Bagi penyanyi dan pelakon Elly Mazlein, biarpun umum sudah mengetahui sengketa antara dirinya dengan bekas suami, pengarah Azmi Hatta sejak bercerai pada tahun 2015, namun sebagai ibu kepada Putri Sara Sefhia, dia tidak boleh menafikan hak anaknya untuk bertemu dengan si bapa.

Mengambil berkat sempena kemuliaan Syawal, Elly dengan hati terbuka menerima kunjungan selama satu jam bekas suami untuk bertemu dengan puteri tunggal yang kini menginjak usia dua tahun di kediamannya baru-baru ini.

Malah pertemuan yang disifatkan sebagai tautan semula kasih antara anak dan bapanya itu juga sempat diabadikan pelantun lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan menerusi akaun Instagram miliknya.

Dalam perkongsian berkenaan, Elly turut mengucapkan terima kasih kepada Azmi dan isteri, Faye Kusairi kerana telah membawa kebahagiaan buat si comelnya itu.

KOSMO!: Boleh Elly kongsi sedikit tentang pertemuan antara Azmi Hatta dan Sefhia baru-baru ini?

Elly Mazlein: Pertemuan Azmi dan Sefhia benar-benar membuat hati saya berbunga. Tiada apa yang saya mahukan selain kasih sayang Azmi buat Sefhia dan dia menunaikan tanggungjawab sebagai bapa.

Biarpun cerita kami sudah lama habis, namun kasih sayang Azmi kepada Sefhia tidak akan habis. Alhamdulillah, Syawal kali ni Azmi seorang diri datang melawat Sefhia

Bagaimana anda boleh membuka hati untuk berjumpa dengan bekas suami selepas dua tahun berpisah?

Azmi bukan jodoh saya dan perkara ini harus saya terima dengan reda. Buat masa ini, keutamaan saya hanya ingin Sefhia merasai kasih sayang seorang ayah.

Adakah pertemuan ini sekali gus menamatkan persengketaan antara kalian? Bagaimana pula hubungan anda dengan isteri Azmi iaitu Faye Kusairi?

Benar, saya menganggap pertemuan ini merupakan jalan penamat terhadap persengketaan antara kami. Saya sudah melupakan segala kesalahan Azmi. Semua orang buat salah dalam hidup, saya juga begitu. Berkenaan hubungan dengan Faye pula, saya harap moga ia baik-baik sahaja selepas ini.

Boleh kongsikan harapan anda daripada pertemuan tersebut?

Doa saya biarlah Azmi terus datang melawat Sefhia. Mahkamah telah memberi hak lawatan kepada Azmi sekali dalam seminggu, namun saya tiada masalah sekiranya dia mahu datang melawat Sefhia setiap hari. Pintu rumah ini sentiasa terbuka buat Azmi.

Sebenarnya, permintaan saya tidak banyak, cukuplah dia selalu melawat Sefhia dan tidak culas dalam soal pemberian nafkah anak. Selain itu, saya doakan agar dia bahagia bersama keluarga baharu dan anaknya, Alif. Saya tumpang bahagia apabila Sefhia sudah mempunyai adik.

Mungkin ada sesuatu yang anda ingin katakan kepada netizen yang selama ini mengecam dan menganggap anda seperti meroyan apabila terlalu terbuka terutamanya dalam hal nafkah Sefhia?

Inilah hasil yang saya dapat setelah nampak buruk di mata masyarakat. Segala perjuangan saya selama ini sudah pun berbayar. Untuk makluman, pertelingkahan ini bukan kerana saya tidak boleh meneruskan kehidupan selepas bercerai atau masih berebut lelaki, sebaliknya ia berlaku kerana saya ingin memperjuangkan hak anak.

Moga perjuangan saya menjadi inspirasi kepada ibu-ibu tunggal di luar sana. Cukuplah, saya tidak mahu memanjangkan isu ini lagi kerana kehidupan saya sudah cukup bahagia sekarang. Harap peminat dapat mendoakan yang baik-baik sahaja buat kami.