Situasi ini telah mendorong Persatuan Mendaki Perak untuk menganjurkan program Batu Kurau Rock Climbing Challenge (BKRCC) 2017.

Program yang berlangsung di Gunung Kurau, Batu Kurau, Perak pada 30 dan 31 Disember lalu itu telah berjaya menarik penyertaan seramai 100 peserta dari seluruh negara.

BKRCC 2017 adalah pertandingan mendaki batu yang dianjurkan buat kali kedua selepas kejayaan program tersebut pada tahun lalu.

Pengarah Program, Wan Muhammad Shahrul berkata, penganjuran BKRCC bertujuan untuk mempromosikan Gunung Kurau kepada komuniti setempat dan orang ramai.

Katanya, Gunung Kurau mempunyai potensi besar untuk menjadi lokasi pelancongan popular dalam kalangan peminat sukan lasak terutamanya mendaki batu.

“Kami sangat berbangga kerana program ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah atau kejadian tidak diingini berlaku.

Percuma

“Tahun ini, jumlah peserta yang terlibat lebih ramai berbanding tahun lalu. Ini jelas menunjukkan sukan mendaki batu kian mendapat tempat,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Mendaki Perak serta Persatuan Rekreasi Taiping.

Menurut Wan Muhammad, BKRCC juga mengadakan Bengkel Pendakian secara percuma kepada buat komuniti Larut Matang dan Selama.

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar, remaja dan komuniti setempat untuk menyertai sukan lasak berbentuk riadah.

“Bengkel ini adalah salah satu usaha kami dalam usaha menarik minat komuniti di sini terhadap sukan lasak.

“Selain itu ia dapat mengukuh, mengiktiraf, melatih dan membantu meningkatkan jumlah persatuan-persatuan sukan lasak di Perak,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Mendaki Malaysia, Mohd. Zaidi Kamaruddin berkata, sukan mendaki mampu meningkatkan kecergasan fizikal seseorang. Jelasnya, aktiviti tersebut memerlukan kekuatan kaki dan tangan seimbang selain stamina yang tinggi.

“Sukan mendaki ini mampu mengeratkan silaturahim antara peserta selain membentuk sikap kerjasama dalam satu pasukan,” jelasnya.

Mohd. Zaidi memaklumkan, sempena Sukan Sukma 2018 yang bakal berlangsung di Perak, pihaknya bercadang untuk mempromosikan sukan mendaki.

Katanya, ia sebagai langkah permulaan bagi mempopularkan sukan mendaki sebelum dijadikan acara tetap dalam Sukma.