Tidak dinafikan kehebatan Dubai sebagai destinasi pilihan beli-belah terbaik buat golongan elit, namun itu tidak bermakna ia tidak sesuai dikunjungi kumpulan berpendapatan sederhana bagi merasai keajaiban yang terdapat di sebuah wilayah terbaik di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Baru-baru ini, Perbadanan Pelancongan dan Pemasaran Perdagangan Dubai (Dubai Tourism) telah mengumumkan rancangan mereka untuk meningkatkan bilangan pengunjung dari Asia Tenggara ke negara berkenaan.

Dubai Tourism juga mendedahkan bahawa hampir 48,000 pengunjung dari Malaysia telah melawat bandar Dubai pada tahun 2017 dari bulan Januari hingga November.

Selain itu, Dubai turut menjadi bandar yang keempat paling kerap dikunjungi di dunia dan telah menarik 14.24 juta pengunjung antarabangsa pada tahun 2017.

Menurut Pengurus Kanan, Asia Pasifik, Operasi Antarabangsa, Dubai Tourism, Hoor Al Khaja, Asia bukan sahaja pemangkin bagi pertumbuhan sektor pelancongan di seluruh dunia malah penting bagi sektor pelancongan Dubai.

“Rantau ini telah menyumbangkan kemasukan 1.36 juta pengunjung ke Dubai. Kami percaya bahawa peningkatan jumlah pelancong dari negara-negara Asia Tenggara adalah disebabkan kepelbagaian tarikan dan aktiviti yang disediakan di Dubai.

“Kami ingin memberi tumpuan kepada enam dimensi yang menjadikan Dubai sebuah destinasi menarik untuk para pelancong. Enam dimensi tersebut ialah hospitaliti, tarikan popular, budaya dan warisan, gastronomi, hiburan, aktiviti bersantai, membeli-belah dan acara-acara menarik,” katanya dalam suatu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Jelas Hoor lagi, kepelbagaian ini menjadikan Dubai sebuah destinasi yang sesuai untuk semua. Tahun ini pihaknya akan terus memperkenalkan dan mengembangkan senarai tarikan dan aktiviti baharu yang menarik sesuai untuk seisi keluarga, pasangan, pengembara solo mahupun mereka yang sukakan cabaran.

Penginapan

“Para pengunjung boleh memilih untuk menginap di hotel mewah seperti Burj Al-Arab iaitu mercu tanda Dubai yang paling ikonik dan antara hotel termewah di dunia ataupun memilih pengalaman unik seperti bermalam di kawasan peranginan gurun seperti Al-Maha atau Bab al-Shams.

“Dubai telah menerima seramai 38,959 tetamu dari Malaysia dan 27 peratus daripada mereka memilih untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang seperti Bulgari Resort Dubai, Hotel Renaissance Downtown, W Hotel, The Palm dan Dolce Sky,” ujarnya.

Hoor memberitahu, antara tarikan popular di Dubai ialah pembukaan IMG Worlds of Adventure pada tahun 2016, iaitu taman tema dalam bangunan terbesar di dunia dan Legoland Dubai yang merupakan taman tema pilihan bagi kanak-kanak.

“Kehadiran para pengunjung bersama keluarga akan terus memperkukuhkan kedudukan Dubai sebagai destinasi pilihan untuk seisi keluarga. Selain itu, penggemar aktiviti lasak berpeluang merasai XLine Dubai Marina yang digelar zipline terpanjang di dunia,” katanya.

Dalam pada itu, bagi pengunjung yang mencari pengalaman budaya dan warisan dengan lebih mendalam boleh berkunjung ke Dubai Creek untuk mencari Souk (pasar) yang menjual rempah-ratus, emas dan tekstil, atau menikmati pemandangan matahari terbenam di Burj Khalifa iaitu bangunan tertinggi di dunia.

Antara tarikan utama lain Dubai ialah kepelbagaian pusat beli-belah yang disediakan. Dubai Mall mengekalkan kedudukannya sebagai pusat beli-belah paling dikunjungi di dunia, dengan kehadiran 91 peratus pengunjung antarabangsa pada tahun 2016.

Pada masa sama, pusat beli-belah Cityland Mall pertama seumpamanya yang berkonsepkan alam semula jadi bakal dibuka pada tahun ini menjadikan pengalaman indah kepada pengunjung ketika membeli-belah.