Program pendakian anjuran Summit Attack Resources (SAR) itu berlangsung selama lapan hari.

Gunung yang mempunyai ketinggian 3,886 meter dari aras laut itu terletak di daerah Heping, Taichung, Taiwan. Walaupun ia gunung kedua tertinggi, pendakian lebih sukar berbanding Gunung Jade yang merupakan gunung tertinggi di Taiwan.

Menurut Pengarah SAR, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa yang juga ketua ekspedisi, program itu dirancang hampir setahun lalu bersama rakan-rakan yang turut meminati aktiviti lasak, terutamanya pendakian gunung.

“Segala persiapan rapi untuk mendaki gunung sangat ditekankan sebelum berangkat ke Taiwan termasuklah peralatan dan pakaian yang menepati syarat.

“Antaranya ialah pakaian kalis air dan tahan sejuk, kasut berpaku, kapak ais, topi keselamatan, tongkat dan cermin mata hitam,” katanya.

Cuaca sejuk

Mohd. Fakhrul Munir yang merupakan seorang anggota bomba, pendaki profesional dan jurupandu arah berpengalaman menambah, cabaran sewaktu mendaki Gunung Syueshan berbeza daripada gunung-gunung salji yang lain seperti Annapurna Base Camp (ABC) atau Everest Base Camp (EBC) di Nepal yang sering didaki pendaki Malaysia.

Ini kerana selain perlu berdepan cuaca sejuk dan lembab sehingga mencecah 10 darjah Celsius di bawah paras beku di Gunung Syueshan, mereka juga terpaksa membawa sendiri peralatan peribadi seperti pakaian, makanan serta peralatan tanpa menggunakan khidmat porter mahupun pengangkut barang dalam kalangan orang tempatan.

Segala-galanya diperiksa dengan teliti oleh pemandu arah berpengalaman iaitu Khafiz Bachok bagi memastikan pendaki membawa keperluan yang mencukupi dan tidak kesejukan sewaktu mendaki.

Sekiranya peralatan dan pakaian yang dibawa tidak memenuhi syarat yang ditetapkan, ia boleh mendatangkan bahaya kepada pendaki mahupun pasukan.

Pendaki-pendaki lain terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman iaitu Muhamad Khirul Bahri Basaruddin, 57; Husain Jahit, 51; Zainuri Misfar, 49; Mohd. Nazri Abdul Rahim, 38; Rosuardi Nizam Mohammad Rodzi, 40; Nurulhani Othman, 34; Junefaezah Yaakob, 41; Fariza Hanum Omar, 34; Nur Habibah Omar, 29, Azizah Jamil, 33, dan Aaron Anacan warganegara Filipina yang kini bertugas di Malaysia.

Mohd. Nazri berkata, pendakian itu berbeza dengan pendakian-pendakian yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Ini kerana ia memberi banyak pengalaman baharu dan bermakna.

“Cabaran getir sewaktu meredah salji dan tiupan angin yang sangat kuat memberikan kepuasan setelah kami berjaya menjejakkan kaki di puncak gunung.

“Syukur kerana Tuhan mempermudahkan urusan kami sehingga berjaya mendaki dan pulang dengan selamat. Terima kasih juga kepada SAR dan pemandu arah yang sering membimbing kami daripada awal hingga ke titik akhir pendakian,” kongsinya.

Salah seorang pendaki wanita, Azizah berkata, cabaran suhu sejuk yang ekstrem dan perjalanan yang panjang sangat memeritkan.

“Pendakian kali ini memang perit. Namun, dorongan dan semangat daripada rakan-rakan memberikan kekuatan kepada saya untuk terus ke puncak.

“Kerjasama dan kemesraan kami dalam ekspedisi ini bagaikan sebuah keluarga,” luahnya.