Salah satu caranya, Abdul Aziz Abd. Muis sering membawa dua anaknya iaitu Ammar Azri, 4, dan Ammara Aisyah, 3, bermain di taman permainan.

Taman permainan yang menjadi pilihan Abdul Aziz ialah Waka Waka Kuala Lumpur (KL) yang terletak di Hotel Furama, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Waka Waka KL merupakan sebuah taman permainan dalaman yang berkeluasan 3,048 meter persegi. Ia merupakan taman permainan pertama di negara ini yang dibina dalam hotel.

“Ini kali keempat saya datang ke sini bersama anak-anak. Saya selalu bawa anak-anak ke sini jika ada masa lapang terutamanya hujung minggu.

“Anak-anak pun gembira setiap kali datang ke sini kerana dapat bermain dengan selesa. Tempat ini luas dan tidak terlalu padat,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Dibuka secara rasmi pada 22 Jun lalu, taman permainan bertemakan alam ajaib itu dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu kanak-kanak kecil, alam ajaib dan bebas dilengkapi dengan pelbagai permainan menarik buat kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun seperti buaian, papan lungsur, mendaki, tilam lompat dan terowong.

Menurut Abdul Aziz, Waka Waka KL menawarkan permainan yang terkini selain dapat menguji minda, fizikal dan kreativiti kanak-kanak.

Warna-warni

Lelaki berasal dari Hulu Langat, Selangor itu menambah, ruang dalaman Waka Waka KL yang berwarna-warni juga mampu memberi mood ceria kepada kanak-kanak.

“Anak-anak saya lebih suka bermain di seksyen alam ajaib kerana ada papan lungsur yang tinggi dan laluan berhalangan.

“Selalu anak-anak saya akan menghabiskan masa di sini selama dua jam. Kalau penat, mereka berhenti makan, kemudian sambung kembali,” jelas lelaki yang bekerja sendiri itu.

Sementara itu, Pengurus Hotel Furama, Chua Adrian berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat membuka taman permainan Waka Waka KL di negara ini.

Jelasnya, taman permainan tersebut merupakan salah satu strategi pihaknya untuk menarik lebih ramai pengunjung ke hotel empat bintang itu.

“Waka Waka KL dibuka untuk semua. Ia tidak terhad kepada mereka yang menginap di hotel ini sahaja. Namun, mereka yang menginap hotel ini akan mendapat tawaran harga istimewa.

“Buat masa sekarang, kami menerima purata pengunjung 50 orang sehari. Pada hari minggu, jumlah ini akan meningkat sekali ganda,” terangnya.

Taman permainan Waka Waka telah dibina buat kali pertama di Singapura pada Disember 2016. Mengetengahkan tema safari, taman permainan itu berjaya menarik seramai 5,000 orang sebulan.

Menurut Adrian, pihaknya mendapati kanak-kanak pada masa kini banyak menghabiskan masa bermain gajet.

Menyedari hakikat itu, pihaknya terpanggil untuk mewujudkan taman permainan yang selamat sambil membina kreativiti, keseimbangan dan kelajuan mereka menerusi permainan fizikal.

“Kami berharap taman permainan ini mampu melatih kanak-kanak yang tinggal di bandar untuk lebih aktif melakukan aktiviti fizikal.

“Kanak-kanak ini bukan sahaja boleh bermain, malah mereka juga dapat membina kemahiran berkomunikasi di Waka Waka KL,” katanya.

Waka Waka KL turut dilengkapi dengan sebuah Bistro yang menyediakan pelbagai hidangan yang sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Antara sajian yang diketengahkan termasuklah piza, roti, burger, pasta, ayam goreng popcorn dan nachos.

“Bistro ini menyediakan pelbagai hidangan ringan yang sesuai untuk kanak-kanak. Jadi, mereka boleh berhenti bermain seketika untuk menikmati hidangan di ruang yang disediakan.

“Sajian di Bistro ini disediakan oleh cef profesional hotel. Jadi, hidangan yang disajikan berada pada kualiti terbaik,” ujarnya.

Parti hari lahir

Waka Waka KL juga menyediakan bilik buat mereka yang berhajat mengadakan parti hari lahir atau hari keluarga di situ.

Pelanggan boleh menggunakan bilik tersebut selama dua jam, sajian untuk 30 pek, dekorasi dan masa bermain tanpa had dengan harga serendah RM500.

Salah seorang pelanggan, Choo Chooi Bin, 42, berkata, dia berasa sangat gembira dapat mengadakan parti hari lahir anaknya di Waka Waka KL.

Wanita berasal dari ibu kota itu memaklumkan, dia memilih tempat berkenaan kerana ia bukan saja bersih, malah makanannya juga lazat.

“Saya tertarik dengan pakej parti yang ditawarkan di sini. Hari ini, saya menjemput seramai 50 orang dengan bajet serendah RM700,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berharap, pihak Waka Waka KL dapat mengekalkan tahap kebersihan dan peralatan permainan sedia ada pada masa depan.