Ini kerana ia mengambil masa satu jam pemanduan dari Kuala Lumpur dan hanya 24 kilometer dari Genting Highlands, Pahang.

Jadi, tidak hairanlah jika calet yang terletak Batang Kali, Selangor itu selalu dipenuhi pelancong dari luar dan dalam negara.

Selain lokasi yang strategik iaitu berada di sebelah lebuh raya yang dikelilingi hutan, pelancong dapat merasai pengalaman menginap berhampiran air terjun.

Justeru, calet yang siap dibina sejak lima tahun lalu itu menerima sentuhan dan inspirasi seni bina menarik di rumah pantai di Bournemouth, Britain.

Pemilik bersama Eco Murai Rimba, Norlia Mazlan berkata, reka bentuk calet yang berwarna warni dan beratap tiga segi itu diinspirasikan sewaktu dia berkunjung ke Bournemouth bersama rakan kongsinya, Charles Aruputham.

Nama Eco Murai Rimba juga diperoleh daripada bunyi murai di kawasan tersebut selain ditambah dengan suasana huta.

Mengulas mengenai penginapan, Norlia berkata, Eco Murai Rimba menawarkan 10 buah calet kepada pengunjung.

Pakej

“Terdapat dua jenis bilik yang disediakan iaitu pakej biasa dan pakej berkeluarga manakala harga jenis bilik ini berbeza mengikut hari.

“Bagi individu yang ingin meluangkan masa pada hujung minggu bersama ahli keluarga, pakej percutian berkeluarga merupakan pilihan yang paling ideal,” katanya.

Harga bilik biasa pada hari Ahad hingga Jumaat adalah RM130 untuk dua orang dan bilik keluarga pula adalah RM260 bagi empat orang termasuk makan pagi.

Menurut Norlia, perhiasan bilik juga lengkap dan sangat praktikal. Tuala mandi, meja dan cermin untuk berhias diletakkan di setiap bilik.

Walaupun tidak dipasang pendingin hawa, pengunjung akan merasai kedinginan hembusan angin malam dan desiran air terjun Sungai Pinang yang mengalir.

Selain itu, Eco Murai Rimba turut menyediakan sebuah balkoni yang hanya 10 meter dari air terjun untuk tetamu beristirahat.

Soal makan pula, pihaknya menawarkan kemudahan dapur buat tetamu yang datang secara berkumpulan dan berpasangan.

“Bayaran berkumpulan bagi penggunaan dapur adalah RM70 sahaja dan maksimum adalah 32 orang.

“Kami menyediakan tempat barbeku, air mineral, arang tiga kilogram, air kopi, pinggan, kuali dan kelengkapan alat memasak,” ujarnya.

Jelas Norlia, tetamu yang tidak mahu memasak pula akan dihidangkan sarapan pagi selain boleh menggunakan dapur untuk menjerang air panas.

Bagi kaki pancing pula, Eco Murai Rimba menyediakan beberapa kilogram ikan kelah di hadapan air terjun calet mereka.

“Jadi, mereka boleh menginap dan melakukan aktiviti memancing,” katanya.