Jaraknya kira-kira 53 kilometer (km) dari ibu negara dan mengambil masa satu jam waktu pemanduan.

Musim durian yang bermula pada bulan Mei setiap tahun merupakan salah satu tarikan kepada pelancong sama ada dalam mahupun luar negara untuk sama-sama menikmati kelazatan raja buah itu.

Bagi memeriahkan keadaan itu, Resorts World Genting (RWG) menganjurkan Festival Durian 2019 yang bermula sejak 25 Mei lalu dan akan berakhir pada 16 September depan.

Salah seorang pengunjung, Firdaus Azizan, 21, berkata, dia teruja apabila pertama kali menikmati keenakan durian di puncak Genting Highlands pada suhu di bawah 20 darjah Celsius.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya makan buah durian pada suhu sejuk.

“Selain itu, saya juga pertama kali merasai sendiri kelazatan makan buah durian Duri Hitam yang berharga RM80 untuk 1 kilogram,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Tambahnya, pengalaman itu tidak boleh dirasai di mana-mana melainkan di Genting Highlands dengan udara persekitaran yang nyaman dan segar.

Sementara itu, menceritakan mengenai penganjuran Festival Durian 2019, Kevin Tann berkata, pihaknya membawa durian terbaik yang diusahakan oleh tiga pekebun di negara ini.

“Kita menawarkan pelbagai jenis durian gred premium seperti Musang King, XO, D24 dan Udang Merah pada harga dan tawaran istimewa.

“Ia dibuka setiap hari bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam di hadapan Boulevard, Genting Grand berhampiran kawasan parkir,” katanya pada siri lawatan media ke Genting Highlands baru-baru ini.

Kevin yang juga Naib Presiden Hiburan dan Acara RWG berkata, salah satu durian yang menjadi tarikan sempena Festival Durian 2019 iaitu durian Duri Hitam yang dibawa khas dari Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Variasi

“Ia dianggap sebagai variasi durian yang paling lazat serta mampu menjadi saingan kepada Musang King.

“Durian Duri Hitam mempunyai isi berwarna kuning keemasan dengan tekstur isi yang lembut dan berkrim serta rasa yang manis juga berbau harum,” katanya lagi.

Ia dibekalkan oleh Syarikat Mei Jie Gohtong Trading (May Jie) terletak di bandar Genting dan merupakan pembekal durian Musang King dan D24 yang terbesar di kawasan tersebut.

Penulis juga berkesempatan merasai sendiri kelazatan menikmati pelbagai jenis durian seperti XO, Tekka, D24 dan Musang King di kios May Jie.

Di samping itu, terdapat juga buah mangga dan rambutan sebagai pencuci mulut yang sejuk setelah memakan buah durian.

Mengulas lanjut, Kevin memberitahu, pengeluar durian terbesar di negara ini yang turut membekalkan durian ke festival tersebut ialah kebun durian Weng Fatt Trading dari Raub, Pahang.

“Terkenal dengan kualiti tinggi bagi durian Musang King dan D24, Weng Fatt membuktikan keadaan cuaca dan keadaan tanah yang sempurna di Pahang menyumbang antara beberapa jenis durian terbaik di dunia.

“Peminat durian dapat merasai sendiri keunikan buah XO, Tekka, D24 dan Musang Raja Weng Fatt selain beberapa jenis makanan dan minuman seperti cendol Musang King, ais krim durian, kopi durian dan jus buah segar,” katanya.

Selain keenakan durian, pengunjung juga tambah Kevin boleh menikmati kesegaran air kelapa lambung yang dibawa khas dari Melaka oleh Fatimah Product Enterprise.