasi di dalamnya.

“Saya bukanlah penggemar gua. Namun, apabila melihat gourpool, cavepull dan soda steal saya jadi teruja. Ia amat cantik apabila terkena pantulan cahaya lampu,” katanya.

Selain keindahan gua, ibu kepada seorang cahaya mata itu juga berpeluang melihat kepelbagaian fauna di dalam gua.

“Antara fauna yang ditemui ialah katak kodok bersaiz besar, ular pelumba gua dan labah-labah,” katanya yang kali pertama masuk ke gua tersebut.

Gua Hari Malaysia merupakan telah diiktiraf oleh pakar gua sebagai gua tercantik di Semenanjung Malaysia.