Kami memilih mendaki gunung tertinggi di negara Matahari Terbit itu memandangkan ia sangat terkenal selain memiliki pemandangan puncak yang menawan.

Rentetan itu, saya dan rakan-rakan dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya, Selangor telah merancang selama lebih enam bulan untuk menjayakan Ekspedisi Mengapai Awan itu.

Kami melakukan perancangan rapi dari pelbagai aspek termasuk kewangan, logistik, penginapan, pengangkutan dan jurupandu pendakian.

Kami juga mendapat tajaan berjumlah RM100,000 daripada syarikat Raja Sakti dan Universiti Limkokwing bagi menjayakan ekspedisi selama enam hari lima malam ini.

Memandangkan kami akan melakukan penggambaran dokumentari pendek sepanjang pendakian, maka persiapan membawa peralatan menjadi lebih rumit.

Dokumentari pendek mengenai keindahan Gunung Fuji itu merupakan salah satu projek akhir pembelajaran saya di peringkat Ijazah Sarjana Filem dan Televisyen.

Justeru, kami mengambil keputusan membawa bersama seorang malim di Gunung Kinabalu bagi membawa semua peralatan penggambaran dan makanan.

Khabar buruk

Tambahan pula, gunung terletak 100 kilometer (km) dari ibu kota Tokyo itu tidak menyediakan perkhidmatan malim bagi membawa barang-barang pendaki.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Tokyo mengambil masa selama lebih lima. Setibanya di sana, kami mendapat perkhabaran buruk apabila Jepun dilanda Taufan Jebi.

Situasi ini memaksa pendakian yang dirancang pada 4 September ditangguhkan hari lain memandangkan keadaan ketika itu angin kuat serta hujan berterusan.

Masa terluang yang ada kami manfaatkan dengan mempersiapkan fizikal dan mental untuk mendaki gunung setinggi 3,776 meter.

Selepas beberapa hari terkandas, kami akhirnya diberi lampu hijau oleh pihak berkuasa tempatan untuk memulakan pendakian pada 15 September.

Memandangkan ketika itu angin masih kuat, kami dibenarkan untuk mendaki menggunakan satu daripada empat laluan yang ditawarkan iaitu Subashiriguchi.

Laluan ini menawarkan pendakian lebih landai dan penuh kehijauan, sekali gus dapat membantu saya menghasilkan dokumentari lebih menarik.

Kami menaiki bas dari tempat parkir kenderaan menuju ke stesen lima yang mengambil masa satu jam dengan tambang RM76 seorang. Cuaca ketika itu masih berangin dengan suhu sekitar lima darjah Celsius.

Ketika sampai di stesen lima, suasana sangat tenang berbanding kebiasaannya kerana ramai pendaki masih bimbang dengan keadaan cuaca.

Sebelum memulakan, kami mendengar penerangan ringkas daripada jurupandu pendakian yang merupakan seorang pelajar Malaysia di Jepun, Mohamad Ata Mohamad Zain.

Kami disarankan supaya mengenakan baju tebal bagi mengelakkan diri kesejukan ketika berada di atas puncak.

Kami memulakan pendakian tepat pukul 2 petang menuju ke stesen Base Camp 8.5 dengan jarak sejauh 2.5km.

Sepanjang pendakian ini, saya dan rakan-rakan terpaksa mengerah keringat kerana perlu melalui laluan yang memenatkan terutamanya di kawasan berpasir hitam.

Cabaran utama kami ialah terpaksa berhenti setiap 10 minit untuk merakam momen indah bagi dimuatkan dalam dokumentari.

Aktiviti penggambaran di kawasan pendakian itu sangat sukar dan lambat disebabkan permukaan gunung yang curam selain angin kencang.

Bagaimanapun, keletihan kami sedikit terubat apabila dapat melihat keindahan kawasan sekitar yang hijau dan berkabus.

Cabaran

Kami tiba di Base Camp 8.5 pada pukul 11.30 malam. Di sini, kami mengambil peluang untuk berehat sambil menikmati hidangan mi segera panas yang dibawa dari Malaysia.

Selepas makan, kami diberi masa untuk tidur dan berehat secukupnya kerana akan meneruskan pendakian ke puncak pada awal pagi.

Meskipun dapat melelapkan mata hanya empat jam, namun ia sangat bermakna buat kami kerana mendapat tenaga baharu.

Kami meneruskan pendakian pada pukul 5 pagi. Suhu ketika itu sekitar dua darjah Celsius serta angin kencang. Keadaan itu membuatkan tubuh kami menggigil kesejukan.

Pendakian ke puncak lebih mencabar meskipun jaraknya hanya sejauh 1.5km kerana keadaan permukaan yang curam selain berbatu dan berpasir.

Kami terpaksa mendaki lebih cepat berbanding hari sebelumnya disebabkan perlu tiba ke puncak sebelum matahari tinggi.

Ia bagi membolehkan kami melihat dan merakam pemandangan matahari terbit dari puncak Gunung Fuji.

Cabaran utama untuk sampai ke puncak adalah kekuatan mental kami sendiri. Apabila badan mula keletihan, semangat tinggi pada awalnya boleh luntur begitu sahaja.

Bagaimanapun, saya dan rakan-rakan tetap bersemangat untuk sampai ke puncak meskipun terpaksa menanggung keletihan.

Kami tiba di puncak pada pukul 8.30 pagi. Suasana ketika itu cukup indah dengan sinaran mentari pagi dan kehijauan pinggir Tokyo dari puncak Gunung Fuji.

Pemandangan tersebut sedikit sebanyak menjadi pengubat lelah dan penat kami mendaki selama lebih tiga jam.

Sedikit merisaukan kami di puncak adalah keadaan angin yang sangat kuat. Saya rasa badan ini boleh terbang andai tidak berpaut pada kayu atau tali.

Peluang berada di atas puncak dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengibarkan bendera universiti dan Jalur Gemilang memandangkan 16 September merupakan Hari Malaysia.

Kami berada di atas puncak untuk menikmati pemandangan dan melakukan penggambaran selama lebih dua jam sebelum turun. Kami tiba di kaki gunung pada pukul 4 petang.

Saya sangat bersyukur kerana kami semua dapat melakukan pendakian dan turun dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Meskipun ramai pernah mendaki Gunung Fuji, namun pengalaman kami pasti berbeza kerana terpaksa menempuhi cabaran lebih getir berbanding orang lain.

Ini kerana kami bukan sahaja mendaki, malah perlu melakukan penggambaran dokumentari pendek.