Berabad-abad lamanya Delhi menjadi pusat perdagangan global dan dijajah oleh kuasa asing lalu telah menjadikan bandar itu sebagai landskap budaya di India dan dunia.

Penduduk Delhi dapat menyesuaikan diri dengan budaya yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

Delhi merupakan ibu negara, pusat politik dan kebudayaan India.

Anjhula Mya Singh Bais yang telah menetap selama enam tahun di New Delhi berkata, Delhi mengalami asimilasi kebudayaan lebih cepat berbanding bandar-bandar lain di India.

Golongan muda di bandar itu begitu menggemari menyambut upacara perkahwinan selama berhari-hari.

Majlis perkahwinan berlangsung antara lima hingga 10 hari dan lebih 1,000 tetamu akan hadir bagi meraikan upacara tradisi tersebut.

Helikopter

Majlis perkahwinan di bandar itu begitu meriah malah ada pasangan yang sanggup untuk berbelanja berlebihan dengan mengadakan parti-parti yang hebat.

“Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk melihat pengantin datang ke majlis perkahwinan dengan menggunakan helikopter,” jelas seorang anak muda di Delhi.

Dalam pada itu, bandar itu juga turut tidak terlepas dengan pengaruh elemen Barat.

Banyak pengaruh Barat wujud di kelab dan restoran di bandar itu.

Bandar itu juga mempunyai kepelbagaian makanan yang sudah lama dan banyak tempat-tempat makan baru dibuka sepanjang masa.

Sementara itu, bagi golongan ekspatriat mereka cenderung untuk tinggal di bahagian selatan Delhi, terutamanya di kawasan Gurgaon yang mempunyai banyak syarikat multinasional.

Selatan Delhi adalah tempat untuk mereka yang mengamalkan gaya hidup mewah dan mempunyai banyak kawasan kejiranan yang berprestij.

“Sebab utama saya tinggal di Gurgaon adalah kerana dapat mengelak daripada berhadapan dengan kesesakan trafik setiap hari untuk ke pejabat.

“Selain itu saya juga tidak perlu terjebak dalam kesesakan lalu lintas yang terlalu lama apabila hendak keluar berparti setiap malam Jumaat,” jelas Linn Back yang berasal dari Sweden dan bekerja di sebuah syarikat multinasional di Delhi.

Unsur sejarah

Delhi merupakan sebuah bandar yang besar dan ia mempunyai beberapa lokasi menarik untuk diteroka oleh pelancong.

Old Delhi antara salah sebuah kawasan yang masih mengekalkan unsur sejarahnya termasuk pasar Chandni Chowk yang berusia 350 tahun.

Selain pasar tertua di situ juga terdapat masjid dan kuil.

Di situ pelancong boleh melihat bagaimana keadaan Delhi yang berusia 100 tahun lalu. Selain itu, antara lokasi menarik lain yang terdapat di bandar itu ialah Taj Mahal yang terletak di selatan Delhi.

Jarak untuk ke Taj Mahal adalah sejauh 240 kilometer (km). Pelancong boleh melihat satu kediaman empayar dinasti Mughal.

Taj Mahal dibina pada tahun 1639 dan senibinanya begitu mengagumkan.

Dalam pada itu di negeri Rajasthan yang terletak kira-kira 300km ke barat daya Delhi pelancong boleh meneroka Bandar Merah Jambu yang terletak di Jaipur.

Jaipur juga sering dipanggil bandar merah jambu disebabkan bangunan-bangunannya berwarna merah jambu.

Warna tersebut diinspirasikan daripada seni bina bandar Mughal yang menggunakan batuan merah.