Bagaimanapun, pengorbanan itu dianggap berbaloi kerana Wetlands Kampung Belukar Durian merupakan satu destinasi pelancongan yang menarik untuk pencinta alam semula jadi.

Terletak di Tanjung Sedili, Wetlands Kampung Belukar Durian iaitu projek yang dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) bersama penduduk setempat itu pasti memberi pengalaman percutian unik serta berbeza buat pengunjung.

Pengunjung pasti terpegun dengan keindahan persekitaran yang menyaksikan kese­mua calet dikelilingi Sungai Sedili, sekali gus sesuai untuk kaki pancing menghabiskan masa lapang mereka.

Selain itu, pengunjung akan dibawa meneroka satu kawasan yang dipenuhi dengan tumbuhan paya bakau, nipah dan rasau.

Penolong Pengurus Bahagian Pelancongan Kejora, Noorazah Mohamed Iman berkata, lokasi itu sememangnya popular sebagai destinasi tumpuan kaki pancing, bukan sahaja dari dalam negara tetapi seluruh dunia.

“Pada masa ini, terdapat sembilan buah calet dan sebuah asrama untuk disewa pengunjung iaitu harga bagi sebuah calet adalah RM100 serta RM150 semalam manakala asrama yang mampu memuatkan seramai 40 orang berharga RM400 semalam.

 

Permainan tradisional

“Selain memancing, banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan seperti meredah hutan di kawasan paya bakau, menyusur sungai, berkayak, berbasikal, berkhemah serta melawat pusat penternakan belangkas, bengkel kraf tangan dan kilang keropok lekor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Selain itu, pihak Wetlands juga menyediakan perkhidmatan permainan tradisional mengikut permintaan pengunjung antaranya boling kelapa, teng teng, congkak, batu seremban, bermain guli, tarik upih dan melastik tin.

Tambah Noorazah, Wetlands menerima ramai pengunjung khususnya pada musim cuti sekolah dan cuti umum.

“Biasanya tempat ini dipenuhi dengan pengunjung pada waktu cuti. Jadi, mereka yang berminat perlu membuat tempahan awal kerana penginapan yang disediakan agak terhad.

“Kami juga sedang dalam perancangan menaik taraf kemudahan di kawasan ini termasuk membuka restoran makanan laut, kolam renang dan taman permainan untuk kanak-kanak,” katanya.

Turut disediakan ialah tapak perkhemahan dan pengunjung boleh menyewa tapak itu dengan harga RM5 atau menyewa tapak bersama khemah yang harga RM30.

Antara kemudahan infrastruktur pelancongan desa yang telah dibangunkan sehingga kini adalah wakaf, tandas, boardwalk (kemudahan untuk berjalan kaki tepi pantai), menara tinjau dan dewan terbuka.

Turut disediakan ialah dua unit kiosk, tiga unit bot pelancongan serta tujuh unit calet.

Sementara itu, salah seorang pemandu pelancong Wetlands, Mohd Effendy Yusof berkata, terdapat pelbagai jenis pokok paya bakau yang boleh dipelajari di lokasi itu.

“Peranan pokok paya bakau ini adalah untuk menguatkan struktur tanah di kawasan ini,” ujarnya.