Penulis berkesempatan mencuba aktiviti lasak yang menaikkan adrenalin pada pertandingan Bina Darulaman Berhad (BDB) Rafting Kulim 2017 di Sungai Sedim, Kulim, Kedah baru-baru ini.

Bagaimanapun, kesemua peserta yang mencuba aktiviti itu berjaya mengawal rasa takut terhadap arus deras dan air walaupun tidak tahu berenang.

Bot getah berpusing-pusing dan air sungai menyimbah ke muka bagaikan tidak terasa apabila dayung dikayuh secara automatik.

Pada ketika itu, setiap peserta menumpukan sepenuh perhatian agar bot getah yang dinaiki tidak terbalik.

Walaupun jaket keselamatan disediakan, kemungkinan untuk lemas tetap ada jika peserta panik dan gagal mengawal emosi.

Begitupun, di sebalik keseronokan mencuba sukan air ekstrem itu, peserta juga dapat menghayati keindahan flora dan fauna di kawasan sekeliling, sekali gus menenangkan minda ketika melalui kawasan tanpa jeram.

Salah seorang peserta, Arman Abd. Rahim, 36, berkata, bermain dengan aktiviti berakit bukan sesuatu yang mudah kerana seseorang itu terpaksa berhadapan dengan arus deras dan batu-batu sungai yang licin serta besar.

Bagi Arman, pertandingan kali ini bukanlah sesuatu pengalaman yang baharu kerana dia sebenarnya sudah melakukan aktiviti lasak tersebut sejak tahun 2005.

“Saya amat meminati aktiviti lasak dan ekstrem. Bukan aktiviti berakit arus deras sahaja, saya juga suka mencuba semua jenis aktiviti lasak yang lain seperti memanjat dinding batu, abseiling dan terjunan base.

“Bagi saya, aktiviti ekstrem ini mencabar diri dan ia bagus untuk meningkatkan keyakinan saya,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di Sungai Sedim, Kulim, Kedah baru-baru ini.

Selain itu, Arman memberitahu, aktiviti lasak juga meningkatkan semangat berpasukan dan mampu mengekalkan stamina.

“Aktiviti lasak ini kadangkala tidak boleh dilakukan secara berseorangan, mesti ada ahli kumpulan yang lain.

“Bila kita sudah bekerja dengan ahli yang ramai, maka ia dapat memupuk semangat berpasukan yang tinggi seperti aktiviti berakit arus deras ini,” ujar lelaki yang berasal dari Ipoh, Perak itu.

Ikut arahan

Tambah Arman, mereka yang berminat dengan aktiviti lasak harus mencuba dan usah risau dengan perasaan takut cedera atau sebagainya.

“Jangan risau, kalau aktiviti itu berbahaya, mesti mereka tidak suruh kita cuba. Lagipun, taklimat diberi sebelum melakukan aktiviti.

“Apa yang penting, kita ikut arahan keselamatan yang diberikan. Lagipun, mereka ada pasukan yang mahir dari segi keselamatan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya yang mewakili pasukan One Trilion.

Sementara itu, seramai 150 peserta daripada 25 pasukan dari seluruh negara telah menyertai pertandingan BDB Rafting Kulim 2017 di Sungai Sedim, Kulim, Kedah itu. Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu lelaki dan campuran.

Sebanyak 15 pasukan daripada kategori lelaki telah mengambil bahagian manakala kategori campuran disertai 10 pasukan. Setiap pasukan perlu disertai lima orang termasuk seorang jurumudi atau skipper.

Antara cabaran utama yang perlu ditempuh oleh para peserta dalam pertandingan itu ialah mengharungi laluan berliku dan arus deras sepanjang 600 meter dengan catatan masa terpantas.

Seorang peserta wanita, Siti Hajar Mohamad Taher, 30, berkata, penyertaan pada pertandingan yang pertama kali dianjurkan oleh pihak BDB itu membuahkan hasil apabila pasukannya, Radak Adventure dinobatkan selaku juara bagi kategori campuran.

“Pada mulanya, saya tidak menyangka pasukan ini berjaya mengatasi catatan masa pasukan lain. Setelah diberitahu dan diyakinkan oleh ahli pasukan, barulah saya percaya.

“Ini merupakan suatu penghargaan kepada kami kerana mampu bersaing dengan para peserta dari seluruh negara yang hampir 90 peratus daripadanya sudah profesional dalam aktiviti berakit arus deras,” katanya yang berasal dari Sik, Kedah.

Risiko

Tambah Siti Hajar, dia ingin membuktikan bahawa kaum Hawa juga mampu bersaing bersama-sama dengan peserta lelaki dalam aktiviti lasak itu.

“Hal ini kerana tidak ramai peserta dalam kalangan wanita yang tampil dan berani untuk mencuba aktiviti ini kerana berasakan ia mengancam nyawa mereka.

“Sebenarnya, apa sahaja aktiviti lasak memang mempunyai risiko yang tersendiri tetapi dengan ilmu pengetahuan dan latihan yang betul, mereka mampu mengurangkan serta mengatasi risiko tersebut,” ujarnya yang mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dalam aktiviti berkenaan.

Dalam pada itu, Jurulatih Kelab Sukan dan Rekreasi Sungai Sedim, Abdul Kalam Mohd. Yusof berkata, biarpun aktiviti ini lebih kepada sukan ekstrem, langkah keselamatan perlu diambil kira kerana ia membabitkan isu keselamatan.

Katanya, setiap peserta perlu mengenakan pakaian yang bersesuaian dan pengetahuan asas tentang keselamatan mampu mencegah kemalangan.

“Prosedur asas seperti taklimat keselamatan, teknik asas mendayung serta keyakinan dalam air perlu dilakukan sebelum menyertai aktiviti mendayung arus deras ini.

“Jurumudi bertauliah dan mahir perlu ada untuk memastikan aspek keselamatan difahami selain kaedah yang betul bagi melepasi setiap jeram,” katanya.

Jelas Abdul Kalam lagi, pakaian seperti topi keledar, jaket serta tali keselamatan antara peralatan penting yang diperlukan apabila melakukan aktiviti itu.

“Mengenai teknik mendayung, peserta diberi arahan tertentu untuk membolehkan mereka membantu jurumudi mengendali bot sehingga tiba ke lokasi akhir. Kurangkan perasaan resah juga penting menerusi aktiviti water confident.

“Ia dilakukan untuk aktiviti memanaskan badan selain membantu mengatasi ketakutan dalam air. Hal ini kerana di Sungai Sedim mempunyai pelbagai bentuk halangan dan perlu dilepasi mengikut teknik-teknik tertentu,” ujarnya.

Seramai 150 orang peserta daripada 25 pasukan dari seluruh negara menyertai BDB Rafting Kulim 2017 di Sungai Sedim, Kulim, Kedah baru-baru ini.