Ekspedisi selama dua hari berakhir 30 Oktober itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta yang kebanyakannya terdiri daripada anggota penyelamat dan peminat aktiviti luar mengenai kesukaran menyelamat di dalam gua.

Salah seorang peserta, Mohammad Arif Nizam Abdullah, 32, berkata, aktiviti [email protected] sangat mencabar serta menguji kekuatan fizikal dan minda.

Lelaki berasal dari Kuala Lumpur itu memberitahu, para peserta terpaksa mendaki bukit sejauh 700 meter sambil membawa pengusung seberat lapan kilogram ke pintu gua.

Di dalam gua, peserta perlu membawa ‘mangsa’ yang terperangkap untuk keluar dari gua menggunakan pengusung, sama ada dengan mengangkat atau meletakkannya di belakang badan sambil merangkak keluar.

“Saya sangat teruja dapat menyertai aktiviti ini buat pertama kali dalam hidup. Meskipun letih, namun pengalaman yang diperoleh sangat bernilai.

“Program ini memberi kesedaran kepada saya tentang kesukaran anggota penyelamat apabila ingin mengeluarkan mangsa di dalam gua yang sempit dan gelap,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

[email protected] dianjurkan oleh Pertubuhan Nadi Sihat (Nadi Sihat) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia.

Turut memberi kerjasama ialah Kumpulan Hiking And Camping Arround Malaysia, Persatuan Malim Gunung Malaysia, Malaysian Mountain Search & Rescue Society, Persatuan Muafakat Harapan Perlis, Komuniti Wang Kelian dan penuntut Universiti Malaysia Perlis.

Sementara itu, Presiden Nadi Sihat, Azlina Abdul Aziz memberitahu, program itu dianjurkan bagi mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di Gua Tham Luang Nang Non, Thailand pada Julai lalu.

Dalam kejadian itu, 13 mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak telah terperangkap di dalam gua selama dua minggu sebelum berjaya dikeluarkan oleh penyelamat.

Jelasnya, menerusi [email protected], satu simulasi menyelamat telah dijalankan bagi memberi pendedahan kepada peminat aktiviti luar mengenai langkah menyelamat di dalam gua.

“Simulasi dimulakan dengan memberikan gambaran senario para peserta terperangkap di dalam gua dalam keadaan arus sungai yang semakin meningkat.

“Terdapat mangsa yang mengalami kecederaan yang serius dan tidak dapat berjalan menyebabkan seorang lagi mangsa yang melihat kejadian menghubungi pasukan penyelamat bagi mendapatkan bantuan.

“Selepas itu, para peserta perlu memberi bantuan dan membawa keluar mangsa dari gua berkenaan dengan selamat,” ujarnya.

Para peserta juga berpeluang merasai suasana sunyi dan gelap gelita di dalam gua apabila lampu kepala dipadamkan hampir seminit.

Tambahnya, pihak JBPM juga berbesar hati untuk menunjukkan beberapa teknik asas menyelamat di dalam gua kepada peserta.

Antaranya adalah teknik usungan di dalam gua, pengurusan dan kaedah menyelam bagi mengeluarkan mangsa yang cedera.

Majlis penutup dan penyampaian sijil penyertaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.