Hotel tersebut menjadi pilihan kerana kedudukan lokasinya yang strategik iaitu di tengah-tengah tempat tumpuan pelancong.

Antara kawasan tumpuan pelancong yang berhampiran hotel berkenaan ialah Bukit Bintang, Menara Berkembar Petronas dan pusat beli-belah Times Square.

Bagi memenuhi kehendak pelanggan yang pelbagai, hotel yang terletak di Jalan Imbi itu telah memperkenalkan Club Lounge serta bilik dan suite Club Premier baharu.

Mengetengahkan konsep elegan, Club Lounge tersebut dibina khusus buat para pelanggan kelas atasan yang menginap di hotel berkenaan untuk tujuan perniagaan atau bercuti.

Terletak di tingkat 14 hotel, Club Lounge baharu itu dihiasi dengan dekorasi dan perabot yang jelas menggambarkan ciri kemewahan.

Menariknya, Club Lounge tersebut menempatkan ruang penyambut tetamu dan sebuah restoran eksklusif buat pelanggan yang menginap di bilik atau suites Club Premier.

Korporat

Pengurus Besar Hotel Berjaya Times Square, Mondi Mecja berkata, pihaknya berbesar hati dapat menawarkan Club Lounge serba baharu kepada para pelanggan.

Katanya, ruang tersebut menjadi daya tarikan baharu buat golongan korporat yang bertugas atau bercuti bersama keluarga di Kuala Lumpur.

“Kelab ini mula dibuka sejak Julai lalu. Sejak dibuka, ia tidak pernah sunyi dengan kehadiran pelanggan.

“Bagi memastikan piawaiannya terpelihara, para pelanggan yang masuk ke Club Lounge perlu berpakaian kasual,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai bilik dan suites Club Premeir, Mencha memberitahu, kedua-dua jenis penginapan tersebut direka khusus buat golongan yang mementingkan keselesaan.

Jelasnya, bilik Club Premier mempunyai keluasan 51 meter persegi dengan pelbagai kemudahan serta sebuah katil bersaiz king.

Suites Club Premier pula direka dengan keluasan 99 meter persegi yang disusun atur dengan kemudahan dua bilik yang dilengkapi katil king.

“Bilik dan suites ini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti ruang bekerja, ruang berehat, bilik air, televisyen dan WiFi.

“Pelanggan berpeluang menikmati keindahan bandar raya Kuala Lumpur dari tingkap bilik,” katanya sambil memaklumkan ruang penginapan Club Premier terletak di tingkat 17 hingga 20.

Kepada pelanggan yang ingin mengadakan mesyuarat, pihak Hotel Berjaya Times Square turut menyediakan bilik khas. Hotel tersebut juga menyediakan bilik seminar yang boleh memuatkan lebih 50 orang pada satu-satu masa.